Categories
Resume

Sebenarnya Resume Boleh Diubah Menjadi CV Dengan Cara Yang Mudah

Setiap permohonan kerja akan memerlukan anda serahkan maklumat tentang diri anda kepada syarikat yang dimohon. Kebiasaannya setiap pemohon akan diminta untuk menghantar resume atau CV di samping dokumen permohonan kerja. Namun kebanyakan daripada kita masih tidak boleh membezakan antara resume dan CV dengan tepat.

Ramai yang hanya menyediakan resume untuk memohon kerja tetapi tidak menyediakan CV sekali. Tahu tak sebenarnya ada cara mudah untuk anda mengubah resume sedia ada kepada CV?

Berikut adalah perkongsian mengenai perbezaan utama resume dan CV serta cara mengubah resume menjadi CV dengan mudah.

PERBEZAAN ANTARA RESUME DAN CV

Resume dan CV mempunyai matlamat yang lebih kurang sama iaitu untuk menyampaikan maklumat mengenai diri kita. Tetapi ada beberapa aspek yang membezakan resume dan CV iaitu:

  • Cara susunan
  • Waktu digunakan
  • Tujuan penghasilan
  • Panjang penulisan
  • Komponen biasa dalam penulisan

Cara Susunan

Resume adalah dokumen ringkas yang menumpukan pengisian tentang kemahiran dan pengalaman kerja calon manakala CV adalah dokumen yang lebih panjang yang menumpukan pada pencapaian akademik, penyelidikan dan penerbitan calon.

Calon biasanya akan diminta hantar salah satu dokumen ini dalam membuat permohonan kerja. Namun ada juga syarikat yang meminta calon menghantar kedua-duanya.

Waktu Resume & CV Digunakan

Resume biasanya digunakan ketika awal-awal permohonan kerja iaitu sebagai pengenalan diri kita secara ringkas kepada syarikat.

CV pula digunakan apabila syarikat yang dimohon minta kita menghantarnya untuk ketahui lebih lanjut mengenai pencapaian kita dalam akademik, kerjaya dan sebagainya.

Tujuan Penghasilan Resume & CV

Tujuan penghasilan resume adalah untuk memberi gambaran ringkas mengenai kemahiran dan pengalaman calon. Majikan biasanya akan melihat kelayakan calon dari segi pengalaman bekerja dan kemahiran untuk memastikan calon betul-betul layak dalam posisi yang ditawarkan.

CV pula adalah untuk majikan mengetahui lebih lanjut mengenai pencapaian dan anugerah yang pernah diterima calon atau penyelidikan yang pernah dilakukan. Maklumat ini adalah sebagai ‘penambah perasa’ untuk majikan menilai kelayakan calon.

Panjang Penulisan

Biasanya resume ditulis dalam satu muka surat sahaja. Namun jika maklumat pengalaman atau kemahiran yang dimasukkan adalah banyak, calon boleh mengehadkan penulisan kepada 2 muka surat.

Panjang penulisan CV pula adalah berdasarkan berapa banyak maklumat yang ingin dimasukkan. Kebiasaannya CV ditulis dalam 2 muka surat atau lebih.

Komponen Biasa Dalam Penulisan

Resume dan CV adalah ditulis secara tersusun mengikut kategori. Antara komponen biasa yang ada dalam resume adalah:

  • Tajuk
  • Pendidikan
  • Pengalaman Kerja
  • Pengalaman Sukarela
  • Kemahiran

Kategori biasa yang ada dalam CV adalah:

  • Tajuk
  • Pendidikan
  • Pengalaman kerja
  • Anugerah & pencapaian
  • Penyelidikan
  • Sijil dan lesen
  • Pengalaman Sukarela
  • Rujukan

MENGUBAH RESUME MENJADI CV

Untuk mengubah resume yang sedia ada menjadi CV, ikuti langkah-langkah berikut.

1 Salin Tajuk Resume

Anda boleh gunakan tajuk resume untuk masukkan di bahagian atas iaitu tajuk CV. Sesetengah syarikat meminta calon untuk memasukkan maklumat mengenai jantina dan tarikh lahir. Periksa dengan pengurus pengambilan pekerja untuk ketahui jika mereka memerlukan maklumat tambahan yang perlu dimasukkan bahagian tajuk CV.

2 Masukkan Pendidikan

Masukkan maklumat mengenai pendidikan anda beserta sijil pencapaian yang anda perolehi. Dalam setiap kolej atau universiti yang anda senaraikan, masukkan sekali tahap pencapaian, lokasi universiti dan tarikh anda graduasi. Anda juga boleh masukkan anugerah penghormatan yang anda peroleh.

3 Senarai Pengalaman Kerja

Masukkan pengalaman kerja anda yang relevan dengan posisi kerja yang dimohon. Sertakan sekali kemahiran yang anda gunakan untuk kemajuan prestasi semasa bekerja. Dalam setiap pengalaman kerja anda perlu sertakan juga tarikh bekerja dan lokasi syarikat bersama-sama nama syarikat dan jawatan yang dipegang.

4 Masukkan Anugerah & Penghargaan

Senaraikan pencapaian akademik, anugerah profesional dan penghargaan yang pernah anda capai. Sertakan sekali institusi dan organisasi yang memberi anugerah atau penghargaan tersebut beserta tarikh dan sedikit penerangan mengenai anugerah atau penghargaan tersebut.

5 Masukkan Penyelidikan

Berikan maklumat mengenai sebarang penyelidikan yang pernah anda lakukan. Maklumat ini penting bagi pemohon yang memohon jawatan berdasarkan penyelidikan dalam bidang kesihatan atau akademik. Sertakan nama organisasi yang anda kaji, tarikh penyelidikan dan sebarang penemuan yang berkaitan.

6 Senaraikan Sijil & Lesen

Senaraikan sebarang lesen atau sijil profesional yang anda pegang berkaitan dengan posisi yang anda mohon. Contohnya jika anda memohon jawatan jururawat, dan anda pernah mengikuti kursus khas jururawat. Masukkan maklumat sijil yang anda peroleh daripada kursus tersebut.

