Portal Jawatan Kosong Terkini

”Krisis Suku Hayat” Amaran Kepada Pekerja Muda Yang Terlalu Memikirkan Tentang Kerja

0 570

Kajian telah membuktikan golongan pekerja muda negara ini berdepan peningkatan tekanan untuk berjaya secara peribadi dan profesional sebelum meningkat usia 30 tahun. Masalah ini banyak memberi kesan kepada diri pekerja secara mental.

Menurut kaji selidik oleh rangkaian profesional LinkedIn, 32 peratus lelaki dan 29 peratus perempuan mengakui mereka mengalami ‘krisis suku hayat’ pada usia 20-an dan 30-an.

Apa itu krisis suku hayat? Ketahui maksud krisis suku hayat beserta tanda-tanda anda mengalami masalah ini dan cara menghadapinya.

APA ITU “KRISIS SUKU HAYAT”?

‘Krisis suku hayat’ menurut ahli psikologi adalah perasaan tidak puas hati dengan kehidupan yang dikecapi ketika ini dan mereka rasa kehabisan masa. Ini boleh menyebabkan kebimbangan atau kemurungan dalam kalangan orang muda tidak kira lelaki ataupun perempuan.

Kaji selidik terhadap 1,003 golongan muda Malaysia yang bekerja mendapati kira-kira satu pertiga daripada mereka rasa tertekan untuk berjaya dalam hubungan, kerjaya atau kewangan, walaupun majoriti kedua-dua jantina sudah mempunyai pekerjaan sepenuh masa.

Mencari pekerjaan atau kerjaya yang mereka sukai adalah pencetus utama kebimbangan terhadap diri masing-masing.

TANDA KRISIS SUKU HAYAT

Antara tanda-tanda krisis suku hayat yang ketara dapat dilihat dalam diri seseorang adalah:

1. Kemurungan

Kemurungan adalah tanda paling utama yang perlu dikesan awal. Kemurungan boleh menjatuhkan kerjaya seseorang dan menjejaskan keseluruhan hidupnya. Jadi jika ada sebarang masalah yang mengganggu fikiran, jangan terus dipendam, kerana bimbang ia boleh menyebabkan keadaan anda bertambah buruk.

2. Rasa Kecewa

Apabila rasa kecewa, anda mudah mengalirkan air mata. Kekecewaan yang tidak dibendung boleh mencetuskan rasa marah. Kemarahan ini biasanya mencetuskan tindakan agresif sama ada melalui perkataan atau perbuatan yang boleh melukakan orang lain. Kekecewaan juga akan membuatkan anda hilang fokus dan tidak lagi gembira dengan diri sendiri.

3. Terasa Diri Tiada Pilihan

Anda mungkin tidak suka apabila sering diarah tetapi terpaksa melakukannya kerana berasa tiada pilihan lain. Sudah sampai masanya untuk anda memikirkan kepentingan diri dan cuba mencari perkara yang disukai. Ada ramai orang rela mendapat gaji yang lebih rendah asalkan kerjaya itu menggembirakannya.

4. Tiada Motivasi

Sering rasa hilang semangat dan tiada motivasi adalah antara gejala yang menandakan anda terperangkap dalam krisis suku hayat.

5. Terasa Diri Tersisih

Rasa diri tersisih, terasing dan ‘tertinggal’ yang menyebabkan seseorang melihat hidupnya seolah-olah tidak bererti dan tidak berguna.

6. Rasa Diri Gagal

Jika anda sering berasa diri kurang berjaya atau lebih teruk, gagal, anda sebenarnya menghukum diri sendiri tanpa sedar. Tanpa sedar anda sering membandingkan diri dengan orang lain termasuk ibu bapa, rakan sekolah atau teman sepejabat.

7. Rasa Diri Terperangkap

Anda mungkin berasa diri terperangkap dengan kerjaya, rumah tangga, pelajaran atau apa saja yang membuatkan anda berasa tidak gembira.

