Portal Jawatan Kosong Terkini

Cara-Cara Mengatasi Rasa Gemuruh Sebelum Temuduga

0 758

Tidak dapat dinafikan rasa gemuruh akan memberikan kesan yang tidak baik kepada anda semasa temuduga. Sebenarnya, rasa gemuruh ini normal dirasai oleh setiap calon temuduga terutama sekali graduan.

Maklumlah, graduan belum pernah mempunyai pengalaman menghadiri temuduga kerja. Rasa gemuruh ini juga telah memberi kesan buruk kepada graduan. Berdasarkan kajian, majoriti graduan tidak menunjukkan prestasi yang baik semasa temuduga adalah kerana perasaan gemuruh mereka.

Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajiban buat anda untuk berusaha mengatasi rasa gemuruh ini supaya anda dapat memberikan prestasi terbaik semasa temuduga.

Dalam artikel ini akan dikongsikan cara-cara untuk anda mengatasi rasa gemuruh sebelum temuduga. Anda bolehlah mengikuti cara-cara ini demi memastikan rasa gemuruh tidak mengganggu prestasi anda semasa temuduga. Berikut merupakan cara-caranya.

FIRST IMPRESSION

Pelbagai perkara perlu dititikberatkan bagi mendapatkan first impression yang baik daripada penemuduga. Contohnya seperti cara anda bersalam dengannya (bagi sesama jantina), postur badan anda dan juga susunan ayat-ayat anda dalam memperkenalkan diri.

Adalah sangat sukar untuk anda mengawal diri dan menjaga semua perkara-perkara ini sekiranya diri anda sedang berada di bawah penguasaan rasa gemuruh.

Graduan muda hari ini juga dilihat sebagai tidak mementingkan first impression yang baik daripada penemuduga. Aspek yang sepatutnya dijaga seperti tepati waktu dan pakaian yang kemas diabaikan oleh graduan.

Cara Untuk Atasi:

Cara untuk atasi gemuruh ini mudah sahaja. Pastikan anda datang awal ke tempat temuduga tersebut. Anda perlulah sampai ke tempat temuduga sekurang-kurangnya 10 hingga 15 minit awal. Jadi, anda akan memperoleh banyak waktu untuk menyusun dokumen dengan kemas di dalam fail serta tidak perlu kelam-kabut.

Jangan lupa juga untuk bawa buku catatan untuk anda membuat catatan. Pastikan juga anda merancang soalan yang hebat untuk ditanyakan kepada penemuduga kerana soalan anda kepada penemuduga juga sangat penting.

Bertenang. Tarik nafas dalam-dalam dan panjang serta cuba untuk kawal diri anda semasa ingin memasuki bilik temuduga. Hiasi wajah anda dengan senyuman serta pandang wajah penemuduga dengan penuh keyakinan.

HILANG MEMORI

“Memory lost” ataupun hilang memori merupakan suatu keadaan yang terjadi apabila anda  lupa segala perkara yang telah anda hafal sebelum ini. Keadaan ini terjadi apabila perasaan gugup telah menguasai diri anda.

Perkara ini akan menyebabkan graduan terus membisu walaupun pada awalnya dia telah menghafal kesemua jawapan yang ditanya oleh penemuduga.

Cara Untuk Atasi:

Untuk mengatasi masalah ini tidaklah sesukar mana. Jangan hafal sebaliknya cuba untuk fahamkan sesuatu perkara itu. Anda akan mudah lupa jika menghafal sesuatu perkara itu namun perkara itu akan kekal dalam minda anda jika anda memahaminya. Dengan memahami sesuatu perkara itu, anda tidak akan mengalami “memory lost” kerana maklumat yang anda ingin ingat itu sudah melekat dalam minda anda.

SOALAN LUAR JANGKAAN

Isu ini menjadi pembunuh utama impian seseorang graduan untuk bekerja dengan kerajaan. Berdasarkan kajian yang dijalankan, penemuduga banyak memberikan respon bahawa terdapat ramai calon temuduga yang gagal untuk memberikan jawapan kepada soalan-soalan di luar jangkaan yang mereka tanya.

Anda mungkin melakukan banyak kajian dan pemerhatian tentang soalan-soalan yang sering ditanya semasa temuduga. Tidak dinafikan bahawa tindakan itu bagus tetapi anda harus ingat bahawa penemuduga mungkin akan bertanya soalan yang tidak anda jangka-jangka.

Cara Untuk Atasi:

Pastikan minda anda sentiasa segar dengan maklumat-maklumat serta ilmu-ilmu berkaitan. Anda mestilah membuat lebih banyak bacaan dan kajian tentang jawatan serta tugas yang bakal anda pikul sekiranya anda berjaya diterima di tempat kerja itu.

Contohnya jika anda memohon kerja sebagai seorang pendidik, anda haruslah tahu cara bagaimana mengatasi masalah-masalah yang berlaku dalam dunia pendidikan. Di samping itu, anda juga mungkin akan disoal tentang isu-isu semasa yang berkaitan dengan pendidikan. Jadi, anda haruslah membuat persediaan yang rapi.

REAKSI PENEMUDUGA YANG KURANG MEMBERANGSANGKAN

Penemuduga selalunya akan memberikan reaksi yang kurang menyenangkan sekiranya jawapan yang anda berikan kepadanya tidak menepati skop yang diharapkan olehnya. Hal ini juga berlaku sekiranya penemuduga itu tidak berminat dengan jawapan yang anda tuturkan.

Kesan daripada perkara ini, anda akan mula menjawab secara ala kadar kerana “mindset” anda sudah ditetapkan kepada mood “penemuduga ini tak suka saya.”

Cara Untuk Atasi:

Anda hanya perlu memberi fokus kepada jawapan anda. Jangan risau akan reaksi muka penemuduga itu. Teruskan memberi jawapan yang menarik dan terbaik.

Mungkin jawapan anda tidak bagus pada mulanya sehingga menyebabkan penemuduga itu memberi reaksi yang tidak memuaskan terhadap anda namun, janganlah mengalah. Anda sebenarnya masih ada harapan. Jadi, jangan putus asa dan berilah yang terbaik!

TERTUNGGU-TUNGGU

Sebaik sesi temuduga tamat, terdapat satu lagi fasa yang sangat menyeksakan anda iaitu penantian keputusan temuduga itu sama ada anda terpilih bagi menjawat jawatan tersebut ataupun tidak. Boleh dikatakan setiap hari anda akan buka email untuk periksa jika ada respon daripada majikan.

Cara Untuk Atasi:

Jika majikan tidak memberitahu anda langkah-langkah berikutnya yang perlu anda lakukan selepas temuduga, anda perlulah sentiasa hubungi majikan melalui emel untuk tujuan follow up.

Jangan anggap anda tidak diterima bekerja sekiranya tidak mendapat sebarang respon daripada majikan. Kadang-kala, majikan juga sibuk dengan kerja mereka sehingga lupa untuk memberi respon buat anda. Jadi, sentiasalah hubungi mereka untuk dapatkan respon.

Tidak dapat dinafikan bahawa rasa gemuruh ini sedikit sebanyak dapat menjejaskan anda semasa temuduga. Jadi, gunakanlah tips yang dikongsikan ini untuk mengatasi rasa gemuruh anda. Selamat berjaya diucapkan.

Daftar Pencari Kerja
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Jawatan Kosong Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.