Lagi 7 Soalan Mencabar Yang Sering Ditanya Ketika Temuduga
Sudah pasti terdapat pelbagai jenis soalan yang akan disoal oleh penemuduga kepada calon. Ada soalan mudah dan pastinya ada juga soalan susah. Tetapi, soalan-soalan asas sudah pasti akan ditanya kepada calon kerana ia berada dalam kategori ice breaking untuk mengenal calon terlebih dahulu.
Seterusnya, anda boleh dapatkan beberapa contoh soalan yang agak mencabar untuk dijawab walaupun kedengaran agak mudah. Anda memerlukan teknik yang betul untuk menjawab soalan-soalan tersebut agar ianya menepati kehendak majikan.
7 Jenis Contoh Soalan Mencabar Ketika Temuduga
Berikut dikongsi 7 lagi contoh soalan yang agak mencabar untuk dijawab ketika temuduga anda:
1. Mengapa Anda Tidak Bekerja Dalam Tempoh Ini?
Bakal majikan pastinya akan membaca resume anda sekali imbas dan melihat pada bahagian pengalaman kerja. Apabila mereka mendapati terdapat beberapa kekosongan pada tahun tertentu, pastinya ia akan menimbulkan tanda tanya kepada mereka. Soalan ini disoal kerana mereka ingin mengetahui adakah ianya disebabkan kelemahan peribadi calon atau sifat-sifat negatif yang ada pada calon itu sendiri.
Contoh jawapan
“Untuk pengetahuan Tuan, pada tempoh tersebut saya tidak bekerja kerana menyambung pengajian di universiti. Menariknya disini, saya memperolehi banyak pengalaman dan mempertingkatkan ilmu pengetahuan sepanjang bekerja di syarikat tersebut. Seterusnya saya mendapat pelbagai ilmu baharu serta kemahiran terkini ketika menyambung pelajaran saya. Dengan segala ilmu baru yang diperolehi ini, saya yakin saya boleh membantu syarikat ini berkembang dengan lebih jauh lagi.”
2. Apa Yang Anda Suka Dan Tidak Dengan Kerja Yang Lalu?
Untuk soalan ini, sila jaga intonasi suara anda. Bakal majikan boleh menilai sama ada anda bermasalah atau tidak dengan kerja atau majikan yang lalu. Dinasihatkan kepada anda agar tidak menceritakan perkara buruk tentang kerja anda yang lalu. Fokus sahaja dengan benda-benda yang positif serta pelbagai perkara yang menarik ketika anda bekerja di syarikat lama.
Contoh jawapan
“Terdapat pelbagai jenis kelebihan serta pengalaman yang menarik ketika saya bekerja di syarikat ABC Sdn Bhd. Majikan sentiasa bertolak ansur dan memberi tunjuk ajar kepada saya sekiranya saya diberikan tugasan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Jadi, secara tidak langsung saya sentiasa mendapat ilmu dan kemahiran baru dalam setiap kerja dan boleh diaplikasikan sehingga kini.”
3. Siapakah Staf Yang Terbaik Dan Tidak Di Syarikat Lama Anda?
Jangan terus menjawab dengan penuh emosi ya. Ini kerana bakal majikan hanya ingin melihat personaliti anda adakah anda jenis yang boleh bekerja dengan orang lain atau tidak. Hindarkan daripada menjawab seseorang yang anda tidak suka ketika bekerja di tempat lama.
Contoh jawapan
“Saya berterima kasih kepada rakan sekerja dan Pengurus saya kerana mereka banyak memberi tunjuk ajar sehingga saya boleh melakukan tugasan dengan baik sekali. Malahan mereka menjadikan saya sentiasa bersemangat untuk hadir bekerja dan yakin untuk membuat pembentangan laporan tahunan.”
4. Apakah Perkara Yang Paling Tidak Memuaskan Hati Anda Pada Pekerjaan Yang Lalu?
Inilah soalan tricky untuk melihat kelemahan anda ketika melakukan tugasan. Jangan salahkan orang lain. Nyatakan kelemahan anda serta cara anda mengatasi masalah tersebut.
Contoh jawapan
“Sepanjang saya melakukan tugasan, apa yang saya tidak suka sekali ialah membuat laporan dengan menggunakan Excel. Hal ini kerana saya sangat tidak mahir menggunakannya dalam tugasan seharian. Tetapi, melalui tugasan inilah saya semakin mahir menggunakan Excel serta beberapa software terkini untuk menghasilkan tugasan yang jauh lebih menarik dan kemas sekali.”
5. Apakah Yang Kamu Harapkan Daripada Majikan Anda?
Penemuduga ingin tahu apakah yang anda harapkan daripada seorang majikan apabila bekerja. Nyatakan perkara yang positif sahaja berbanding hal-hal negatif walaupun sebagai contoh.
Contoh jawapan
“Apa yang saya harapkan ialah, majikan sentiasa memberikan tunjuk ajar kepada saya agar prestasi kerja saya semakin baik dan berada pada landasan yang betul. Ini kerana saya sangat meminati cara kerja majikan saya yang sentiasa up to date dan seiring dengan cara kerja pada masa kini.”
6. Nyatakan Kesilapan Yang Telah Anda Lakukan Ketika Bekerja
Ini juga merupakan salah satu soalan yang akan menonjolkan kelemahan anda sekiranya anda salah memberikan jawapan. Berhati-hati dengan soalan yang anda kongsikan. Sebaliknya tekankan bagaimana anda belajar daripada kesilapan yang telah anda lakukan sebelum ini.
Contoh jawapan
“Kesilapan yang saya lakukan adalah ketika membuat laporan tahunan dimana saya terlupa untuk memasukkan 1 data yang sangat penting. Tetapi, hasil bacaan semula bersama rakan sekerja, saya menyedari terdapat kesilapan tersebut dan membetulkan dengan secepat mungkin. Untuk laporan yang seterusnya, mendapat pujian majikan kerana sempurna dan sangat kreatif.”
7. Apakah Anggaran Gaji Yang Anda Harapkan?
Jawab dengan logik soalan ini kerana bakal majikan hanya ingin tahu permintaan gaji yang ingin anda pohon. Anda boleh meminta gaji lebih tinggi daripada yang ditawarkan sekiranya mempunyai kepakaran atau pengalaman yang tidak ada pada orang lain.
Contoh jawapan
“Berdasarkan pengalaman saya selama 5 tahun dalam bidang ini, saya mohon gaji sebanyak RM4,500 sebulan kerana kepakaran yang ada pada saya diiktiraf oleh agensi yang berkaitan dan saya bersedia untuk berunding mengenai hal ini.”