7 Pengalaman Sukarela

Sertakan juga senarai pengalaman sukarela yang pernah anda sertai ke dalam CV anda. Anda boleh masukkan maklumat yang sama dari resume untuk bahagian ini.

8 Rujukan

Senaraikan rujukan profesional di bahagian bawah CV anda. Rujukan ini adalah sebagai persediaan sekiranya pengurus pengambilan pekerja ingin bercakap dengan majikan lama anda. Untuk rujukan, anda perlu masukkan nama, alamat email, nama syarikat dan nombor telefon majikan di tempat kerja lama anda.

Secara ringkasnya, untuk mengubah resume menjadi CV, anda boleh masukkan maklumat yang terdapat dalam resume ke dalam CV anda seperti tajuk, pendidikan, pengalaman kerja dan pengalaman sukarela. Manakala maklumat lain yang tidak ada dalam resume perlu anda tambah dalam CV supaya CV anda menjadi lebih lengkap dan memenuhi kehendak majikan.

Tidak susah sebenarnya nak buat CV ini, apa yang anda perlu tahu adalah komponen yang perlu ada serta cara susunan mengikut kategori yang tepat. Semoga perkongsian ini bermanfaat buat anda sebagai panduan untuk membuat CV.

Categories
Resume

Boleh Ke Buat Resume 2 Muka Surat? Sila Rujuk Sini Untuk Panduan

Resume 1 Atau 2 Muka Surat?

Resume yang terbaik adalah resume yang ringkas dan padat dan dimasukkan di dalam satu muka surat sahaja.

Namun terdapat calon yang tidak dapat memuatkan semua maklumat ke dalam satu muka surat dan menjadikan resume mereka lebih daripada satu muka surat.

Mengapa Anda Perlu Membuat Resume Dua Muka Surat

Terdapat beberapa alasan dan sebab yang sesuai sekiranya anda perlu menjadikan resume anda sebanyak 2 muka surat dan antaranya ialah :

  • Anda merupakan seorang profesional yang bekerja dan berpengalaman lebih daripada 10 tahun dalam perkhidmatan anda.
  • Kebanyakan syarikat menggunakan sistem Applicant Tracking System (ATS) untuk saringan awal resume yang diterima melalui permohonan secara online. Sistem ini diprogramkan untuk mengimbas keyword yang diprogramkan.

Bilakah Penggunaan Resume Dua Muka Surat (Atau Lebih)

Berikut adalah beberapa situasi di mana penggunaan resume lebih satu muka surat boleh diterima :

Mempunyai Lebih Dari 10 Tahun Pengalaman

Sekiranya anda mempunyai pengalaman 10 tahun atau lebih dalam bidang pekerjaan. Nyatakan dengan terperinci maklumat seperti :

  • Syarikat / Majikan
  • Jawatan
  • Sejarah kenaikan pangkat
  • Tahun berkhidmat di setiap tempat
  • Pencapaian

Ini akan memberi anda ruang untuk menerangkan pencapaian dan sumbangan yang akan membezakan anda daripada calon yang lain.

Semasa Anda Memohon Pekerjaan Peringkat Senior

Sebilangan besar syarikat yang merekrut jawatan pengurusan kanan berharap dapat menerima resume dua atau tiga muka surat daripada anda. Bagi mereka, resume dua atau lebih muka surat lebih lengkap dengan maklumat yang mereka perlukan.

Mempunyai Pencapaian Kerjaya, Sijil Dan Kemahiran Teknikal Profesional  

Sekiranya anda berada dalam bidang tertentu seperti IT, kejuruteraan, akademik atau penyelidikan saintifik, pastinya majikan ingin menyemak senarai perakuan profesional, kemahiran teknologi, projek utama dan jurnal anda. Lengkapkan resume anda dengan menyenaraikan latar belakang latihan dan pengalaman kerja yang berkaitan.

Semasa Anda Memohon Pekerjaan Sektor Awam

Sekiranya anda memohon pekerjaan di sektor awam, anda bukan sekadar dinilai daripada kelayakan pendidikan, malahan daripada sudut pengalaman anda. Jadi resume sangat memainkan peranan yang penting ketika anda menghadapi temuduga.

Tips Menulis Resume Dua Halaman

Masukkan kelayakan terpenting anda di muka surat pertama

Masukkan maklumat penting seperti kemahiran anda yang paling relevan pada muka surat pertama resume. Cara terbaik untuk melakukannya adalah dengan menggunakan ringkasan resume untuk memberikan sinopsis kepakaran dan kemahiran profesional yang menjadikan anda calon kuat untuk pekerjaan yang dipohon.

Masukkan ‘keyword’ penting

Gunakan ‘keyword’ penting dalam ringkasan resume anda dan ulangi di bahagian ‘Pengalaman Kerja’. Sistem ATS akan membuat kiraan berapa tahun anda mahir dalam kemahiran dan bidang tertentu. Jadi keyword khusus ini perlu diulang dalam setiap keterangan pekerjaan.

Tonjolkan pencapaian anda

Tonjolkan pencapaian kerjaya anda dengan meletakkan ukuran tertentu di resume. Terangkan dengan ringkas dan berikan dua atau empat contoh pencapaian anda dengan menggunakan format ‘bullet’.

Satu atau dua muka surat resume anda bukanlah satu masalah. Yang pastinya masukkan maklumat yang penting ke dalam resume anda dan pastikan ianya menepati kehendak majikan anda. Ringkaskan dan jadikan resume anda padat dengan maklumat yang bersesuaian.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk dijadikan panduan buat anda.

Categories
Resume

Check List Untuk Cover Letter Sebelum Hantar Resume Kepada Majikan

Cover Letter Checklist: Apa Nak Buat Sebelum Hantar Kepada Majikan?

Sebelum anda menghantar cover letter kepada majikan, apakah yang perlu anda lakukan supaya cover letter yang anda hantar menarik perhatian bakal majikan anda?

Untuk memastikan cover letter anda menjadi perhatian utama majikan anda, lihat tips yang dikongsikan ini.

