Dua perkara penting yang wajib dibawa oleh setiap individu yang ingin memohon kerja adalah resume dan Curriculum Vitae (CV). Majoriti pencari kerja sudah terbiasa dan mahir dalam membuat resume. Namun, kebanyakan pencari kerja terutama sekali graduan mengalami banyak masalah dalam menyediakan CV yang baik dan berkualiti.
Sesetengah daripada graduan mengambil masa selama berhari-hari untuk menyediakan CV yang berkualiti. Malah, ada juga yang hanya mampu menyediakan CV ini dalam masa beberapa jam. Namun, permasalahannya di sini bukanlah tentang lama mana masa yang anda ambil untuk menyediakan CV tersebut tetapi sejauh mana kualiti CV tersebut dan mampukah CV anda itu menarik perhatian majikan.
Hasil daripada kajian yang dijalankan telah menunjukkan bahawa sebanyak 67% majikan hanya mengambil masa kurang daripada 3 minit untuk membaca resume anda. Hal ini bermaksud majikan tidak ada masa yang banyak untuk membaca keseluruhan maklumat yang anda sertakan dalam CV tersebut.
Majikan hanya akan melihat perkara-perkara yang penting sahaja dalam CV tersebut. Selebihnya itu hanyalah sebagai syarat untuk melengkapkan CV. Jadi, anda haruslah bijak dalam menyediakan CV yang betul-betul berkualiti. CV yang berkualiti tidak memerlukan banyak maklumat tetapi padat dengan informasi yang penting sahaja.
Dalam artikel ini, kami akan kongsikan 4 perkara yang majikan mahu lihat dalam CV anda. Pastikan keempat-empat perkara ini anda sertakan dalam CV untuk memastikan majikan tertarik dengan CV tersebut. Berikut merupakan keempat-empat perkara yang wajib anda beri perhatian dalam penyediaan CV.
GUNAKAN FORMAT YANG BETUL DAN RINGKAS
Sebenarnya, terdapat banyak format CV yang boleh anda jumpa di internet. Format-format ini termasuklah format yang ringkas, panjang, terlalu penuh dengan hiasan dan lain-lain. Anda haruslah bijak memilih format ini. Format CV yang paling sesuai digunakan adalah format jenis ringkas.
Pastikan maklumat yang anda ingin letakkan dalam CV diringkaskan sepadat yang mungkin. Ingat! Majikan hanya mengambil masa kurang daripada tiga minit untuk melihat CV anda. Jadi, manfaatkan masa tersebut. Pastikan segala maklumat penting yang anda masukkan dalam CV itu dilihat oleh majikan dalam tempoh masa tersebut.
Antara perkara yang perlu diambil perhatian adalah margin tulisan, ruang antara baris tulisan (spacing) serta tulisan yang anda gunakan haruslah bersesuaian. Selalunya, untuk tujuan formaliti, tulisan yang biasanya digunakan adalah Times New Roman atau Arial. Pastikan juga perkataan-perkataan kunci seperti jawatan yang dipohon, kelayakan dan lain-lain ditulis secara jelas,
ADAKAH KELAYAKAN YANG ANDA MILIKI SESUAI UNTUK PERMOHONAN KERJA ANDA?
Hal ini juga penting kerana majoriti majikan mendakwa kebanyakan calon yang memohon kerja memiliki kelayakan yang tidak sesuai dengan jawatan yang mereka pohon. Oleh sebab itulah kebanyakan majikan akan melihat kelayakan anda terlebih dahulu dalam CV untuk memastikan kelayakan akademik yang anda miliki itu sesuai untuk anda mohon jawatan tersebut.
Berdasarkan kajian yang dijalankan, kebanyakan graduan hari ini memohon banyak pekerjaan sekaligus dengan menggunakan kelayakan akademik yang sama. Tidak salah untuk anda berbuat demikian tetapi pastikan dahulu anda meneliti syarat kelayakan akademik yang ditetapkan dan bukan sesuka hati memohon kerja.
Anda dinasihatkan untuk memasukkan kelayakan anda dalam CV secara “bullet form”. Hal ini untuk memastikan majikan mudah melihat kelayakan akademik yang anda miliki dalam CV.
PASTIKAN MAKLUMAT DALAM CV ANDA RELEVEN DAN TERKINI
Maklumat-maklumat yang anda sertakan dalam CV perlulah terkini dan bukannya maklumat lama. Tidak perlu sertakan maklumat lama dalam CV walaupun maklumat tersebut dianggap penting untuk anda. Sebagai contoh, anda memperoleh 5A dalam UPSR dahulu. Pastikan anda tidak sertakan keputusan tersebut kerana keputusan itu tidak lagi releven untuk majikan anda lihat.
Selain itu, pastikan juga maklumat yang anda isi dalam CV releven serta bersesuaian dengan kerjaya yang anda mohon. Tidak perlu untuk memasukkan banyak maklumat jika maklumat-maklumat tersebut tiada kaitan dengan kerjaya anda.
PILIH PEKERJAAN YANG ANDA BETUL-BETUL LAYAK
Untuk makluman, perkara pertama yang ada dalam minda majikan adalah adakah anda betul-betul layak untuk pekerjaan yang anda pohon itu. Jadi, majikan akan meneliti sama ada CV anda releven dengan kerjaya yang anda pohon itu.
Antara perkara yang menjadi tarikan majikan yang pertama adalah tajuk CV tersebut. Adakah tajuk CV itu bersesuaian dengan jawatan yang dipohon? Seterusnya adalah kelayakan dan pengalaman anda. Adakah kelayakan serta pengalaman anda sesuai dengan kerjaya yang anda pohon?
Jadi, nasihat kami, pastikan kerjaya yang dipohon itu betul-betul layak untuk anda. Pastikan juga anda menulis secara jelas kelayakan dan pengalaman dalam CV anda.
Dengan ini, jelaslah kepada anda bahawa CV memainkan peranan yang sangat penting dalam menarik perhatian majikan walaupun majikan hanya mengambil masa kurang daripada tiga minit untuk melihatnya. Pastikan anda sediakan CV yang terbaik dan selamat berjaya buat anda!