Portal Jawatan Kosong Terkini

Beri Perhatian Kepada 4 Komunikasi Non-Verbal Ini Semasa Temuduga

0 870

Selain daripada memberikan jawapan yang terbaik dan lengkao semasa temuduga, anda juga perlulah mengambil berat akan suatu lagi aspek dalam temuduga untuk memastikan penemuduga tertarik dengan anda dan seterusnya mengambil anda bekerja.

Aspek tersebut adalah komunikasi non-verbal. Walaupun komunikasi non-verbal ini
dilihat remeh tetapi percayalah ia mampu membawa impak yang besar kepada anda.

Walaupun penemuduga tidak menilai gaya non-verbal anda ini secara rasmi akan tetapi komunikasi non-verbal yang salah bakal menjejaskan emosi penemuduga seterusnya memberikan kesan buruk kepada anda juga.

Komunikasi non-verbal sebenarnya bermula sebaik sahaja anda memasuki kamar temuduga. Sebelum anda mengeluarkan suara, anda pastinya akan berjabat tangan terlebih dahulu dengan penemuduga.

Berjabat tangan juga merupakan salah satu komunikasi non-verbal. Di sini dapatlah kita lihat betapa pentingnya komunikasi non-verbal. Komunikasi non-verbal bermula sebelum temuduga bermula lagi.

Seterusnya, setelah anda duduk di atas kerusi sementara menanti soalan daripada penemuduga, komunikasi non-verbal turut terlibat di sini iaitu postur tubuh anda, senyuman anda ataupun reaksi muka gementar anda. Semua komunikasi non-verbal ini penting untuk menarik perhatian penemuduga.

Bayangkan jika anda merupakan seorang penemuduga dan anda sedang menemuduga seorang calon yang tidak langsung senyum kepada anda. Bukan itu sahaja, calon itu juga duduk dalam keadaan lemah ketika menanti soalan daripada anda serta menunjukkan wajahnya yang gelisah. Adakah anda akan mengambil calon itu bekerja dengan anda?

Satu lagi contoh adalah ketika anda belajar di sekolah dahulu. Guru jenis manakah yang anda minat kaedah pembelajarannnya. Guru A hanya mengajar menggunakan papan hitam tetapi tidak langsung senyum dan menunjukkan gaya menggunakan anggota badannya ataupun guru B yang selalu senyum serta menggunakan anggota badan untuk melakukan gerakan bagi memudahkan pemahaman anda.

Semestinya anda berminat dengan guru B. Begitu juga dengan penemuduga. Beliau sangat meminati calon temuduga yang aktif menggunakan komunikasi non-verbal serta menunjukkan minat yang tinggi.

Dalam artikel ini akan dikongsikan 4 komunikasi non-verbal yang perlu anda beri perhatian semasa temuduga. Berikut merupakan 4 komunikasi non-verbal tersebut.

BERJABAT TANGAN

Berjabat tangan sangat penting kerana ianya merupakan perbuatan pertama yang anda lakukan sebaik sahaja bertemu dengan penemuduga. Tip yang perlu anda beri perhatian adalah pastikan anda genggam erat tangan penemuduga itu tetapi tidak terlalu kuat kerana itu akan menyakitkan beliau.

Genggam erat tangan penemuduga semasa berjabat tangan menandakan anda berkeyakinan dan bersemangat untuk menghadiri temuduga tersebut. Jangan sesekali berjabat tangan dengan lemah-longlai.

Jangan juga sesekali berjabat tangan secara tidak formal dengan sekadar menyentuh tanggan penemuduga sahaja. Anda seolah-olah menunjukkan bahawa anda kurang berminat dengan pekerjaan yang anda pohon itu.

POSTUR BADAN

Berdiri tegak dan duduk tegak. Buka dada anda (untuk lelaki) dan jangan sesekali duduk dalam keadaan membongkok seperti orang dalam keletihan. Hal ini menampakkan anda seolah-olah layu dan tiada bersemangat.

Postur badan sangat penting sebenarnya. Walaupun postur badan tidak diuji secara rasmi, namun penemuduga akan tetap menilai kelakuan anda. Beliau akan melihat anda sebagai seorang yang bersemangat sekiranya anda berdiri atau duduk tegak. Anda bolehlah mempraktikkan postur diri dan duduk anda di hadapan cermin sebelum menghadiri temuduga.

HUBUNGAN MATA (EYE CONTACT)

Eye contact juga sangat penting. Motivator pernah berkata jika ingin lihat seseorang itu bercakap benar maka lihat pada matanya. Menurut kajian, seseorang yang bercakap benar itu akan melihat ke dalam mata orang yang sedang berkomunikasi dengannya. Bukan itu sahaja, eye contact yang baik juga menunjukkan keyakinan anda.

Jadi, semasa temuduga, jagalah eye contact dengan baik. Lihat ke dalam mata penemuduga tersebut ketika memberikan jawapan. Tidak perlu melihat ke sini dan ke sana kerana penemuduga akan berserabut melihat anda di samping melabel anda sebagai kurang keyakinan.

JANGAN TUNJUKKAN KEGELISAHAN MELALUI ANGGOTA BADAN

Tidak dapat dinafikan sebenarnya telah menjadi tabiat buat sesetengah orang yang sedang dalam kegelisahan untuk menggerakkan anggota tubuhnya sebagai contoh menghentak kaki, memintal rambut, memukul meja supaya berbunyi seperti gendang dan sebagainya.

Jika anda mempunyai tabiat ini, anda dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian. Perkara ini sangatlah tidak disukai oleh penemuduga. Bayangkan penemuduga sedang bersemangat untuk menyoal anda tiba-tiba terganggu akibat bunyi yang anda hasilkan daripada hentakan kaki. Hal ini bakal mengubah moodnya.

Buat anda yang sukar untuk meninggalkan tabiat ini, anda disarankan untuk praktikkan di rumah terlebih dahulu. Cuba untuk tidak membuat perkara-perkara itu di rumah dan anda tidak akan melakukannya semasa temuduga nanti.

Jadi, pastikan anda mengambil berat keempat-empat komunikasi non-verbal ini. Anda juga perlulah berhati-hati kerana sebenarnya anda sedang dinilai secara non-verbal walaupun secara tidak formal. Selamat berjaya dalam temuduga anda.

Daftar Pencari Kerja
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Jawatan Kosong Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.