7 Tips Cover Letter Sebelum Hantar Kepada Majikan

1. Pastikan maklumat contact betul

Periksa semula maklumat contact yang anda letakkan di dalam cover letter anda. check semula sama ada nombor telefon, emel, pautan laman web dan alamat yang anda letakkan betul tanpa sebarang kesalahan ejaan.

2. Penggunaan ayat yang betul

Periksa intonasi ayat anda sama ada anda menggunakan ayat yang santai atau formal. Gunakan salutation yang betul seperti Tuan, Puan, Encik atau Cik untuk memulakan ayat anda.

Jika anda tahu nama Pengurus Sumber Manusia atau orang yang bertanggungjawab ke atas pengambilan pekerja, anda boleh meletakkan nama mereka didahului dengan panggilan seperti contoh ini, ‘ Encik Sukri’. Namun pastikan ejaan nama mereka betul sebelum dihantar.

3. Hantar cover letter yang betul

Semak berkali-kali cover letter anda. Dikhuatiri anda tersilap menghantar cover letter untuk syarikat lain. .

Pastikan anda menghantar cover letter yang betul untuk memohon pekerjaan.

4. Pilih keywords dengan bijak

Gunakan keywords dengan betul untuk menceritakan kemahiran dan kelebihan anda. Pastikan keywords anda sama dengan yang digunakan oleh syarikat tersebut. Ini kerana ATS akan menyemak cover letter berdasarkan keywords untuk memastikan calon memenuhi kriteria yang diperlukan.

5. Pilih format fail yang betul

Gunakan format fail yang boleh disemak oleh ATS. Format yang sesuai untuk simpan fail dan boleh dibaca oleh ATS adalah .doc dan PDF.

6. Check ayat 

Periksa semula cover letter anda sekiranya melebihi daripada 1 muka surat. Elakkan pengulangan ayat atau maklumat. Tidak perlu ulang semula keywords yang sama di dalam resume. Nyatakan dengan ringkas objektif anda, minat anda pada syarikat dan pekerjaan dan tunjukkan pemahaman anda mengenai syarikat tersebut.

7. Proofread dan proofread semula

Setelah anda lulus enam langkah diatas, baca semula cover letter anda supaya tidak ada kesalahan ejaan, typo atau kesalahan lain yang merosakkan cover letter anda. Luang masa untuk membaca berkali-kali cover letter anda.

Setelah anda lakukan semua langkah di atas dan berpuas hati dengan cover letter tersebut, barulah anda hantar kepada majikan anda. Semoga usaha anda menghasilkan kejayaan di masa akan datang.

Categories
Resume

Cara-cara Masukkan Kemahiran Komputer Asas Kedalam Resume Anda

Bagaimana Masukkan Kemahiran Komputer Asas Anda Kedalam Resume?

Sekiranya anda mempunyai kemahiran asas komputer, pastikan anda masukkan ke dalam resume anda. Namun jika anda mempunyai pelbagai jenis kemahiran komputer yang berbeza pula pastikan anda senaraikan kemahiran tersebut ke dalam resume mengikut jawatan yang anda pohon.

Jadi, bagaimana untuk masukkan kemahiran komputer ke dalam resume? Anda boleh ikut cara ini untuk masukkan kemahiran komputer anda ke dalam resume.

2 Kategori Kemahiran Komputer

Kemahiran asas komputer merujuk kepada kemampuan anda untuk melaksanakan tugas asas pada komputer. Ini termasuk memahami perisian, aplikasi, program, alat dan banyak lagi.

Kemahiran komputer tergolong dalam dua kategori:

  • Software
  • Hardware

Hardware merujuk kepada pengoperasian komputer, sedangkan software melibatkan penggunaan pelbagai program dan aplikasi.

 

Contoh Kemahiran Asas Komputer

Banyak pekerjaan memerlukan kemahiran asas komputer untuk menunjukkan prestasi yang baik untuk pekerjaan tersebut.

Walaupun kemahiran asas komputer merangkumi pengetahuan cara menaip, memahami media sosial dan mempunyai kemahiran uruskan laman web, terdapat beberapa kemahiran asas komputer yang perlu anda tahu seperti :

  • Computer programming
  • Graphic design
  • Communication tools
  • Database management
  • Accounting software
  • Productivity software
  • Operating systems
  • Presentation software
  • Digital marketing

Berdasarkan contoh diatas, anda boleh huraikan dengan membuat beberapa pecahan kemahiran dan seterusnya memudahkan anda untuk huraikan kepada majikan. Lihat contoh dibawah :

Graphic Design

  • Illustration software
  • Photoshop
  • Design software
  • Desktop publishing
  • Video creation software

Communication Tool 

  • Instant messaging
  • Video conferencing
  • Email management applications

Computer Programming

  • HTML
  • Java
  • Operating systems
  • UI/UX
  • Python

Huraikan Tahap Kemahiran Anda

Huraikan tahap kemahiran komputer anda sama ada anda biasa, mahir atau mempunyai kepakaran dalam kemahiran tersebut. Hurai dengan terperinci kebolehan anda untuk menarik perhatian majikan ketika anda ditemuduga.

Pastikan kemahiran komputer anda bertepatan dengan jawatan yang anda pohon. Jelaskan bagaimana kemahiran yang ada membantu anda menyelesaikan tugasan seharian.

Cara Tonjolkan Kemahiran Asas Komputer

Untuk tonjolkan kemahiran komputer anda, pastikan kemahiran anda memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh pihak majikan. Masukkan kemahiran komputer anda yang paling relevan ke dalam resume anda.

Cara Meningkatkan Kemahiran Asas Komputer

Berikut adalah beberapa cara untuk meningkatkan kemahiran asas komputer anda:

Mengikuti Kursus

Ikuti kelas atau kursus komputer yang ditawarkan secara percuma di Kolej Komuniti atau secara berbayar di mana-mana institusi yang menyediakan kelas dan kursus kemahiran komputer.

Memahami Fungsi Komputer

Fahami fungsi komputer secara umum. Mempelajari asas komputer dapat memberi anda pengetahuan asas tentang komputer dan cara untuk tingkatkan pengetahuan anda tentang komputer.

