Portal Jawatan Kosong Terkini

Panduan Untuk Menjadi Seorang Jurutera (Ir) Yang Kompeten

Selain daripada kerjaya sebagai seorang doktor, jurutera juga merupakan antara kerjaya popular yang sering menjadi sebutan dan idaman pelajar-pelajar sekolah semasa mencari kerjaya yang sesuai buat mereka. Namun tak semua tahu jenis bidang-bidang dalam kejuruteraan yang ada dan peluang kerjaya dalam bidang ini.

Sekiranya anda kini berada di landasan kejuruteraan atau ingin menyambung pengajian dalam bidang ini kerana minat, anda patut tahu hala tuju untuk menjadi seorang Jurutera Profesional.

Ikuti perkongsian di bawah untuk panduan menjadi seorang Jurutera Profesional (Ir).

PANDUAN MENJADI JURUTERA PROFESIONAL

1 Pilih Jurusan Yang Tepat

Antara elemen yang akan dapat membantu seseorang pelajar jurusan kejuruteraan ke arah menjadi Jurutera Profesional ialah dengan memulakan langkah dengan baik, dan ia bermula seawal memilih jurusan yang akan diambil di universiti.

Hal ini adalah kerana jurusan yang dipilih bakal menentukan hala tuju seseorang pelajar apabila bekerja kelak. Pastikan bidang itu bukan sekadar diambil kerana mengikut kawan mahupun sekadar diambil kerana mengikut pilihan orang ramai semata-mata.

Sekiranya seseorang itu mempunyai minat terhadap sesuatu bidang, maka nasihat saya ialah teruskanlah langkah ke arah merealisasikan minat tersebut. Hal ini adalah kerana minat itu akan dapat menjadi pendorong (driver) seseorang itu untuk terus mencari peluang dari segenap sudut dalam kerangka bidang yang diminati, meskipun bidang tersebut adalah bidang yang mencabar.

2 Peluang Melalui Latihan Industri (Internship)

Di Malaysia, rata-rata jurusan kejuruteraan di universiti mewajibkan para pelajar untuk menjalani latihan industri selama beberapa bulan (3 bulan, 6 bulan, atau sebagainya). Bagi para pelajar kejuruteraan, ini adalah pendedahan yang sangat baik bagi anda di mana anda seharusnya menggunakan peluang ini sebaiknya.

Anda akan mendapat gambaran tentang realiti kehidupan selepas anda bekerja semasa menjalani latihan industri. Anda juga akan dapat mengetahui apakah sebenarnya aktiviti yang dilakukan oleh seseorang jurutera. Gunakan peluang semasa latihan industri ini untuk belajar pelbagai perkara daripada syarikat.

Jika anda gunakan peluang latihan industri sebaiknya, anda boleh ceritakan pengalaman dan ilmu yang anda dapat melalui internship semasa temuduga kerja sebenar nanti.

3 Mendaftar Sebagai Jurutera Siswazah (Graduate Engineer) Selepas Graduasi

Adalah sangat penting bagi seseorang pelajar jurusan kejuruteraan untuk terus mendaftar dengan BEM (Board of Engineers Malaysia) sebaik sahaja anda sudah menggenggam sijil ijazah kejuruteraan. Pendaftaran sebagai seorang Jurutera Siswazah adalah sesuatu yang mandatori untuk seseorang jurutera kelak untuk memohon menjadi seorang Jurutera Profesional, di mana pengalaman minima yang diperlukan adalah selama sekurang-kurangnya 3 tahun setelah mendaftar sebagai seorang Jurutera Siswazah.

Harus diingatkan di sini bahawa sekiranya anda lambat mendaftar, pengalaman bekerja yang telah anda kumpulkan sebelum berdaftar sebagai seorang Jurutera Siswazah itu TIDAK akan dikira sekiranya anda ingin memohon untuk menjadi seorang Jurutera Profesional kelak. Rugilah anda sekiranya anda terpaksa melalui situasi sedemikian.

4 Kenali Jurutera-jurutera Profesional Dalam Industri

Pembinaan jaringan dalam industri merupakan sesuatu yang penting. Salah satu golongan yang wajar seseorang jurutera baru itu dekati ialah golongan Jurutera Profesional dalam industri.
Ini akan dapat sangat membantu anda yang baru hendak memulakan kerjaya dalam industri.

Anda akan memperoleh bantuan mereka dalam usaha anda ke arah menjadi seorang Jurutera Profesional kelak – daripada mendapatkan sokongan (endorsement) untuk pendaftaran anda menjadi seorang Jurutera Siswazah (Graduate Engineer), memperoleh tips-tips untuk menduduki Temuduga Profesional (Professional Interview), dan lebih baik lagi, memperoleh sokongan mereka untuk menduduki Temuduga Profesional kelak.

5 Kenali Organisasi-organisasi Kejuruteraan di Malaysia (BEM, IEM dan sebagainya)

Dua organisasi asas yang seharusnya dikenali oleh para pelajar kejuruteraan di Malaysia termasuklah BEM (Board of Engineers Malaysia) dan IEM (Institution of Engineers, Malaysia). Untuk menerangkan dengan lebih lanjut, analogi sekolah memandu boleh diguna pakai. Dalam proses anda untuk mendapatkan lesen kenderaan, pihak yang akan memberikan lesen sekiranya anda lulus dalam ujian memandu ialah pihak JPJ, sementara anda akan belajar berkenaan teori dan praktikal memandu kenderaan di sekolah memandu.

BEM ialah “JPJ” bagi kes ini di mana BEM merupakan badan yang memantau dan menguatkuasakan Akta dan Peraturan berkenaan para jurutera di Malaysia

.Sementara itu, IEM pula ialah “Sekolah Memandu” bagi kes ini, di mana IEM merupakan organisasi yang membantu untuk mempromosi dan memperkasakan profesion kejuruteraan di Malaysia – termasuklah menganjurkan pelbagai inisiatif bagi membantu para jurutera untuk meningkatkan pengetahuan dan daya saing (melalui siri-siri penganjuran perkongsian kejuruteraan, kursus-kursus teknikal, sesi-sesi pembinaan rangkaian, dan sebagainya).

6 Mulakan Langkah Anda Sekarang

Jangan bertangguh untuk memulakan langkah yang baik. Proses untuk menjadi Jurutera Profesional (Ir) mengambil masa dan ketelitian. Mulakan ia dari sekarang walaupun anda hanya seorang pelajar, baru graduasi ataupun baru memulakan kerjaya sebagai Jurutera. Jangan berhenti setakat Ijazah, teruskan perjalanan anda ke langkah yang lebih tinggi.

Semoga bermanfaat!