Resume 1 Atau 2 Muka Surat?
Resume yang terbaik adalah resume yang ringkas dan padat dan dimasukkan di dalam satu muka surat sahaja.
Namun terdapat calon yang tidak dapat memuatkan semua maklumat ke dalam satu muka surat dan menjadikan resume mereka lebih daripada satu muka surat.
Mengapa Anda Perlu Membuat Resume Dua Muka Surat
Terdapat beberapa alasan dan sebab yang sesuai sekiranya anda perlu menjadikan resume anda sebanyak 2 muka surat dan antaranya ialah :
- Anda merupakan seorang profesional yang bekerja dan berpengalaman lebih daripada 10 tahun dalam perkhidmatan anda.
- Kebanyakan syarikat menggunakan sistem Applicant Tracking System (ATS) untuk saringan awal resume yang diterima melalui permohonan secara online. Sistem ini diprogramkan untuk mengimbas keyword yang diprogramkan.
Bilakah Penggunaan Resume Dua Muka Surat (Atau Lebih)
Berikut adalah beberapa situasi di mana penggunaan resume lebih satu muka surat boleh diterima :
Mempunyai Lebih Dari 10 Tahun Pengalaman
Sekiranya anda mempunyai pengalaman 10 tahun atau lebih dalam bidang pekerjaan. Nyatakan dengan terperinci maklumat seperti :
- Syarikat / Majikan
- Jawatan
- Sejarah kenaikan pangkat
- Tahun berkhidmat di setiap tempat
- Pencapaian
Ini akan memberi anda ruang untuk menerangkan pencapaian dan sumbangan yang akan membezakan anda daripada calon yang lain.
Semasa Anda Memohon Pekerjaan Peringkat Senior
Sebilangan besar syarikat yang merekrut jawatan pengurusan kanan berharap dapat menerima resume dua atau tiga muka surat daripada anda. Bagi mereka, resume dua atau lebih muka surat lebih lengkap dengan maklumat yang mereka perlukan.
Mempunyai Pencapaian Kerjaya, Sijil Dan Kemahiran Teknikal Profesional
Sekiranya anda berada dalam bidang tertentu seperti IT, kejuruteraan, akademik atau penyelidikan saintifik, pastinya majikan ingin menyemak senarai perakuan profesional, kemahiran teknologi, projek utama dan jurnal anda. Lengkapkan resume anda dengan menyenaraikan latar belakang latihan dan pengalaman kerja yang berkaitan.
Semasa Anda Memohon Pekerjaan Sektor Awam
Sekiranya anda memohon pekerjaan di sektor awam, anda bukan sekadar dinilai daripada kelayakan pendidikan, malahan daripada sudut pengalaman anda. Jadi resume sangat memainkan peranan yang penting ketika anda menghadapi temuduga.
Tips Menulis Resume Dua Halaman
Masukkan kelayakan terpenting anda di muka surat pertama
Masukkan maklumat penting seperti kemahiran anda yang paling relevan pada muka surat pertama resume. Cara terbaik untuk melakukannya adalah dengan menggunakan ringkasan resume untuk memberikan sinopsis kepakaran dan kemahiran profesional yang menjadikan anda calon kuat untuk pekerjaan yang dipohon.
Masukkan ‘keyword’ penting
Gunakan ‘keyword’ penting dalam ringkasan resume anda dan ulangi di bahagian ‘Pengalaman Kerja’. Sistem ATS akan membuat kiraan berapa tahun anda mahir dalam kemahiran dan bidang tertentu. Jadi keyword khusus ini perlu diulang dalam setiap keterangan pekerjaan.
Tonjolkan pencapaian anda
Tonjolkan pencapaian kerjaya anda dengan meletakkan ukuran tertentu di resume. Terangkan dengan ringkas dan berikan dua atau empat contoh pencapaian anda dengan menggunakan format ‘bullet’.
Satu atau dua muka surat resume anda bukanlah satu masalah. Yang pastinya masukkan maklumat yang penting ke dalam resume anda dan pastikan ianya menepati kehendak majikan anda. Ringkaskan dan jadikan resume anda padat dengan maklumat yang bersesuaian.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk dijadikan panduan buat anda.