Berapa Anggaran Gaji Anda?
Terdapat sesi temuduga yang bertanyakan soalan ini selepas penemuduga berpuas hati dengan penerangan mengenai kelebihan dan kemahiran calon.
Mungkin ketika ini majikan mempertimbangkan sama ada untuk mengambil calon yang mengikut kriteria yang mereka perlukan mengikut kesesuaian spesifikasi gaji yang ditetapkan syarikat.
Mengapa Soalan Ini Rumit
Terdapat beberapa cara untuk menjawab soalan temuduga mengenai gaji dan penting untuk menentukan cara terbaik untuk menjawab soalan ini agar anda dapat menjalani temuduga dengan yakin.
Baca 4 Soalan Yang Tidak Perlu Anda Jawab Semasa Temuduga
Soalan mengenai gaji bukanlah topik yang mudah. Walaupun mungkin tidak ada jawapan yang tepat, terdapat beberapa cara untuk menjawab soalan ini.
Menentukan Gaji Pada Borang Permohonan
Setiap borang permohonan masa kini mempunyai bahagian untuk meletakkan anggaran gaji yang anda pohon. Anda boleh memilih untuk melangkau soalan ini. Tetapi sekiranya bahagian ini wajib untuk dijawab, anda boleh menjawab seperti berikut :
- Masukkan anggaran gaji berdasarkan kajian anda.
- Tulis ayat seperti “boleh dirunding” untuk menunjukkan anda boleh bertolak ansur.
- Elakkan dengan menetapkan gaji tertentu. Ini akan kelihatan seperti anda tidak boleh bertolak ansur.
Menjawab Soalan Mengenai Anggaran Gaji
Untuk menjawab soalan ini, anda perlu mengetahui gaji minimum terkini yang telah dinyatakan oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia iaitu RM1,200 untuk semua industri.
Pada deskripsi tugasan juga ada dinyatakan gaji yang ditawarkan kepada anda. Tetapi anda juga boleh membuat permintaan gaji lebih daripada yang ditawarkan sekiranya anda mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang yang berkaitan.
Pastikan anda tidak membuat anggaran yang terlalu tinggi atau terlalu rendah ketika menjawab soalan mengenai gaji ini.
Tips Memberi Jawapan
Nyatakan anda boleh bertolak ansur
Anda boleh menjawab dengan menyatakan bahawa anda boleh berunding mengenai gaji yang ditawarkan sekiranya anda mempunyai pengalaman dan kelayakan yang luas dalam bidang yang dipohon.
Pertimbangkan untuk menyatakan anggaran gaji sekiranya melibatkan pengalaman dan kelayakan anda.
Nyatakan Anggaran
Walaupun anda boleh bertolak ansur dan boleh dirunding mengenai gaji, mungkin ada majikan suka mendengar jika anda meletak anggaran gaji tertentu. Contohnya anda boleh meletakkan anggaran gaji sepeti RM2,000-RM2,500. Ia masih kelihatan anda masih lagi bertolak ansur dengan anggaran gaji tetapi kelihatan jelas untuk majikan menentukan gaji yang anda inginkan.
Pastikan anda menyelidik dahulu gaji yang ditawarkan sesuai dengan anggaran yang akan disebutkan pada majikan nanti.
Fikirkan gaji anda sekarang
Selain meneliti gaji yang ditawarkan, anda boleh mendapatkan anggaran gaji dengan menggunakan gaji semasa anda. Tetapi sekiranya gaji terakhir anda lebih rendah daripada gaji semasa pasaran, anda boleh mendapatkan maklumat gaji di syarikat lain dan membuat perbandingan untuk mendapatkan anggaran gaji yang sesuai.
Nyatakan pengalaman anda
Anda juga boleh tekankan mengapa anda sesuai dengan jawatan tersebut. Anda boleh mengatakan seperti, “Berdasarkan pengalaman saya selama 10 tahun dalam bidang ini, saya menjangkakan gaji saya sepatutnya adalah antara RM2,000 hingga RM2,500.” Sebelum menyebut gaji tertentu, pastikan ianya berada dalam anggaran gaji yang ditawarkan oleh penemuduga kepada anda.
Perkara Yang Perlu Dielakkan
- Elakkan daripada menetapkan jumlah gaji anda. Lebih baik sekiranya anda membuat rundingan gaji bersama majikan anda.
- Elakkan daripada meletakkan nilai yang rendah pada kelebihan dan pengalaman anda. Sekiranya pengalaman kerjaya dan pencapaian anda diiktiraf oleh institusi tertentu, letakkan harganya sesuai dengan pengalaman dan pencapaian anda.
- Jangan bersikap negatif. Walaupun jumlah ditawarkan kelihatan sangat rendah, tanya kepada majikan dengan baik sebabnya dan adakah masih boleh berunding mengenai gaji yang ditawarkan.
Walaupun untuk menjawab soalan mengenai anggaran gaji yang dipohon agak rumit, anda perlu menjawab dengan jawapan yang bijak dan memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak. Anda juga perlu membuat sedikit rujukan agar gaji yang anda pohon menepati dan bersesuaian dengan pasaran semasa pekerjaan tersebut. Semoga berjaya.