Portal Jawatan Kosong Terkini

Ada 4 Soalan Yang Anda Tak Perlu Jawab Ketika Temuduga

Anda sering mendapat tips daripada pelbagai media ataupun orang lain yang mengatakan bahawa untuk berjaya dalam temuduga, anda perlu menjawab kesemua soalan yang ditanya oleh penemuduga dengan lengkap dan baik.

Namun, tahukah anda, terdapat beberapa soalan yang anda tidak perlu memberikan jawapan jika penemuduga mengajukan soalan-soalan tersebut kepada anda? Soalan-soalan ini termasuklah soalan yang melibatkan privasi anda, status anda, agama yang anda anuti dan sebagainya.

Anda sebenarnya tidak boleh terus berdiam diri dan tidak menjawab soalan yang ditanyakan oleh penemuduga itu. Pastikan anda menolak untuk menjawab soalan tersebut dengan baik. Anda perlulah berhemah dan menghormati penemuduga walaupun soalannya menyinggung perasaan anda.

Dalam artikel ini, kami akan kongsikan 4 soalan yang tidak perlu anda jawab semasa temuduga kerana soalan-soalan ini sememangnya tiada kaitan dengan bidang kerja yang anda pohon. Penemuduga sebenarnya sudah melampaui batas jika bertanya soalan seperti ini.

Berikut merupakan 4 soalan yang tidak perlu anda jawab semasa temuduga. Jadi, pastikan anda menolak untuk menjawab soalan-solaan ini dengan baik.

ADAKAH ANDA SUDAH BERKAHWIN/ ADAKAH ANDA SUDAH MEMPUNYAI ANAK?

Soalan seperti ini berbentuk peribadi dan sangat tidak sesuai untuk ditanyakan oleh seorang penemuduga. Soalan ini juga sudah jelas tidak ada kaitan dengan kerjaya yang anda pohon. Jelas sekali, anda tidak perlu menjawab soalan ini.

Cara untuk anda menolak bagi menjawab soalan ini mudah sahaja. Katakan sahaja kepada penemuduga begini.

“Maafkan saya. Saya memohon untuk tidak menjawab soalan tersebut.”

Penemuduga akan faham dan tidak akan mengulangi soalannnya lagi. Beliau juga tidak akan memaksa anda untuk menjawab soalan itu.

APAKAH KAUM SERTA KEPERCAYAAN ANDA?

Soalan ini pula berbentuk keagamaan dan melibatkan kaum. Bagi seorang penemuduga, bertanya soalan tentang kepercayaan dan kaum adalah tidak masuk akal sama sekali.

Anda bebas mengamalkan agama dan kepercayaan di negara ini kerana itu sudah termaktub dalam perlembagaan. Majikan juga tidak sepatutnya bersikap rasis dalam memilih pekerja.

Satu lagi, jika dalam kepercayaan atau agama anda memerlukan hari ataupun masa untuk anda keluar sebentar daripada kerja sebagai contoh Solat Jumaat bagi orang Islam, anda boleh menyatakan perkara itu. Namun, anda perlulah memastikan bahawa anda boleh memberi yang terbaik untuk syarikat itu.

BERAPAKAH UMUR ANDA?

Walaupun soalan ini dilihat tidak sensitif dan tidak ada masalah untuk ditanyakan tetapi anda sebenarnya berhak untuk menolak daripada menjawab soalan ini. Maklumat ini sudah pun tercatat dalam resume anda.

Namun, penemuduga berhak bertanya soalan ini sekiranya pekerjaan yang anda pohon itu melibatkan permohonan visa ataupun untuk memastikan anda tidak melepasi umur maksimum bagi kerja yang dipohon itu.

ADAKAH ANDA MEROKOK?

Merokok sememangnya tidak dibenarkan di sesetengah tempat kerja. Namun, penemuduga tidak berhak sebenarnya untuk bertanya sama ada anda merokok atau tidak.

Anda boleh merokok di kawasan-kawasan yang dibenarkan tetapi jangan sesekali merokok di tempat kerja jika majikan tidak membenarkan anda berbuat demikian. Jika penemuduga bertanya soalan ini, anda hanya perlu menjawab begini. “Yang pastinya jika saya merokok sekalipun saya tidak akan merokok di tempat kerja.”

Tugas penemuduga sememangnya adalah menyoal anda namun anda perlu ingat bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya bertanya semua soalan kepada anda. Terdapat soalan yang mereka tidak berha untuk tanyakan kepada anda dan anda boleh memohon untuk tidak menjawab soalan tersebut.