8. Hilang Keyakinan Diri

Keyakinan diri anda mula merosot dan anda mudah berasa ragu dengan kebolehan diri sendiri. Kelebihan diri dianggap sesuatu yang ‘biasa-biasa’ dan tidak boleh dibanggakan.

9. Sedar Masalah Yang Dihadapi, Tetapi Tidak Ambil Tindakan

Perkara ini boleh berlaku apabila anda berasa tindakan yang diambil tidak akan mengubah apa-apa. Ini hanya anggapan, kerana belum cuba anda tidak akan tahu hasilnya.

10. Tidak Dapat Mencari Kerja Yang Memberi Makna

Ini dialami oleh semua orang, namun anda perlu melihat kerjaya itu dari sisi positif dan cuba fikirkan bagaimana ia boleh memberi manfaat kepada orang lain sama ada melalui sumbangan derma sebahagian daripada gaji anda.

CARA HADAPI KRISIS SUKU HAYAT

Terdapat beberapa langkah yang boleh anda lakukan untuk menghadapi krisis suku hayat.

1 Berhenti membandingkan diri anda dengan orang lain

Rakyat Malaysia sering membandingkan hampir setiap aspek kehidupan mereka dengan rakan sebaya. Membandingkan perjalanan karier anda sendiri dengan rakan sebaya pasti akan memburukkan perasaan kekecewaan dan kekurangan prestasi.

Ingat semua orang berada di tahap yang berbeza dalam kerjaya mereka, jadi jangan bandingkan diri anda dengan orang lain. Apa saja kejayaan dan apa saja yang membuatkan anda bahagia sudah cukup.

2 Dapatkan nasihat

Anak muda Malaysia yang mengalami krisis suku hayat mengatakan mereka mungkin bercakap tentang kerjaya dengan keluarga (59 peratus), rakan (59 peratus) dan pasangan (53 peratus) berbanding rakan sekerja (30 peratus) dan bos (11 peratus).

Walaupun mereka mencari nasihat, mereka sering tidak tahu di mana mencari jawapan dan merasa seperti mereka tidak mendapat sokongan yang cukup di tempat kerja untuk membantu mereka maju.

Hab Nasihat Kerjaya di LinkedIn adalah sumber yang baik untuk golongan muda Malaysia mendapatkan bimbingan dan nasihat kerjaya daripada mentor di luar tempat kerja. Anda juga boleh menjadi mentor dan berkongsi pengalaman dan pandangan anda dengan ahli lain.

3 Tingkatkan diri dan belajar

Hampir separuh (48 peratus) anak muda Malaysia merasa terperangkap dalam peranan mereka sekarang dan mencari jalan keluar. Linkedln mencadangkan agar mereka secara proaktif mencari peluang latihan, sama ada dari syarikat anda atau dari platform dalam talian seperti LinkedIn Learning, untuk memastikan anda sentiasa meningkatkan kemahiran dan mempelajari perkara baru.

Pelajari kemahiran baru dan tingkatkan pengetahuan mungkin membuka peluang untuk mencuba peranan baru atau berbeza dalam syarikat itu, dan akan membantu anda maju dalam kerjaya.

4 Pertimbangkan semua pilihan

Banyak syarikat menawarkan faedah pekerjaan yang tidak semua pekerja sedari. Malah, satu pertiga daripada syarikat di Malaysia menawarkan pilihan kerja yang fleksibel dan cuti berbayar.

Sama ada memulakan kerjaya baru atau teruskan kerjaya semasa, anda perlu mengetahui segala kemungkinan. Dengan memahami manfaat pekerjaan, anda akan mempunyai lebih banyak pilihan yang tersedia, dan ini akan membantu anda dalam membuat keputusan yang lebih tepat.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda mengenali diri anda sendiri dengan menilai perasaan anda terhadap kerja yang dilakukan. Jika anda menilai diri anda mempunyai tanda-tanda krisis suku hayat, sila ubah “mind set” anda ke arah lebih positif dan kurangkan fikir apa yang membuatkan anda mempunyai tanda-tanda tersebut.

Daftar Pencari Kerja
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Jawatan Kosong Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.