Ada perkara yang boleh disebut ketika sesi temuduga anda dan ada perkara yang tidak boleh anda sebutkan ketika temuduga dijalankan.
Hal ini kerana ia memberikan beberapa persepsi yang tidak baik daripada pandangan penemuduga ketika anda menyebutkan perkara yang tidak sepatutnya walaupun anda disoal dengan jawapan tersebut.
Baca perkongsian ini untuk mengetahui perkara apakah yang dilarang sama sekali untuk anda menyebutnya walaupun disoal oleh penemuduga.
Jangan Sebut Perkara Ini
Perkara yang dilarang untuk anda menyebutnya ketika temuduga ialah :
1. Benci Pekerjaan Lama / Sekarang
Jika anda menyebut perkara ini dihadapan penemuduga, ia memberikan negatif kepada penemuduga kerana mereka menganggap bahawa anda bakal benci pada pekerjaan yanga kan ditawarkan kepada anda. Jadi, berhati-hati dan jangan menyebutnya dihadapan penemuduga walaupun disoal dengan soalan ini.
2. Rancang Untuk Bercuti Minggu Hadapan
Ada juga majikan yang bertanya mengenai perancangan anda dalam masa seminggu dua ini untuk mengetahui peracangan terkini anda. Mungkin mereka akan mempertimbangkan untuk menawarkan jawatan tersebut kepada anda dan tahu masa yang sesuai untuk panggil anda hadir melapor diri.
Oleh itu, jangan maklumkan bahawa anda akan bercuti pada minggu hadapan atau 2-3 minggu akan datang kepada penemuduga. Khuatir juga majikan akan menarik semula tawaran buat anda. Tunggu sehingga anda sah mendapat tawaran kerja dan lapor diri, barulah anda bincangkan perihal percutian anda.
3. Memburukkan Majikan / Bekas Majikan
“Majikan saya seorang yang sangat teruk, jahat dan tidak berhati perut”. Jadi, adakah anda akan mengatakan perkara yang sama ketika anda hadir temuduga untuk masa yang akan datang?
4. Tempat Kerja Tak Seronok
Elakkan daripada memberikan pernyataan ini. Majikan baru akan menganggap bahawa anda yang bermasalah kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru walau dimana sahaja anda bekerja.
5. Jumlah Gaji Untuk Jawatan Ini
Walaupun anda ditawarkan untuk bertanyakan soalan, jangan sesekali bertanyakan mengenai soal gaji kepada penemuduga anda. Mungkin anda tidak peka dengan tawaran kerja yang menyatakan jumlah gaji yang ditawarkan dan ia juga tidak sesuai ditanya walaupun tidak dinyatakan dalam iklan tawaran. Untuk bahagian ini, biar sahaja bakal majikan anda yang bertanyakan soalan ini kepada anda.
Baca juga : Apa Yang Perlu Anda Jawab Jika Ditanya Berapa Anggaran Gaji Anda?
6. Berapa Hari Cuti?
Ini adalah soalan mengenai faedah yang akan diberikan oleh syarikat kepada anda. elakkan bertanya soalan mengenai faedah syarikat kepada pekerja. Anda boleh bertanyakan soalan ini setelah anda sah mendapat tawaran kerja oleh majikan.
7. Menjawab Panggilan Telefon
“Sekejap ya tuan, saya nak jawab telefon ini sekejap”. Sila matikan telefon bimbit anda sebelum anda hadir temuduga. Jangan menjawab telefon, buka Facebook, main Whatsapp dan membalas mesej ketika temuduga anda.
8. Jangan Memaksa Majikan
Anda tidak perlu memaksa penemuduga untuk menerima anda bekerja dengan mereka. “Tolonglah tuan, saya perlukan kerja ini sangat-sangat”. Anda tidak perlu berkata seperti ini kepada penemuduga walaupun anda amat memerlukan pekerjaan tersebut. Tunjukkan kelebihan dan kemahiran diri anda serta yakin ketika menjawab soalan. Penemuduga pasti mempertimbangkan untuk berikan jawatan terebut kepada anda sekiranya anda memenuhi kriteria mereka.
9. Tidak Berpengalaman & Cepat Belajar
Ini adalah ayat klise yang memuakkan bakal majikan anda. Apa yang penting, dapatkan maklumat serta kriteria yang diperlukan oleh bakal majikan anda. Semasa temuduga, kaitkan dengan kelebihan dan kemahiran yang sedia ada pada anda. Jual diri anda kepada penemuduga.
10. Tidak Tahu
Jangan terlalu panik sekiranya anda tidak tahu jawapan yang diberikan oleh penemuduga. Anda juga jangan menyebut “Tidak tahu”. Sebalikny ambil sedikit masa dan tanyakan semula soalan pada penemuduga untuk dapatkan penjelasan yang lebih lanjut.
11. Lihat Saja Resume
Anda tidak perlu memberikan arahan kepada penemuduga untuk melihat resume anda sekiranya bertanyakan soalan dan jawapannya ada di dalam resume anda. Penemuduga bertanyakan soalan walaupun mengetahui jawapannya kerana ingin menilai cara anda berkomunikasi serta memberi maklumbalas terhadap soalan yang diberikan.
12. Bila Temuduga Akan Selesai?
Walaupun anda mempunyai temujanji lain pada hari yang sama, jangan sesekali bertanyakan kepada majikan bilakah temuduga anda akan selesai. Rancang temujanji anda pada hari dan masa yang lain.
13. Maaf, Lambat
Ini menunjukkan attitude anda yang tidak baik dari segi pengurusan masa kerana hadir lambat untuk temuduga. Tetapi jika anda mempunyai hal kecemasan, nyatakan dengan jujur dan jelas kepada penemuduga beserta dengan bukti. Jika anda mempunyai nombor telefon syarikat tersebut, anda boleh telefon dan nyatakan hal kecemasan yang berlaku kepada anda.
14. Bercakap Kasar
Tampil dengan penuh sopan dan penuh profesional. Elakkan berkomunikasi dengan penemuduga seperti bercakap dengan rakan-rakan anda. Jangan bercakap dengan kasar atau memaki hamun.
15. Mahu Bekerja Dari Rumah
Walau anda mempunyai masalah yang memerlukan anda bekerja dari rumah, elakkan berbincang mengenai perkara ini dengan penemuduga anda sebelum anda mendapat tawaran kerja yang sah.
16. Adakah Saya Telah Diterima Kerja?
Apabila temuduga tamat dan penemuduga menawarkan anda untuk bertanyakan soalan, jangan tanyakan soalan ini kepada penemuduga anda. Bakal majikan anda memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan walaupun anda merupakan calon yang terbaik untuk jawatan tersebut.
Jadi, elakkan daripada bercakap 16 perkara diatas ketika temuduga sekiranya anda mahukan pekerjaan tersebut menjadi milik anda. jaga adab sopan dan yakinlah ketika menjawab soalan. Semoga berjaya.