Latihan Praktikal

Untuk meningkatkan kemahiran komputer anda, penting untuk menerapkan apa yang anda tahu. Jadi untuk meningkatkan kemahiran komputer anda, buatlah latihan praktikal mengenai apa yang anda pelajari sebelum ini. Sekurangnya anda tahu bagaimana untuk memberikan jawapan apabila ditanya oleh majikan mengenai kemahiran komputer yang anda nyatakan di dalam resume.

Selain memasukkan kemahiran komputer yang anda ada, pastikan anda juga tahu menggunakannya secara praktikal. Sentiasa bersedia dengan pelbagai soalan oleh majikan dan pastikan kemahiran anda sesuai dengan pekerjaan yang dipohon.

Semoga perkongsian ini membantu anda untuk memasukkan kemahiran komputer asas ke dalam resume dengan betul.

Categories
Resume

Guna Biodata Untuk Minta Kerja, Boleh Ke? Jom Baca Artikel Ini Untuk Kepastian

Apakah Format Biodata vs Resume?

Resume dan cover letter adalah dokumen yang paling biasa digunakan dalam proses ketika anda memohon kerja. Tetapi tahukah anda bahawa terdapat sesetengah orang menggunakan biodata untuk menggantikan resume.

Tahukah anda, biodata juga boleh digunakan sebagai resume. Ini kerana format biodata juga berbentuk resume tetapi lebih teliti dan boleh digunakan dalam bentuk apa sahaja jenis pekerjaan yang dipohon.

Format Biodata vs Resume

Biodata dan resume mempunyai fungsi yang sama, tetapi mempunyai beberapa perbezaan.

Resume

Resume adalah dokumen yang paling biasa digunakan semasa memohon pekerjaan. Resume merangkumi perincian mengenai tempat bekerja, kemahiran dan pendidikan. Semua maklumat dimuatkan dalam satu muka surat dan bertujuan sebagai gambaran keseluruhan kerjaya anda.

Biodata

Biodata pula mempunyai lebih banyak maklumat berbanding resume. Ia lebih banyak memberikan maklumat terutamanya kehidupan peribadi anda seperti :

  •  Jantina
  • Agama
  • Alamat surat
  • Hobi anda
  • Maklumat profesional

Biodata adalah ringkasan yang lebih komprehensif mengenai maklumat diri anda berbanding maklumat mengenai kerjaya. Mempunyai lebih daripada satu muka surat berbanding resume.

Format Biodata

Untuk membuat biodata, anda boleh ikut format berikut :

Objektif

Senaraikan matlamat kerjaya dan kehidupan anda. Nyatakan mengapa anda sesuai untuk menjawat jawatan tersebut.

Maklumat peribadi

Masukkan maklumat peribadi anda secara asas seperti :

  • Nama
  • Jantina
  • Tarikh lahir
  • Alamat
  • Nama ibu bapa
  • Emel
  • Hobi
  • Minat

Nota : Anda juga boleh memasukkan apa sahaja perkara yang berkaitan dengan diri anda supaya majikan mengenali diri anda berbanding fokus kerjaya.

Pengalaman kerja

Senaraikan pengalaman kerjaya anda. Senaraikan mengikut urutan kronologi walaupun pengalaman kerja tersebut tidak mempunyai kaitan dengan jawatan yang dipohon.

Nyatakan sekali pencapaian anda beserta kemahiran dan tugasan yang anda lakukan sepanjang anda bekerja.

Kemahiran

Pada bahagian ini masukkan sijil kemahiran ikhtisas atau profesional yang anda miliki. Senarai juga kemahiran bahasa dan juga soft skill yang anda ada.

Pendidikan

Terangkan latar belakang pendidikan anda. Senaraikan mengikut urutan kronologi. Sertakan sebarang penghargaan atau pencapaian lain yang anda perolehi semasa di sekolah dan pastikan ianya berkaitan dengan pekerjaan.

Contoh Format Biodata

Untuk membantu anda mengetahui rupa biodata anda sendiri, berikut adalah contoh fiksyen yang boleh anda gunakan sebagai template :


Objektif

Berpengalaman menyertai Worldwide Marketing sebagai Pengurus Pemasaran Inbound mereka.

Maklumat peribadi

Nama : Rahmat Bin Rahman
Tarikh lahir : 1/1/1970
Alamat : 88, Lorong 9, Taman Bahagia, 08200 Sungai Petani, Kedah.
Jantina : Lelaki
Alamat emel : [email protected]
Nombor telefon: 011-1456789

Pendidikan

  • Sekolah Menengah Kebangsaan TAR 1988-1992
  • Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Perniagaan
  • Presiden organisasi Perniagaan Bakti
  • CGPA 3.98

Pengalaman Kerja

Intern Pemasaran : Hebat Marketing Sdn Bhd : 1992-1993

  • Membantu ketua pemasaran melalui tugasan yang dijadualkan
  • Mempelajari cara mengembangkan strategi pemasaran
  • Berinteraksi dengan pelanggan setiap hari

Associate Pemasaran : Hebat Marketing Sdn Bhd : 1993 – 2003

  • Memikul lebih banyak tanggungjawab
  • Jalankan strategi pemasaran untuk beberapa pelanggan kecil
  • Peningkatan pendapatan untuk pelanggan sebanyak 10-20%

Pengurus Pemasaran : Redwood Industries : 2003-2018

  • Menguruskan pasukan pemasaran untuk perkembangan syarikat
  • Peningkatan penglibatan di semua platform media sosial
  • Membangunkan dan menerapkan strategi pemasaran dan meningkatkan penjualan sebanyak 50%
  • Menerima anugerah pada 2016 untuk “Strategi Pemasaran Terbaik”

Kemahiran

  • SEO
  • Pemasaran
  • PPC
  • Media Sosial
  • Blogging
  • Kepimpinan
  • Komunikasi
  • Kerja Berpasukan
  • Inovatif
  • Bersemangat

Pencapaian Peribadi

  • Top 10 Iron Man Langkawi
  • Ketua Pengawas Terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan TAR
  • Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan
  • Pendebat Terbaik Piala Diraja

Jelas disini bahawa format biodata lebih menerangkan dengan terperinci mengenai maklumat peribadi tentang anda berbanding resume. Ia mengajak bakal majikan anda untuk mengenali diri anda sebenar dan disesuaikan dengan pekerjaan yang dipohon.

