Perkara yang sangat sinonim dengan temuduga dan menjadi perhatian setiap calon adalah soalan-soalan yang bakal ditanya. Soalan-soalan yang ditanya ini perlulah dijawab dengan baik bagi meyakinkan penemuduga bahawa diri anda layak untuk dipilih bekerja.
Oleh sebab itulah, setiap calon sememangnya sangat berminat untuk mengetahui soalan bocor yang akan ditanya untuk memastikan mereka dapat menjawab soalan tersebut dengan baik.
Pelbagai persediaan untuk hadir temuduga perlu dilakukan oleh calon sebelum menghadiri sesi temuduga dan salah satu daripada persediaan tersebut adalah mengenal pasti soalan-soalan yang akan ditanya semasa temuduga.
Untuk makluman anda, setiap penemuduga di setiap syarikat akan menyoal anda soalan-soalan yang berbeza mengikut kesesuaian syarikat dan jawatan yang anda mohon. Namun, terdapat beberapa soalan temuduga yang menjadi favorite penemuduga dan pasti akan ditanya semasa temuduga.
Berikut kami akan kongsikan 5 soalan yang confirm akan ditanya semasa temuduga. Dengan ini, anda bolehlah membuat persediaan jawapan bagi menjawab soalan-soalan ini.
APAKAH YANG ANDA TAHU TENTANG SYARIKAT INI?
Adalah sangat penting untuk anda memiliki pengetahuan yang luas tentang syarikat yang memanggil anda temuduga itu. Bukan itu sahaja, anda juga haruslah berpengetahuan luas tentang tugas bagi jawatan yang anda pilih di syarikat itu.
Pengetahuan anda yang luas dalam syarikat serta tugas jawatan yang dipohon bakal memberikan kelebihan buat anda. Penemuduga akan memberi gambaran baik serta positif terhadap anda. Malah, penemuduga akan menganggap anda sebagai seorang yang bermotivasi dan sangat berminat dengan pekerjaan tersebut.
Jadi, pastikan anda membuat sedikit kajian atau bacaan tentang syarikat serta jawatan yang anda pohon itu. Pelbagai medium boleh digunakan seperti internet, website syarikat, survey dan sebagainya untuk mendapatkan maklumat tentang syarikat tersebut.
MENGAPAKAH ANDA INGIN MENINGGALKAN PEKERJAAN LAMA ANDA?
Sekiranya anda menghadiri temuduga untuk kerja pertama anda, jawab sahaja anda tidak bekerja sebelum ini. Namun, jika anda sedang bekerja di tempat lain ataupun sudah berhenti kerja, soalan ini perlu diberikan perhatian.
Anda tidak perlu risau kerana penemuduga hanya ingin mengetahui kronologi serta sebab-sebab anda bertukar kerja. Untuk menjawab soalan ini secara professional, anda boleh gunakan formula yang popular dan sering digunakan ini. Formula tersebut diberi nama LAMPS.
Location
Jarak tempat kerja lama dengan rumah anda tidak strategik (contohnya terlalu jauh).
Advancement
Nyatakan sebab mengapa karier anda tiada ruang untuk berkembang.
Money
Gaji yang dibayar kepada anda tidak setimpal dengan kemahiran serta sumbangan anda di tempat kerja lama.
Prestige/Pride
Anda ingin menyumbang kemahiran kepada syarikat yang lebih baik dari segi work culture, tugasan dan vision.
Security
Kewangan tempat kerja anda tidak stabil. (Adalah dilarang sama sekali buat anda untuk mengutuk serta mencerca tempat kerja lama anda. Hal ini bakal memberikan kesan kepada penemuduga.)
APAKAH KEKUATAN UTAMA ANDA (STRENGTH)?
Tonjolkan kelebihan yang ada pada diri anda. Pertama sekali, adalah dinasihatkan supaya anda sebutkan kekuatan dari segi teknikal terlebih dahulu. Kemahiran teknikal merupakan kemahiran yang memerlukan teknik dan ilmu untuk menyelesaiakan sesuatu tugas.
Selepas itu, sebutkan pula sikap professional yang anda miliki. Sikap professional ini merupakan sikap-sikap positif yang anda miliki dan dapat membantu dalam menyelesaikan tugasan. Contoh sikap professional ini adalah seperti kemahiran berkomunikasi, menepati waktu, berfikiran aras tinggi, berkemahiran memimpin dan lain-lain lagi.
APAKAH KELEMAHAN UTAMA ANDA? (WEAKNESS)
Sedikit tips dalam menjawab soalan ini adalah jangan sesekali nyatakan kelemahan itu dan menunjukkan bahawa anda sudah berputus asa. Tunjukkan bahawa walaupun anda memiliki kelemahan tetapi anda tetap akan berusaha mengatasi kelemahan tersebut. Anda perlulah jujur dengan menyebut perkara yang anda lemah tetapi sedang berusaha untuk menguasainya.
Sebagai contoh, anda mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan orang ramai terutama sekali apabila mengadakan pembentangan di hadapan khalayak. Namun, anda sentiasa berusaha untuk mengatasinya dengan cara menonton video berkaitan komunikasi dan belajar perkara-perkara penting berkaitan pengucapan awam.
Pastikan anda sentiasa menonjolkan sikap ingin memperbaiki diri walaupun anda mempunyai kelemahan. Penemuduga akan melihat anda sebagai seorang yang positif dan tidak berputus asa.
APAKAH YANG ANDA BOLEH BERIKAN KEPADA SYARIKAT YANG TIDAK DAPAT DIBERIKAN OLEH CALON LAIN?
Anda sememangnya tidak tahu kebolehan yang dimiliki oleh calon lain akan tetapi anda bolehlah menggunakan taktik ini. Terangkan bagaimana anda memahami tugas serta tanggungjawab jawatan yang anda pohon, masalah yang selalunya akan timbul dan juga sejauh mana anda telah bersedia untuk menghadapinya dengan ilmu yang dimiliki. Tutup jawapan anda dengan menerangkan sikap professional yang boleh anda sumbangkan.
Pastikan anda memberikan penekanan yang serius kepada 5 soalan yang dikongsikan ini. Kelima-lima soalan ini bukanlah soalan target tetapi merupakan soalan yang confirm akan ditanya. Diharapkan semoga artikel ini dapat membantu anda dalam menghadapi temuduga. Kami mendoakan kejayaan anda dalam temuduga yang bakal anda tempuhi.
Baca juga: Isu Blacklist Kerana Tak Hadir Temuduga