Portal Jawatan Kosong Terkini

Bolehkah Majikan Memecat Pekerja Yang Masih Dalam Tempoh Percubaan?

Biasanya bila mula bekerja di syarikat baru kita pasti akan lalui tempoh percubaan. Selalunya tempoh percubaan yang diberi oleh majikan adalah 3 hingga 12 bulan untuk menilai prestasi kita di syarikat tersebut. Selepas tempoh itulah selalunya majikan akan putuskan sama ada kita layak bekerja di syarikat tersebut atau tidak.

Persoalannya sekarang adalah, boleh ke majikan pecat pekerja sebelum tempoh percubaan tamat? Lagi-lagi bila majikan pecat tanpa beri apa-apa alasan tentang pemecatan itu dan anda sendiri yakin anda tidak buat apa-apa kesalahan.

Bagi menjawab persoalan itu, jom kita fahamkan terlebih dahulu apa itu “tempoh percubaan”.

APA ITU TEMPOH PERCUBAAN?

Pekerja dalam tempoh percubaan adalah mereka yang baru bekerja untuk tempoh tertentu supaya syarikat dapat mengenalpasti sama ada calon baru masuk kerja ini sesuai atau tidak untuk menjawat jawatan tetap yang diiklankan oleh majikan sebelum ini.

Selalunya majikan akan menggunakan terma tertentu dalam kontrak kerja untuk mewujudkan kontrak dengan pekerja percubaan. Contoh terma percubaan yang selalu digunakan dalam kontrak kerja adalah seperti di bawah.

“Anda akan menjalani tempoh percubaan selama enam (6) bulan, dan pengesahan status tetap anda sebagai pekerja selepas tempoh yang disebutkan adalah bergantung kepada perkhidmatan yang memuaskan dari pekerjaan yang telah diberikan kepada anda”

Berdasarkan contoh di atas, anda akan jalani tempoh percubaan bekerja selama 6 bulan. Menurut Pusat Sumber Manusia Kebangsaan, selepas tempoh 6 bulan tamat, syarikat berhak memutuskan sama ada:

  • Mengesahkan anda, bermakna melantik anda sebagai pekerja tetap
  • Melanjutkan tempoh percubaan anda, sebab mereka masih lagi perlukan masa untuk menilai sama ada anda sesuai atau tak untuk jadi pekerja tetap
  • Tamatkan perkhidmatan anda, sebab mereka tak rasa yang anda sesuai untuk syarikat

BOLEH KE SYARIKAT PECAT ANDA SEBELUM TEMPOH PERCUBAAN TAMAT?

Jawapan untuk persoalan ini adalah, pekerja percubaan tidak boleh dipecat tanpa alasan munasabah. Bagi soal pemecatan atau penamatan perkhidmatan, pekerja percubaan dan pekerja tetap ada hak yang sama.

Kes seorang pekerja percubaan menang kes dan dapat pampasan apabila dipecat sebelum tamat tempoh percubaan

Dalam kes Mak Teck Mun v Ginova Marketing Sdn Bhd, seorang lelaki bernama Mak dah diambil bekerja oleh Ginova Sdn Bhd sebagai pekerja percubaan. Malangnya, dia dah dipecat sebelum tempoh percubaannya tamat. Dia kemudiannya ambil tindakan terhadap syarikat itu di mahkamah. Di akhir kes berkenaan, Mak diputuskan menang dan mahkamah menganugerahkannya pampasan untuk gaji yang sepatutnya dia dapat kalau dia tidak dipecat.

Menurut mahkamah, sebab kenapa Mak menang adalah:

“… pelantikan dalam tempoh percubaan selama enam bulan tidak memberi majikan hak untuk menamatkan perkhidmatan seseorang pekerja sebelum tempoh enam bulan tamat kecuali atas alasan salah laku atau alasan lain yang mencukupi, yang dalam hal itu juga perkhidmatan pekerja tetap boleh ditamatkan. Selepas tamat tempoh enam bulan, majikan boleh sama ada mengesahkan atau menamatkan perkhidmatannya, kerana perkhidmatannya didapati tidak memuaskan.”

Ini bermaksud, Mak ada hak yang sama dengan pekerja tetap lain dan dia tidak boleh dipecat sebelum tempoh 6 bulan tamat tanpa sebab munasabah. Tambahan lagi, mahkamah juga ada kata yang syarikat hanya boleh pecat Mak, sekiranya mereka rasa Mak tak sesuai jadi pekerja tetap SELEPAS tempoh percubaannya.

AMBIL TINDAKAN TERHADAP SYARIKAT YANG MEMECAT ANDA SECARA TIDAK ADIL

Negara kita ada undang-undang. Undang-undang Malaysia juga melindungi hak-hak pekerja dengan beri mereka peluang untuk ambil tindakan terhadap syarikat.

  • Menurut Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan, mana-mana pekerja di Malaysia (sama ada di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak) boleh mengadu kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan jika berdepan dengan keadaan dipecat secara salah.
  • Aduan boleh dibuat di Jabatan Sumber Manusia terdekat, dan sebaik sahaja aduan dihantar kepada Ketua Pengarah, dia akan menyerahkannya kepada Menteri Sumber Manusia yang kemudiannya boleh merujuk perkara itu kepada Mahkamah Perusahaan.
  • Di Mahkamah Perusahaan, anda diminta untuk buktikan yang anda dipecat secara salah oleh syarikat. Anda boleh buatnya secara sendirian atau diwakili peguam atau ahli kesatuan sekerja (jika ada). 

Jika situasi ini berlaku kepada anda, jangan takut untuk mempertahankan hak anda. Ingat, majikan tidak boleh sesuka hati memecat kita tanpa sebab munasabah sebelum tamat tempoh percubaan. Hak kita sebagai pekerja percubaan adalah sama seperti pekerja tetap.