Sekiranya anda ingin menulis resume tetapi risau tiada pengalaman kerja, jangan risau! Bukan anda seorang sahaja seperti ini, ramai lagi yang tiada pengalaman kerja untuk dimasukkan ke dalam resume.
Persoalannya sekarang jika tiada pengalaman kerja apa yang perlu anda lakukan? Nak tipu? Nak reka cerita pernah bekerja?
Opps, jangan sesekali menipu majikan anda. Itu pantang larang mencari kerja. Sekali majikan anda tahu anda pernah menipu maka buruk akibatnya.
Jika anda tiada pengalaman kerja, anda perlu masukkan beberapa perkara dalam resume untuk kelihatan lengkap dan dapat memikat bakal majikan.
PANDUAN MENULIS RESUME TANPA PENGALAMAN KERJA
Ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui senarai perkara yang perlu dimasukkan dalam resume dan panduan buat anda yang tiada pengalaman kerja.
1. Gunakan Format Yang Betul
Pertama sekali, anda mestilah gunakan jenis format resume yang betul. Anda disyorkan untuk memilih resume jenis chronological walaupun anda belum mempunyai sebarang pengalaman kerja atau ada pengalaman kerja tetapi tidak banyak.
2. Pastikan Maklumat Dalam Resume Lengkap
Masukkan semua maklumat dengan betul dan lengkap seperti resume yang lain iaitu dengan melengkapkan bahagian:
- Maklumat peribadi seperti nama, alamat, nombor telefon
- Objektif
- Bahagian pendidikan
- Bahagian kemahiran
- Pencapaian dan anugerah yang diterima
- Sijil Profesional & Sijil Ikhtisas yang ada
- Senarai latihan industri / aktiviti ku kurikulum / aktiviti sukarelawan
3. Masukkan Pengalaman Internship
Buat graduan lepasan universiti yang telah mengikuti program internship semasa pengajian, anda boleh masukkan pengalaman sepanjang menjalani latihan internship. Ceritakan sedikit bidang tugas yang anda lakukan sepanjang tempoh latihan dan sumbangan anda kepada syarikat.
4. Fokus Bahagian Kemahiran & Kepakaran
Fokuskan resume anda bahagian kemahiran serta kepakaran yang anda ada dan kaitkan dengan deskripsi tugas yang terdapat dalam iklan tawaran jawatan kosong. Tawarkan kepakaran yang anda ada kepada majikan. Pastikan kemahiran anda menepati bidang tugas yang dimohon.
5. Senaraikan Anugerah & Pencapaian
Masukkan senarai anugerah dan pencapaian yang anda ada. Pastikan anugerah dan pencapaian yang dimasukkan adalah relevan dan bukan yang jenis menampakkan anda menunjuk-nunjuk.
Melalui pencapaian dan anugerah yang anda ada, majikan dapat lihat bahawa anda adalah seorang yang berbakat, berdaya saing, kreatif dan mempunyai sifat kepimpinan.
6. Pastikan Resume Tersusun dan Kemas
Terakhir sekali yang boleh anda lakukan agar majikan minat dengan resume anda, pastikan resume anda tersusun dan kemas. Semak semula resume anda berkali-kali agar tiada sebarang kesalahan tatabahasa dan ejaan dilakukan.
Kesalahan ejaan yang dilakukan akan menyebabkan majikan fikir calon tidak teliti dalam membuat kerja. Setiap kesilapan akan diambil kira untuk penilaian majikan.
Semoga bermanfaat!