Diharap perkongsian mengenai format biodata vs resume ini memberikan serba sedikit maklumat yang bermanfaat buat anda.

Categories
Resume

Cara Masukkan Anugerah Dekan Yang Diterima Ke Dalam Resume Anda

Masukkan Anugerah Dekan Ke Dalam Resume

Bagaimanakah cara yang betul untuk memasukkan pencapaian anugerah dekan ke dalam resume? Ini adalah kerana ia adalah satu pencapaian yang terhormat dalam pengajian di universiti yang anda perolehi.

Jadi, baca perkongsian ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut cara yang betul untuk memasukkan anugerah dekan ke dalam resume anda.

Mengapa Perlu Masukkan Anugerah Dekan Ke Dalam Resume?

Terdapat 4 sebab mengapa anda perlu memasukkan pencapaian Anugerah Dekan ke dalam resume anda.

  • Fokus kepada pencapaian akademik : Anda boleh menarik bakal majikan untuk terus fokus kepada kualiti pencapaian akademik yang anda perolehi sepanjang anda belajar di universiti. Jadi, secara tidak langsung anda juga akan memberikan kualiti yang terbaik dalam pekerjaan anda.
  • Bukti anda konsisten dalam apa jua bidang : Sekiranya anda menyenaraikan pencapaian Anugerah Dekan untuk setiap semester, bakal majikan beranggapan bahawa anda adalah seorang yang konsisten dan berkomitmen dalam apa jua bidang yang anda ceburi serta mempunyai cara yang terbaik untuk mencapai matlamat yang anda inginkan terutamanya dalam pekerjaan anda.
  • Lebih kukuh sekiranya anda datang daripada universiti yang berprestij : Anda akan berada dalam kedudukan teratas sebagai calon yang terbaik dan sesuai dengan jawatan yang ditawarkan sekiranya anda datang daripada universiti yang terkenal dan berprestij tinggi. Terdapat sesetengah bakal majikan lebih teruja dengan calon yang tamatkan pengajian serta mempunyai Anugerah Dekan setiap semester daripada universiti terkenal dan merasakan calon tersebut adalah calon yang terbaik untuk diserap ke dalam syarikat mereka.
  • Tambah maklumat ke dalam resume : Anda perlu tambahkan maklumat ini ke dalam resume sekiranya anda baru tamatkan pengajian dan belum mempunyai pengalaman kerja yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon. Jadi, masukkan pencapaian ini untuk menarik perhatian bakal majikan anda ketika mereka membaca resume anda.

Cara Memasukkan Anugerah Dekan

Berikut adalah cara-cara memasukkan anugerah dekan ke dalam resume anda :

1. Senaraikan pencapaian anugerah dekan dibahagian pendidikan.
2. Masukkan bahagian pendidikan dibahagian atas resume.
3. Nyatakan jumlah senarai dekan yang diperolehi.
4. Masukkan CGPA & Semester Yang Diperolehi.

1. Senaraikan Pencapaian Anugerah Dekan Dibahagian Pendidikan

Kebanyakan daripada anda meletakkan pencapaian Anugerah Dekan pada bahagian Anugerah & Pencapaian. Tetapi kali ini cuba tukar Anugerah Dekan yang anda perolehi di bahagian Pendidikan supaya bakal majikan boleh terus fokus kepada pencapaian pendidikan yang anda perolehi.

2. Masukkan Bahagian Pendidikan Dibahagian Atas Resume

Untuk perkara ini, tukarkan bahagian pendidikan dibahagian atas resume sekiranya ini adalah permohonan kerja yang pertama anda. Bagi graduan yang baru tamat pengajian boleh mencuba kaedah ini untuk memasukkan anugerah dekan di dalam resume.

3.  Nyatakan Jumlah Senarai Dekan Yang Diperolehi

Senaraikan jumlah Anugerah Dekan yang anda perolehi ke dalam resume anda walaupun anda mendapat anugerah setiap semester. Ia sesuai sekiranya resume anda mempunyai ruang yang kosong.

4. Masukkan CGPA & Semester Yang Diperolehi

Masukkan jumlah CGPA beserta semester yang diperolehi.Bakal majikan akan tertarik dengan jumlah CGPA yang dinyatakan kerana merasakan anda adalah calon yang hebat dan anda adalah calon yang dicari oleh mereka.

Contoh Anugerah Dekan Dalam Resume

Berikut adalah contoh Anugerah Dekan yang boleh dimasukkan ke dalam resume :

Contoh 1

Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

  • Ijazah Sarjana Muda Sains Mikrobiologi
  • CGPA : 3.9
  • Anugerah Dekan 6 Semester

Contoh 2

  • Anugerah Dekan Semester 2 & 3 Tahun 2018 : CGPA 3.8 / CGPA 3.9
  • Anugerah Dekan Semester 1, 2 & 3 Tahun 2019 : CGPA 4.00
  • Anugerah Dekan Diraja Tahun 2020 Majlis Konvokesyen Universiti Malaya

Manfaatkan pencapaian akademik dan masukkan ke dalam resume anda dengan cara yang dikongsikan ini. Semoga anda berjaya dalam apa jua bidang yang anda ceburi.

Categories
Resume

Demand Akan Tinggi Sekiranya 11 Kelayakan Ini Ada Dalam Resume Anda

Masukkan Kelayakan Yang Mempunyai Demand Tinggi Dalam Resume

Jika anda mempunyai kelayakan atau sijil profesional yang mempunyai permintaan tinggi dalam dunia pekerjaan, masukkan dalam resume anda. Anda tidak perlu membuang atau menyembunyikan kelayakan tersebut dari resume anda. Jual diri anda seboleh mungkin pada bakal majikan anda.

