Portal Jawatan Kosong Terkini

6 Tips ”Menjual” Diri Ketika Temuduga

0 1,236

Setiap calon yang menghadiri temuduga mempunyai satu matlamat yang sama iaitu untuk diterima dalam pekerjaan yang dipohon itu. Namun, harus diingat bahawa bukan anda seorang sahaja yang menghadiri temuduga tersebut. Ramai lagi calon lain yang turut menghadiri temuduga itu.

Jadi, persaingan anda untuk diterima bekerja di tempat itu bukanlah sedikit. Untuk memastikan anda berjaya dalam temuduga tersebut dan diterima bekerja, anda perlulah betul-betul memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh penemuduga serta melakukan sehabis baik semasa temuduga itu.

Terdapat beberapa tips yang perlu anda ambil perhatian dan ikuti dalam usaha untuk berjaya semasa temuduga. Tip-tip ini bukan sahaja untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh penemuduga tetapi juga untuk menarik hati penemuduga tersebut.

Dalam artikel ini, pihak kami akan kongsikan beberapa tips untuk anda ikut tentang bagaimana untuk “menjual” diri anda semasa temuduga. Antara tip-tip tersebut adalah seperti berikut.

LEBIHKAN SENYUMAN PADA PENEMUDUGA

Anda semestinya pernah mendengar kata-kata senyuman merupakan satu sedekah. Kata-kata ini tepat sama sekali. Senyuman bukan sahaja berpahala mengikut kepercayaan pengganut agama Islam, tetapi juga mampu mengubah mood seseorang itu.

Andai kata penemuduga itu sedang dalam keadaan mood tidak baik, keputusannya untuk memilih anda bekerja bakal terjejas. Oleh yang demikian, senyumlah sentiasa kepada penemuduga itu.

Selain senyuman, kata-kata anda juga memainkan peranan penting. Oleh itu, kata-kata anda haruslah sentiasa dijaga. Jangan sesekali menggunakan kata-kata kesat ataupun kasar.

Gunakan bahasa yang sopan walaupun penemuduga itu umurnya lebih muda daripada anda. Letakkan dalam diri anda bahawa penemuduga merupakan seorang yang sangat perlu untuk dihormati.

Senyuman merupakan tip yang paling mudah untuk dilakukan semasa temuduga. Oleh itu, janganlah lupa untuk senyum semasa temuduga kelak. Gunakanlah juga bahasa yang lembut dan berhemah dengan penemuduga anda.

TANYA SOALAN YANG UNIK

Bertanya soalan boleh menyebabkan penemuduga menganggap anda sebagai seorang yang tidak pasif dan berminat dengan jawatan tersebut. Namun, soalan yang ditanya haruslah soalan-soalan yang baik dan bukanlah soalan-soalan yang tidak berkaitan dengan kerjaya tersebut.

Rahsia untuk membezakan anda dengan calon-calon temuduga yang lain adalah bertanya soalan yang baik. Anda akan kelihatan bersemangat dan bersikap ingin tahu dengan cara banyak bertanya soalan yang baik.

Soalan yang baik di sini bermaksud soalan yang menunjukkan minat terhadap pekerjaan yang anda pohon itu. Sebagai contoh, anda boleh bertanyakan soalan seperti ini. Adakah produk syarikat ini mempunyai ciri-ciri seperti selamat, bernilai dan lain-lain? Soalan-soalan ini bergantung kepada anda selagi ianya menunjukkan minat anda terhadap kerja yang anda pohon.

NYATAKAN PENCAPAIAN ANDA DALAM BENTUK KUANTITI

Adalah penting untuk anda nyatakan segala pencapaian anda dalam bentuk kuantiti apabila ditanya oleh penemuduga. Gunakan angka untuk menerangkan sejauh mana kejayaan yang telah anda capai.

Sebagai contoh, penemuduga bertanya kepada anda terangkan sejauh mana kejayaan projek anda semasa pekerjaan dahulu. Semestinya ramai daripada calon temuduga akan menjawab “Saya berjaya menyelesaikan hampir keseluruhan projek itu.”

Tidak salah untuk menjawab dengan cara itu tetapi jawapan yang diberikan ini terlalu subjektif. Penemuduga tidak tahu sejauh mana kejayaan anda dalam projek jika merujuk kepada perkataan “hampir keseluruhan” yang anda berikan.

