Portal Jawatan Kosong Terkini

5 Ayat Yang Tak Perlu Dikatakan Kepada Penemuduga Semasa Temuduga

0 691

Anda bebas untuk bercakap apabila penemuduga mengajukan soalan kepada anda. Malah, adalah lebih baik jika anda banyak bercakap ketika temuduga kerana ini menampakkan anda sebagai seorang yang berkeyakinan tinggi.

Namun, harus diingat bahawa terdapat beberapa ayat yang anda tidak boleh sesekali cakap ketika temuduga. Ayat-ayat ini termasuklah yang melibatkan perkara sensitif, ayat yang berbaur perasaan meninggi diri dan lain-lain lagi.

Tidak dinafikan, kadang-kala tidak terniat pun dalam hati anda untuk mengucapkan ayat-ayat seperti ini tetapi oleh kerana terlalu gemuruh, tanpa sedari anda telah mengeluarkan ayat-ayat yang mampu membunuh peluang anda ini.

Oleh itu, anda perlulah sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata. Berikut dikongsikan 5 ayat yang tidak sepatutnya anda ungkapkan kepada penemuduga semasa sesi temuduga dijalankan.

“Saya Sangat Pakar Dalam Bidang Ini.”

Tidak dapat dinafikan terdapat sesetengah bidang yang anda sangat arif tentangnya. Oleh sebab itulah anda memilih kerjaya yang berkaitan dengan bidang tersebut. Bahkan, temuduga tentang bidang itu seolah-olah seperti “makanan” sahaja buat anda.

Anda perlu ingat bahawa walau sehebat mana sekalipun anda dalam bidang tertentu, jangan sesekali sebutkan kehebatan anda itu kepada penemuduga. Anda pasti menjangkakan bahawa penemuduga akan tertarik dengan anda setelah anda menyebutkan kehebatan anda dalam bidang itu.

Namun, hakikatnya bukanlah begitu. Penemuduga malah melihat anda sebagai seorang yang mementingkan ego dan suka meninggi diri. Percayalah, tidak ada majikan yang suka untuk menggaji pekerja yang suka meninggikan diri.

Sebaliknya, anda perlulah mengucapkan ayat seperti ini. “Saya sangat berminat untuk belajar lebih lagi dalam bidang ini bagi menambahkan pengetahuan saya.”

“Saya Sering bertukar Kerja Sebelum Ini Kerana Masih Belum Menjumpai Kerja Yang Sesuai Dengan Saya.”

Tanpa anda sedari, ayat ini sangatlah bahaya. Penemuduga akan mula melabel anda sebagai seorang yang suka memilih kerja dan tidak ada pendirian tetap. Mereka juga akan mula mempersoalkan kesetiaan anda sekiranya mereka mengambil anda bekerja dengan mereka.

Ingatlah bahawa majikan memegang satu prinsip yang tetap iaitu tidak akan sesekali melepaskan pekerja mereka yang berkualiti dengan mudah. Jadi, jika anda berpotensi dan mampu menyumbang untuk syarikat mereka, sudah pasti mereka tidak mahu melepaskan anda.

Berdasarkan ayat anda tadi, mereka dari awal lagi akan berfikir adalah baik untuk tidak mengambil anda bekerja kerana jika mereka mengambil anda, suatu hari nanti anda akan tinggalkan syarikat mereka juga sekiranya anda tidak lagi berminat.

“Boleh Saya Tahu Syarikat Ini Buat Apa?”

Dengan bertanyakan soalan seperti ini, jelaslah kepada majikan bahawa anda merupakan seorang yang tidak peka. Sebagai seorang penemuduga, anda sepatutnya menjalankan sedikit kajian tentang syarikat yang anda pohon kerja itu. Antara salah satu maklumat yang anda perlu tahu mengenai syarikat tersebut adalah apakah yang syarikat tersebut lakukan.

Maksudnya, anda perlu tahu sendiri dan bukannya bertanya kembali kepada penemuduga. Pertanyaan anda itu jelas menunjukkan bahawa anda tidak bersedia untuk bekerja di syarikat tersebut.

“Sebab Saya Tinggalkan Kerja Lama Saya Adalah Kerana Tempat Kerja Itu Teruk.”

Tahukah anda bahawa dengan menyatakan aduan tentang mengapa anda meninggalkan kerja lama anda kepada penemuduga seperti ini, kemungkinan untuk anda tidak diterima di tempat kerja itu adalah sangat tinggi.

Sedarlah bahawa anda bukannya sedang berada di sesi kaunseling sebaliknya anda sedang menjual diri anda dalam suatu lubuk rezeki. Jadi, jika ingin menjual diri anda, perkara yang baik perlulah ditekankan. Ingatlah! majikan ingin menggaji seorang pekerja yang betul-betul berminat untuk bekerja dengan mereka dan bukannya menggaji pekerja yang mempunyai masalah.

“Saya Tidak Ada Sebarang Soalan.”

Kebiasaannya, sebelum sesi temuduga tamat, penemuduga akan bertanya kepada calon soalan ini. “Adakah anda ada apa-apa soalan untuk saya?” Jadilah bijak! Jika anda menjawab tidak ada apa-apa soalan, penemuduga akan menganggap anda tidak berminat untuk bekerja di tempat itu.

Oleh itu, tanyalah sebarang soalan kepada penemuduga tersebut. Namun, pastikan soalan yang ditanya itu bernas dan berkaitan dengan karier yang anda pohon. Lebih baik lagi, soalan tersebut mestilah jawapannya tidak ada dalam laman web syarikat. Dengan melakukan ini, anda akan dilihat seperti seorang yang bersemangat dan ingin tahu.

Anda sudah tahu senarai lima soalan yang tidak sepatutnya anda tanya kepada penemuduga. Jadi, janganlah sesekali bertanyakan soalan-soalan seperti ini. Semoga artikel ini bermanfaat buat anda dan selamat berjaya dalam temuduga.

Daftar Pencari Kerja
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Jawatan Kosong Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.