Apakah kelayakan yang mempunyai permintaan tinggi dalan dunia pekerjaan pada masa kini? Lihat perkongsian ini untuk mengetahui apakah 11 kelayakan yang mempunyai demand tinggi dalam resume.

11 Kelayakan Yang Mempunyai Demand Tinggi

Berikut adalah 11 kelayakan yang mempunyai demand tinggi sekiranya diletakkan dalam resume anda:

1. Sijil Teknologi (IT)

Bagi anda yang bekerja dalam bidang IT, terdapat beberapa sijil penting yang boleh anda masukkan ke dalam resume anda. Dengan memasukkan sijil pengiktirafan kemahiran anda, pastinya ia akan memudahkan anda untuk dipilih sebagai calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan yang dipohon.

2. Sijil Sumber Manusia

Jika anda bekerja dalam bidang sumber manusia, anda boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan sijil kemahiran atau pentadbiran bahagian sumber manusia dan masukkan ke dalam resume anda untuk masa hadapan perkembangan kerjaya anda. Walaupun terdapat calon lain memohon pekerjaan yang sama, tetapi resume anda menunjukkan anda mempunyai sijil profesional sumber manusia, anda akan menjadi fokus utama bakal majikan dan menjadikan anda seorang calon yang dicari oleh mereka.

3. Sijil Bahasa

Dapatkan sijil bahasa secara offline atau online. Anda boleh mengikuti kursus di kelas bahasa ketiga atau mengikuti kursus secara online yang berdaftar. Anda telah menambahkan kemahiran penguasaan bahasa ketiga dan buktikan bahawa anda sememangnya boleh menguasai bahasa tersebut sama ada secara lisan atau bertulis. Sebelum anda mengambil kursus bahasa, fikir dan pilih bahasa yang menjadi keutamaan masa kini.

4. Sijil Pertolongan Cemas

Sesetengah jawatan memerlukan pekerjanya mempunyai sijil pertolongan cemas dan pakar dalam CPR. Ini adalah kerana anda perlu bertindak balas dan bersedia menghadapi situasi kecemasan tertentu sebelum bantuan perubatan tiba dilokasi kejadian berlaku.

5. Sijil Pengurusan Projek

Jika anda seorang pengurus projek dan belum mempunyai sijil pengurusan projek, anda disyorkan untuk mendapatkan sijil pengurusan projek untuk meningkatkan kemahiran anda dalam bidang ini. Dengan adanya sijil ini, anda akan lebih mahir dalam perancangan dan pengurusan projek. Malahan majikan dapat melihat anda mempunyai komitmen yang tinggi dalam bidang ini dan ingin maju dalam kerjaya pada masa akan datang.

6. Sijil Perisian 

Terdapat pelbagai jenis perisian komputer yang bergantung pada bidang kerjaya anda tidak kira dalam bidang kerjaya sama ada dalam bidang pemasaran, perkhidmatan pelanggan, penganalisis atau jurutera perisian. Anda boleh sahaja mendapatkan sijil perisian tersebut untuk membantu anda meningkatkan kemahiran dan menunjukkan kepada majikan bahawa anda berkebolehan dan berkelayakan dalam kerjaya anda.

7. Sijil Perakuan Kerajaan

Selain daripada itu, anda boleh mendapatkan sijil perakuan kerajaan seperti sijil ikhtisas yang diperakui oleh pihak kerajaan untuk pekerjaan tertentu terutamanya berkaitan bidang kemahiran yang kritikal pada masa kini.

8. Sijil Notari Awam

Notari awam merupakan pegawai awam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan diberi kuasa untuk menyaksikan sumpah, mengesahkan dokumen serta melaksanakan fungsi-fungsi lain yang ditetapkan. Tandatangan dan meterai notari awam diperlukan dalam pengesahan dokumen undang-undang di kebanyakan negara di dunia.

9. Lesen Pengendali Forklift

Pengendali forklift mesti mempunyai kemahiran organisasi yang baik kerana kebanyakan kerja mereka melibatkan pergerakan dan menyusun semula objek dalam persekitaran gudang. Pengendali forklift perlu berasa selesa bekerja dengan orang lain dan mempunyai komunikasi yang baik dan kemahiran interpersonal. Di samping itu, operasi forklift sangat berbahaya dan pengendali mesti mempunyai pengetahuan teknik keselamatan yang mencukupi.

10. Sijil Pengaturcaraan

Bagi anda yang mempunyai sijil pengaturcaraan masukkan sahaja ke dalam resume anda sekiranya anda memohon jawatan yang berkaitan dengan pengaturcaraan komputer. Jika anda belum mempunyai sijil pengekodan dan pengaturcaraan seperti HTML, CSS dan Java Script, anda boleh dapatkan kursus berkaitan secepat mungkin dan masukkan ke dalam resume anda.

11. Sijil Pemasaran

Dapatkan sijil dalam bidang ini dan juga platform pemasaran yang berkaitan. Sijil dalam bidang ini akan mengajar anda untuk menguasai platform pemasaran pilihan anda. Ia sangat berguna jika anda menggunakan media sosial sebagai platform pemasaran masa kini.

Jika anda mmepunyai sijil profesional atau sijil kemahiran lain yang anda fikirkan mempunyai permintaan yang tinggi dalam dunia pekerjaan masa kini, masukkan sahaja ke dalam resume anda. Ingat, resume adalah salah satu kaedah untuk anda menjual diri dari sudut kemahiran serta kebolehan sedia ada anda. Tetapi pastikan ianya sepadan dan berkaitan dengan jawatan yang anda pohon.

Categories
Resume

8 Jenis Resume & Perbezaan Fungsi Yang Anda Patut Tahu

Jenis-Jenis Resume Asas

Terdapat 8 jenis resume asas yang boleh digunakan untuk memohon pekerjaan dan ia digunakan untuk tujuan yang berbeza dan anda perlu menentukan penggunaannya mengikut keadaan semasa.

Jika anda ingin ketahui apakah resume tersebut, baca perkongsian ini untuk ketahui 8 jenis resume tersebut serta penggunaannya.

