Banyak Pengalaman, Tetapi Gagal Temuduga SPA
Pengalaman 5 tahun, 10 tahun atau 20 tahun dalam bidang pekerjaan bukanlah satu tiket yang mudah untuk anda lulus dalam temuduga terutamanya temuduga dibawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Seorang bekas panel penemuduga SPA telah mendedahkan punca-punca calon yang berpengalaman dalam bidang kerja gagal dalam temuduga yang dijalankan oleh SPA dan beliau telah kongsikan untuk dijadikan panduan untuk calon yang akan datang.
Punca Calon Gagal Temuduga SPA
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan calon-calon temuduga SPA gagal ketika temuduga dan punca-puncanya ialah :
1. Terlalu Santai
Oleh kerana mahu hilangkan rasa gemuruh ketika temuduga, ada segelintir calon yang menjadikan sesi temuduganya santai sehingga tidak mengamalkan etika temuduga yang betul.
Terdapat calon yang terlalu santai memberikan jawapan ketika menjawab soalan formal yang diajukan oleh panel penemuduga. Malahan ada yang terlalu santai sehingga menjadi terlalu ramah sehingga tidak fokus dengan soalan yang ditanya oleh penemuduga. Lain yang ditanya, lain pula yang dijawabnya. Maklumlah, banyak pengalaman, kan.
2. Berlagak dan Berlebihan
Tahulah calon berpengalaman 5 tahun dalam pekerjaan, tetapi tidak perlu tunjukkan lagak anda kepada panel penemuduga. Pada hari temuduga, mereka bukanlah staf atau rakan sekerja anda untuk berlagak secara berlebihan ketika sesi temuduga dijalankan.
Ada calon yang bercakap dengan meninggikan diri ketika menjawab soalan dan bercakap besar dengan panel penemuduga kerana merasakan sangat berpengalaman dan confident lulus dalam temuduga.
Anda hanyalah calon temuduga sahaja. Pastikan anda sentiasa sopan dan merendah diri setiap kali hadir temuduga ya.
3. Palsukan Resume
Kerana hendak menunjukkan diri calon sangat berpengalaman dan merasakan akan lulus dalam temuduga dengan mudah, ada calon yang sanggup memalsukan maklumat dalam resume.
Anda perlu sedar, jika anda memalsukan maklumat anda, ia adalah satu kesalahan yang besar. Ini kerana panel penemuduga akan membuat semakan dan anda mungkin akan terperangkap dengan soalan-soalan yang dirujuk melalui resume anda.
4. Terlalu Malu
Pastikan malu anda adalah malu yang bertempat. Tetapi jika terlalu malu sehingga tidak boleh bercakap ketika temuduga itu adalah satu masalah yang besar buat seorang calon temuduga SPA. Inilah sebabnya temuduga dijalankan. Bertujuan untuk melihat dan menilai tahap komunikasi seorang calon dan memastikan anda layak dengan pekerjaan tersebut.
Jadi, buang rasa malu untuk bercakap seketika. Buat latihan temuduga seminggu sebelum temuduga yang sebenar dan selesakan diri anda ketika sesi temuduga dijalankan. Tetapi ingat, jangan terlebih ramah dan santai pula ya.
5. Bahasa Badan Yang Salah
Jaga bahasa badan anda sepanjang sesi temuduga dijalankan. Sesi temuduga tidak lama pun, sekejap sahaja. Duduk dalam postur yang betul. Jangan terlalu ke depan, jangan bersilang kaki, jangan menguap dan jangan menyandar seoalah-olah menonton wayang.
Tunjukkan minat bahawa anda suka dengan sesi temuduga yang dijalakan dan gunakan kemahiran mendengar untuk fokus dengan soalan yang diberikan oleh penemuduga anda. Senyum.
6. Tidak Mengkaji Jawatan / Jabatan / Kementerian
Calon tidak membuat sebarang persediaan berkaitan jawatan / Jabatan / Kementerian ketika disoal dengan soalan yang berkaitan :
- Terangkan deskripsi tugas jawatan ini.
- Apakah misi dan visi jabatan ini?
- Terangkan objektif jabatan ini.
- Siapakan Menteri bagi Kementerian ini?
Jika calon tidak dapat menjawab soalan ini, bermakna calon tiada sebarang persediaan untuk menjawat jawatan ini. Tidak pernah mengkaji tentang jawatan yang dipohon dan mungkin sekadar mencuba nasib. Jadi, panel penemuduga menganggap calon tidak serius untuk mendapatkan jawatan tersebut.
7. Guna Bahasa Pasar
Jika panel penemuduga menggunakan bahasa pasar ketika menemuduga anda, ingat bahawa mereka sekadar ingin menduga anda sahaja. Jangan gunakan bahasa pasar ketika menjawab soalan. Gunakan bahasa yang formal atau baku ketika sesi temuduga dijalankan. Melainkan penemuduga mengatakan sesi temuduga telah tamat dan ingin berbual dengan anda secara santai. Mungkin penemuduga selesa dengan anda dan berminat untuk menawarkan anda untuk ke stage seterusnya.
8. Berpolitik
Tidak kisahlah siapa anda sokong dan parti apa yang ada sokong, jangan terlalu ghairah untuk berpolitik ketika sesi temuduga dijalankan walaupun soalan yang dikemukakan sangat menarik minat anda untuk membuat ulasan. Anda perlu neutral dan berhati-hati ketika menjawab soalan atau memberikan jawapan.
Cukup dahulu dikongsikan 8 punca calon yang berpengalaman gagal dalam temuduga berdasarkan penilaian seorang panel penemuduga SPA ini. Sebagai seorang calon, pastikan kesilapan ini tidak dilakukan atau diulang. Jadikan pengajaran. Bersederhana itu lebih baik.
Sekiranya anda ditanya, “Anda ada apa-apa soalan?” jangan jawab “Tiada soalan, Tuan”. Sebaliknya dapatkan contoh soalan yang akan ditanya kepada panel penemuduga dengan klik disini. Ada markah tambahan tau jika anda tanyakan soalan kepada mereka.