Portal Jawatan Kosong Terkini

Jangan Sesekali Tanya 5 Soalan Ini Semasa Temuduga

Salah satu perkara yang perlu dititikberatkan ketika anda menghadiri temuduga adalah pertanyaan anda kepada penemuduga. Tidak dapat dinafikan bahawa pertanyaan perlu untuk memastikan penemuduga tidak melihat anda sebagai seorang yang terlalu pasif.

Namun, anda perlulah berhati-hati dengan soalan-soalan yang akan ditanyakan itu. Terdapat beberapa soalan yang akan menyebabkan penemuduga memberikan pandangan negatif kepada anda seterusnya melabel anda sebagai tidak beradab.

Berikut merupakan senarai soalan yang haram anda tanya kepada penemuduga ketika temuduga. Pastikan anda tidak sesekali bertanyakan soalan-soalan ini kerana dengan berbuat demikian akan menyebabkan penemuduga berubah reaksi dan perkara ini akan menjejaskan keputusan penemuduga untuk memilih anda.

SIAPAKAH SASARAN PELANGGAN SYARIKAT INI?

Soalan ini jelas menunjukkan bahawa anda tidak mempunyai pengetahuan tentang syarikat yang memanggil anda temuduga itu.

Hal ini kerana anda sepatutnya sudah tahu sasaran pelanggan syarikat tersebut kerana itu merupakan sebahagian daripada pengetahuan tentang syarikat tersebut yang wajib anda tahu. Jadi, elakkan sama sekali daripada bertanyakan soalan seperti ini. Pastikan anda memiliki pengetahuan yang luas tentang syarikat tersebut.

BERAPAKAH ELAUN TAMBAHAN YANG BAKAL SAYA PEROLEH?

Soalan ini boleh dianggap sebagai biadap kerana anda baru sahaja datang untuk temuduga. Anda bukan lagi sah menjawat jawatan itu. Pertanyaan tentang elaun serta bonus bakal menyebabkan penemuduga melabel anda sebagai mementingkan duit semata-mata.

Setiap majikan memerlukan pekerja yang komited dan mampu memberikan yang terbaik untuk syarikat bukannya pekerja yang mementingkan duit semata-mata. Anda sebenarnya boleh bertanyakan soalan ini tetapi bukan pada waktu temuduga. Anda boleh bertanya soalan ini ketika anda sudah diterima bekerja nanti. Adalah lebih bagus jika anda bertanya soalan seperti ini.

“Adakah syarikat ini menyediakan latihan dan pembelajaran kemahiran bagi meningkatkan lagi kemahiran saya?” Soalan seperti ini menunjukkan bahawa anda benar-benar berminat untuk bekerja di syarikat itu.

BOLEHKAH SAYA BEKERJA DARI RUMAH?

Walaupun terdapat sesetengah iklan jawatan kosong yang memaparkan bahawa anda boleh bekerja dari rumah tetapi anda tidak sepatutnya bertanyakan soalan ini kepada penemuduga.

Sebenarnya, walaupun anda boleh bekerja dari rumah tetapi majikan lebih menginginkan anda untuk menyertai pekerja-pekerja lain sebagai satu pasukan dan bekerjasama dalam menghasilkan input yang baik, bukannya kerja di rumah sepenuh masa.

Jika anda ingin juga bertanya untuk mendapatkan kepastian, tanyalah seperti ini. “Bagaimanakah waktu bekerja saya di sini?” Soalan ini lebih sopan.

BILAKAH SAYA BOLEH NAIK PANGKAT JIKA BEKERJA DI SINI?

Persoalan tentang kenaikan pangkat dan gaji tidak sepatutnya ditanya kepada penemuduga. Sebaliknya, anda harus tanya diri sendiri layakkah anda mendapat kenaikan pangkat dengan cepat. Hal ini bergantung pada komitmen serta kredibiliti anda dalam bekerja untuk memajukan syarikat.

Jika prestasi kerja anda pada tahap yang cemerlang serta mendapat maklum balas yang baik daripada semua orang di sekeliling, maka anda layak untuk dinaikkan pangkat dalam masa yang sekejap. Sebaliknya, sekiranya prestasi kerja anda anda tidak memberansangkan serta terpalit dengan banyak kes disiplin, anda akan mengalami kesukaran untuk memperolah kenaikan pangkat.

Tanamkan dalam minda anda bahawa kenaikan pangkat adalah sebagai hasil tuaian. Jika kuat anda bekerja, semakin cepatlah hasil tuaian tiba dan begitu juga sebaliknya. Jadi, untuk mengejar pangkat supaya dapat kenaikan pangkat dengan cepat, berilah sepenuh komitmen kepada kerja.

SOALAN PERIBADI BERKAITAN DENGAN PENEMUDUGA

Soalan berbentuk peribadi perlu dielakkan sama sekali. Sebagai contoh “Adakah tuan/puan sudah berkahwin?” ataupun “Berapa ramai anak tuan/puan?” Soalan-soalan seperti ini bukan sahaja akan menyebabkan penemuduga memandang serong terhadap anda tetapi juga penemuduga mungkin akan terasa hati jika beliau sedang menghadapi masalah peribadi ketika itu.

Semoga dengan perkongsian ini dapat memberikan anda manfaat tentang soalan-soalan yang tidak sepatutnya anda tanya ketika temuduga. Ingat! Berhati-hatilah ketika mengajukan soalan kerana temuduga. Bak kata pepatah ‘kerana lidah badan binasa’.