8 Jenis Resume Asas

Antara resume tersebut ialah :

1. Chronological Resume / Resume Kronologi

Resume kronologi dimulakan dengan menyenaraikan pengalaman kerjaya anda. Senaraikan pekerjaan terkini terlebih dahulu. Kemudian senaraikan pekerjaan anda yang lain mengikut urutan kronologi secara terbalik. Kebajikan majikan biasanya lebih suka resume jenis ini kerana mudah untuk melihat pekerjaan anda yang terdahulu dan ini adalah resume yang selalu digunakan oleh pemohon kerja.

Resume jenis ini sangat baik digunakan oleh pencari kerja kerana ia dimulakan dengan pengalaman kerja yang kuat dan membuktikan anda telah kukuh dalam kerjaya yang terdahulu.

2. Functional Resume

Resume jenis ini lebih kepada memberi tumpuan pada kemahiran dan pengalaman anda. Pada bahagian atas resume ini, anda akan menyenaraikan bahagian PENGALAMAN PROFESIONAL atau PENCAPAIAN yang menyenaraikan pelbagai jenis kemahiran yang ada pada anda selama anda bekerja sehingga kini.

Resume jenis ini kebanyakannya merangkumi ringkasan resume atau tajuk utama di bahagian atas, yang memperincikan bahagian kemahiran dan pencapaian seseorang. Pengalaman pekerjaan mungkin tidak dimasukkan ke dalam resume jenis ini dan mungkin diletakkan secara ringkas di bahagian bawah resume.

Resume jenis ini paling kerap digunakan oleh orang yang gemar menambahkan pengalaman kerja di tempat yang berlainan.s

3. Combination Resume / Resume Gabungan

Resume ini merupakan gabungan antara resume kronologi dan resume functional. Bahagian atas resume ini terdapat senarai kemahiran dan kelayakan pemohon kerja. Di bahagian bawah resume pula merupakan kronologi pengalaman kerja pemohon.

Melalui resume jenis ini, anda dapat tonjolkan kemahiran yang dimiliki dan berkaitan dengan pekerjaan yang dipohon serta sejarah kronologi pekerjaan anda. Ini kerana kebanyakan majikan ingin melihat sejarah dan pengalaman pekerjaan anda walaupun anda mempunyai pengalaman kerjaya yang tidak begitu meluas.

Resume seperti ini membantu anda untuk tonjolkan diri anda dan menjadikan anda paling sesuai untuk pekerjaan tersebut disamping memberikan semua maklumat yang diinginkan oleh majikan.

4. Infographic Resume / Resume Infografik

Resume infografik merupakan satu resume yang merangkumi elemen reka bentuk grafik selain daripada tulisan dan sememangnya tidak mempunyai sebarang bentuk tulisan.

Tidak seperti resume berbentuk asas yang lain yang menggunakan tulisan untuk menyenaraikan pengalaman kerja, pendidikan dan kemahiran calon, resume infografik menggunakan layout, warna, reka bentuk, format, ikon, dan pelbagai jenis font untuk mengatur isi kandungan resume.

5. Resume With Profile / Resume Profil

Resume profil merupakan sejenis resume yang merangkumi ringkasan mengenai tujuan permohonan, kemahiran dan pengalaman kerja yang berkaitan dengan pekerjaan tertentu. Ringkasan ini (biasanya tidak lebih dari beberapa ayat) membantu calon “menjual” dirinya kepada syarikat yang menawarkan pekerjaan.

Ia sangat berguna bagi hampir semua pemohon kerja kerana resume ini dapat menjelaskan secara ringkas pengalaman kerja anda kepada bakal majikan. Sekiranya anda mempunyai pengalaman kerja yang terhad, resume ini dapat membantu anda menonjolkan kemahiran yang anda miliki.

6. Targeted Resume / Resume Sasaran

Bagi resume jenis ini, ia sesuai untuk fokus kepada pengalaman pengalaman dan kemahiran yang anda miliki serta relevan dengan pekerjaan yang dipohon. Untuk resume ini, anda perlu meletakkan seberapa banyak pengalaman dan kemahiran yang sesuai dengan pekerjaan tersebut.

Mulai hari ini, anda boleh cuba menulis resume mengikut pekerjaan yang dipohon dan sudah pasti bakal majikan terus fokus pada kelayakan yang ada dan menawarkan jawatan tersebut kepada anda.

7. Non Traditional Resume / Resume Unik

Resume jenis ini sangat unik kerana mempunyai beberapa gambar, grafik dan visual yang berlainan. Ia mungkin juga sejenis resume yang berbentuk video atau resume yang berada di laman web sosial.

Ia sangat sesuai digunakan oleh pemohon yang berada dalam bidang seni kreatif dan dapat menonjolkan kemampuan mereka membuat reka bentuk yang menarik secara visual dan juga laman web.

8. Mini-Resume / Resume Mini

Merupakan satu resume yang paling ringkas kerana mempunyai ringkasan mengenai kelayakan kerjaya dan beberapa maklumat yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon serta pekerjaan terkini.

Resume mini ini sesuai untuk membina networking kerana ia ibarat business card dan kenalan anda boleh menyampaikan maklumat tentang anda kepada majikan atau bahagian pengambilan pekerja mereka.

Jadi secara ringkasnya disini anda boleh memilih mana-mana resume yang sesuai untuk anda gunakan dan hantar kepada majikan atau bahagian pengambilan pekerja. Pastikan anda memilih resume yang betul supaya anda menjadi calon yang terbaik untuk mengisi jawatan yang ditawarkan.

Categories
Temuduga

5 Jenis Pesaing Ketika Temuduga & Tips Untuk Bersaing Secara Sihat

Pesaing Ketika Temuduga

Jangan terkejut ya kerana anda akan bertemu dengan pesaing yang hebat ketika sesi temuduga dijalankan. Pesaing ini akan mencabar kewibawaan anda dan boleh membuatkan sedikit keyakinan anda sedikit goyah.

Bagaimanakah untuk mengenali pesaing anda yang sangat mencabar ini?

