Setiap kerjaya sama ada kerja kerajaan, kerja swasta dan bekerja sendiri mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Bergantung kepada minat dan rezeki individu untuk memilih sektor mana yang lebih sesuai dengan dirinya.
Menjadi cita-cita setiap orang untuk bekerja sendiri kerana banyak kelebihannya lebih-lebih lagi bagi yang tidak suka bekerja dibawah arahan orang. Bekerja sendiri sama sekali tidak seperti bekerja makan gaji. Malah bekerja sendiri ini banyak kelebihan yang orang makan gaji tidak akan dapat merasakannya.
Untuk memulakan kerjaya anda sendiri, anda perlukan mental yang kuat kerana hanya anda yang berfikir dan merancang bagaimana mahu menggunakan modal untuk permulaan perniagaan anda dengan sebaiknya. Lebih rajin anda bekerja, maka lebih lah hasil pendapatan yang anda akan dapat.
Namun apa yang pasti adalah bekerja sendiri lebih seronok berbanding bekerja di bawah orang. Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui kelebihan bekerja sendiri berbanding makan gaji.
KELEBIHAN BEKERJA SENDIRI
1 Kurang Tekanan Kerja
Antara kelebihan bekerja sendiri adalah tekanan kerja lebih kurang berbanding bekerja dibawah orang lain. Apabila bekerja sendiri, setiap kerja yang dilakukan bergantung kepada keputusan sendiri.
Oleh kerana itu, kerja yang anda lakukan dapat dilaksanakan dengan lebih selesa dan tenang kerana kita bebas untuk membuat keputusan. Untuk jadi seorang yang lebih bersistematik, anda harus membuat satu jadual kerja supaya masa anda jadi lebih teratur. Barulah kerja yang dilakukan akan jadi lebih menyeronokkan nanti.
2 Tiada Had Waktu Bekerja
Bekerja sendiri menjadikan masa kerja anda lebih flexible kerana anda bebas bekerja mengikut kehendak sendiri tanpa paksaan dari mana-mana pihak. Tidak sama seperti bekerja makan gaji yang perlu mengikut waktu pejabat iaitu lebih kurang lapan jam sehari.
Anda boleh bekerja kurang atau lebih dari waktu lapan jam tersebut setiap hari. Ini adalah salah satu kelebihan yang ada pada orang yang bekerja sendiri. Anda juga boleh berehat bila anda ingin beristirehat, dan pergi bercuti pada bila-bila masa yang anda mahu untuk menenangkan fikiran dari memikirkan hal kerja buat sementara waktu.
Tidak perlu meminta kebenaran sesiapa untuk bercuti.
3 Kerja Lebih, Dapat Lebih
Bagi yang rajin bekerja tanpa mengira masa sudah tentu menjanjikan pulangan pendapatan yang lumayan. Kalau malas, sedikit lah hasil pendapatannyanya. Pendapatan adalah berdasarkan kerajinan seseorang individu. Oleh itu, semangat dan keyakinan yang tinggi diperlukan dalam setiap tugas yang dilakukan.
Jika anda bersungguh-sungguh dan ikhlas tidak kira di awal atau sewaktu anda telah berjaya dengan kerjaya anda sendiri, pendapatan anda akan meningkat dengan baik dan semangat anda akan semakin membara untuk menjadi yang lebih baik pada masa hadapan.
4 Mendapat Kepuasan
Apabila pekerjaan yang dilakukan mendatangkan hasil yang lumayan, anda akan merasa puas kerana keuntungan itu adalah dari hasil titik peluh anda sendiri. Tambahan pula, kerja yang anda lakukan adalah sesuatu yang anda suka dan anda pakar dalam melakukannya. Pasti tiada erti lelah!
Anda akan rasa lebih bersemangat untuk teruskan perjuangan dalam dunia pekerjaan anda sendiri dengan adanya kepercayaan dan keyakinan yang tinggi dalam diri sendiri.
Tidak kisahlah jika anda bekerja sendiri atau bekerja dengan majikan. Apa yang penting adalah keselesaan dan anda seronok dalam melakukan kerja anda. Barulah kurang tekanan kerja. Bekerja dengan majikan pun bukannya semua memberi tekanan. Ada juga tempat kerja yang memberi keselesaan dan tekanan yang kurang. Kena ingat, bekerja sendiri mungkin mempunyai banyak kelebihan tetapi untuk menjayakannya tidak mudah. Selamat maju jaya!