Adalah lebih baik jika anda membeikan jawapan menggunakan angka kuantiti. Contohnya seperti ini. “Dalam projek di tempat kerja yang lepas, saya telah berjaya menyelesaikan 75% daripada projek yang diberikan kepada saya.” Jawapan seperti ini lebih realistik dan lebih meyakinkan penemuduga.

DAPATKAN “FIRST IMPRESSION” YANG BAIK

“First Impression” merupakan pandangan penemuduga terhadap anda sebaik sahaja beliau melihat anda. Beliau tidak kenal lagi siapa anda ketika itu namun sebenarnya beliau sudah menilai anda buat kali pertama.

“First Impression” ini sangat penting sebenarnya kerana ini merupakan permulaan tanggapan penemuduga terhadap anda. Jika “first impression” baik maka tanggapan penemuduga buat anda akan baik juga untuk keseluruhan temuduga itu dan begitu juga sebaliknya.

Bagaimana untuk mendapat “first impression” yang baik daripada penemuduga? Mudah sahaja sebenarnya! Pertama sekali, pastikan anda membuat pemilihan pakaian yang betul. Pastikan anda berpakaian kemas dan mengikut kod etika pemakaian yang telah ditetapkan. Jangan sesekali pakai selipar ketika temuduga. Mood penemuduga akan berubah sama sekali jika anda berbuat demikian.

Berhati-hati juga dengan masa. Pastikan anda sampai sebelum waktu temuduga bermula. Tidak salah untuk sampai awal di tempat temuduga tersebut. Jangan sesekali lewat kerana kelewatan akan menyebabkan penemuduga melabel anda sebagai tidak berdisiplin.

Seterusnya, cara anda jalan untuk bertemu dengan penemuduga. Pastikan anda menunjukkan semangat yang tinggi dan bukannya jalan secara lemah-longlai. Pastikan juga anda menggunakan bahasa tubuh semasa anda memberikan jawapan kepada penemuduga. Bahasa tubuh penting dalam menunjukkan keyakinan anda.

JAWAB SOALAN YANG DITANYA SECARA JUJUR TETAPI POSITIF

Kebanyakan calon temuduga akan menghadapi masalah apabila penemuduga bertanyakan soalan kepada mereka tentang kegagalan yang pernah mereka alami ketika di tempat kerja lama dahulu.

Ada daripada calon temuduga yang menipu dan ada juga yang mengakui kegagalan mereka. Namun, malangnya mereka hanya mengakui kegagalan tersebut tanpa menambah jawapan secara positif.

Berikut merupakan contoh jawapan untuk memudahkan anda faham apa itu jawapan secara positif.

“Kegagalan yang saya pernah alami semasa bekerja di tempat kerja lama saya dahulu adalah pernah diberi amaran kerana datang lambat ke tempat kerja. Namun, dengan amaran itu, saya mula sedar betapa pentingnya waktu kepada seorang pekerja dan berusaha untuk mematuhi waktu sejak itu.”

Anekdot ataupun kesan secara positif daripada kegagalan itulah yang sebenarnya menarik perhatian penemuduga. Jangan sesekali menipu. Anda harus menyatakan kegagalan anda yang sebenar dan sertakan juga impak positif terhadap diri anda.

JAWAB SOALAN DENGAN YAKIN

Soalan yang ditanya oleh penemuduga perlulah dijawab dengan betul dan yakin. Buat persediaan secukupnya. Pastinya anda menghabiskan banyak masa membuat kajian tentang syarikat yang memanggil anda temuduga serta kerjaya yang anda pohon sebelum menghadiri temuduga. Hal ini untuk memastikan anda tahu segalanya dan tidak terkaku apabila disoal nanti.

Keyakinan diri juga penting kerana penemuduga ingin melihat sejauh mana keyakinan anda terhadap jawapan yang anda berikan. Menjawab soalan dengan betul dan yakin juga sudah semestinya akan menarik perhatian penemuduga untuk mengambil anda bekerja.

Pihak kami berharap supaya anda dapat mengambil manfaat daripada artikel ini. Pastikan anda melakukan kesemua perkara yang dicatatkan dalam artikel ini dalam usaha menarik minat penemuduga terhadap anda untuk mengambil anda bekerja. Kami doakan kejayaan anda.

Daftar Pencari Kerja
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Jawatan Kosong Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.