1. Calon Yang Bijak Berkomunikasi

Calon jenis ini mempunyai satu kelebihan iaitu sangat pandai dan bijak dalam bercakap. Calon jenis ini tidak memerlukan masa yang terlalu banyak untuk mengkaji, belajar atau melakukan perkara yang melecehkan mereka.

Selalunya calon jenis ini akan berlagak cool dan steady seolah-olah tiada apa-apa perkara yang berlaku.

2. Calon Buat Persediaan Sangat Rapi

Calon jenis ini adalah calon yang sangat cemerlang dimana beliau akan terus melakukan pencarian maklumat dan kajian berkaitan syarikat serta pekerjaan yang dipohon. Anda boleh lihat calon jenis ini akan membawa nota serta membaca tanpa henti ketika menunggu giliran untuk masuk temuduga.

3. Calon Yang Kelihatan Sangat Sesuai Untuk Jawatan Tersebut

Anda bakal bertemu dengan calon yang sangat sesuai untuk memegang jastan tersebut berbanding anda. Ini adalah kerana beliau mempunyai kriteria yang diperlukan oleh majikan serta pengalaman yang bekerja dalam bidang berkaitan. Itu adalah kelebihan yang yang sangat tinggi serta sangat berpeluang untuk diterima menjawat jawatan tersebut. Ini adalah merupakan seorang pencabar yang sangat mencabar untuk anda.

4. Calon Berlagak Sombong

Calon begini merasakan beliau sangat hebat berbanding orang lain dan seolah-olah tahu semua tentang temuduga dan pekerjaan yang dipohon. Mereka akan menunjukkan tahap keyakinan yang paling tinggi dan sangat mudah untuk dikesan.

5. Calon Yang Mempunyai Latar Belakang Yang Hebat

Selain daripada calon-calon diatas, terdapat calon yang mempunyai latar belakang yang hebat seperti mempunyai pendidikan kelas pertama, berpengalaman dalam syarikat yang ternama dan hebat serta pernah bekerja sebagai seorang yang profesional. Risau juga tersingkir dengan pesaing seperti ini.

Tips Untuk Bersaing Secara Sihat

  • Jadilah calon yang mesra, tepat dan ringkas dan jangan menjauhkan diri dengan panel temuduga.
  • Pastikan komunikasi anda kelihatan natural dan bukan dibuat-buat, nada yang bersemangat dan lakukan “eye-contact”.
  • Pastikan anda tahu apa “pain” kepada syarikat, maksudnya disini apa yang syarikat itu cari dan perlu. Anda tunjukkan kepada mereka diri anda mempunyai perkara itu.
  • Jika anda tidak tahu menjawab soalan yang diberikan, cari alternatif dengan memberikan jawapan kepada ilmu yang anda ada sekarang, menyatakan bahawa ia mampu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
  • Jangan menghafal apa-apa jawapan, fikirkan pengalaman anda dalam kerjaya yang mampu membuatkan anda berbangga dengannya, yang mencabar dan pengalaman yang boleh anda pelajari.

Ingat, anda juga mempunyai kelebihan anda yang tersendiri. Jangan terlalu merendah diri dan jadilah seorang calon yang bersemangat ketika sesi temuduga dijalankan. Hormati semua calon dan semua orang yang terlibat ketika temuduga dijalankan.

Categories
Kerjaya

Cara Mencari Kerja Dengan Lebih Efektif. Kami Kongsikan 4 Teknik Sebagai Panduan Anda

Tips Mencari Kerja Yang Efektif. Dapatkan 4 Teknik Yang Dikongsikan Ini

Pastinya anda sedia tahu bahawa terdapat pelbagai jenis cara untuk mencari kerja seterusnya mendapatkan pekerjaan tersebut. Terdapat 4 teknik yang sesuai untuk jadikan panduan sebelum anda mencari pekerjaan agar ianya sepadan dengan kehendak anda dan majikan pada masa kini.

4 Teknik Mencari Kerja Yang Efektif

Antara teknik mencari kerja yang efektif adalah :

Membuat Penilaian Diri

  • Tentukan dahulu minat kerjaya anda.
  • Mengenalpasti kemahiran serta kepakaran yang ada.
  • Mengetahui jenis-jenis pekerjaan yang dipohon.
  • Dapatkan matlamat kerjaya agar mendapat kepuasan dalam bekerja.

Kenal Pasti Pilihan Pekerjaan

  • Terdapat pelbagai jenis pekerjaan yang ditawarkan. Buat perbandingan dari segi kemahiran, minat dan padanan sijil akademik anda.
  • Pastikan kemahiran yang diperlukan majikan sepadan dengan kemahiran yang ada pada anda.
  • Dapatkan maklumat berkaitan jawatan serta syarikat yang dipohon.

Matlamat Kerjaya

  • Kenal pasti terlebih dahulu matlamat anda mencari pekerjaan. Adakah untuk mendapatkan duit sahaja, membayar hutang atau meningkatkan ilmu kemahiran dalam pekerjaan atau mengembangkan kerjaya.

Sumber / Platform Mencari Pekerjaan

Dapatkan iklan-iklan kerja kosong melalui :

  • Media sosial seperti Facebook, Instagram, Whatsapp dan lain-lain.
  • Iklan banting / banner.
  • Blog jawatan kosong
  • Laman web Jobs Malaysia, MySPP dan SPA.
  • Agensi pekerjaan swasta

Atau anda boleh terus hubungi wakil syarikat dan bertanyakan sama ada syarikat tersebut mempunyai jawatan kosong. Seterusnya tanya cara untuk membuat permohonan sekiranya terdapat kekosongan jawatan di syarikat tersebut.

Untuk menghubungi wakil syarikat, anda perlu :

  • Telefon terlebih dahulu sekiranya anda tahu nombor telefon syarikat tersebut.
  • Seterusnya hantar emel beserta cover letter dan resume ke alamat emel yang telah anda dapatkan.
  • Hadir untuk temuduga sekiranya dipanggil untuk temuduga.
  • Jika tiada kekosongan jawatan, berikan nombor telefon anda atau minta alamat emel bahagian HR untuk mengetahui kekosongan jawatan jika ada.