Categories
Temuduga

5 Kesalahan Interview Yang Sering Dilakukan Oleh Calon Temuduga

5 Kesalahan Interview Yang Sering Dilakukan Calon Berdasarkan Pengalaman Panel Temuduga

Penemuduga sentiasa memerhatikan tingkah laku setiap calon yang hadir temuduga dan mereka menilai anda dari awal anda masuk sehingga anda keluar daripada bilik temuduga. Jadi, sebagai calon, anda perlu mengelakkan daripada melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya anda lakukan ketika sesi temuduga dijalankan.

Beberapa panel penemuduga telah menyenaraikan beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh calon dan sebolehnya meminta calon temuduga yang seterusnya tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Apakah kesalahan-kesalahan yang disenaraikan oleh panel penemuduga tersebut?

Berikut adalah 5 kesalahan utama yang sering dilakukan oleh calon ketika sesi temuduga dijalankan.

5 Kesalahan Interview Yang Sering Dilakukan Oleh Calon

Antara 5 kesalahan interview yang sering dilakukan oleh calon dan dikenalpasti oleh panel penemuduga ialah :

Calon Tidak Mengikut Arahan

Majikan atau bahagian pengambilan pekerja telah meletakkan iklan kerja kosong dan meminta para pemohon kerja untuk menghantar resume dan cover letter dalam bentuk PDF agar dapat dibuka dan dibaca oleh penerima emel.

Namun, emel yang diterima tidak mematuhi arahan yang telah ditetapkan. Apa yang  bakal majikan dapati, daripada beratus permohonan hanya terdapat 10 hingga 30 pemohon sahaja yang mengikut arahan yang diberikan.

Jika membuat permohonan sahaja sudah tidak dapat ikut arahan, bagaimana pula jika diterima bekerja?

Calon Gambarkan Diri Seorang Yang Mempunyai Etika Tidak Baik

Ada beberapa calon yang apabila ditemuduga memberikan jawapan yang menunjukkan bahawa mereka mempunyai etika kerja yang tidak baik.

Contoh soalan yang diberikan ialah, “Ceritakan pengalaman ketika anda diberikan tugasan yang banyak dan bagaimanakah anda kendalikannya?”

Jawapan yang diberikan oleh calon sangat mengejutkan dimana menyatakan seperti berikut :

“Untuk pengetahuan tuan, rakan sekerja pernah saya meminta pertolongan saya untuk menyiapkan tugasannya. Dalam masa yang sama majikan meminta saya membantu rakan sekerja sebelum saya menyiapkan tugasan saya. Saya agak keberatan kerana tugasan saya juga masih lagi belum siap sepenuhnya.”

Jadi, apa pula penilian anda pula?

Calon Menipu CV Dan Resume

Terdapat calon yang menipu ketika menghantar CV dan resume dengan meletakkan kemahiran yang mereka tidak memiliki dan apabila di interview secara berhadapan, mereka tidak tahu apa-apa bila disoal dengan soalan berkaitan kemahiran yang mereka letakkan dalam CV dan resume.

Calon Berpura-Pura Menjadi Seseorang Yang Sangat Sempurna

Ada calon yang berpura-pura seolah-olah tidak mempunyai sebarang masalah menganggap mereka sangat sempurna dalam melakukan tugasan.

Jika panel penemuduga bertanyakan cara untuk menyelesaikan masalah dan calon menjawab bahawa mereka tidak akan pernah membuat masalah, secara automatik panel penemuduga menganggap calon adalah seorang penipu.

Calon Tukar Dan Mengelak Soalan

Apabila calon disoal dengan soalan berkaitan kelemahan diri dan soalan yang menyentuh kekurangan diri, ramai calon yang tidak bersedia untuk berkongsi dan cuba untuk mengelak dan menukar topik yang dibincangkan

Tidak ramai yang cuba menjadi kreatif dengan memberikan jawapan penyelesaian kepada kelemahan diri mereka.

Ingin tahu 9 kesilapan pencari kerja lakukan ketika menghantar resume? Klik sini dan lihat pada kesalahan nombor 5 yang sering dilakukan oleh pencari kerja. Jangan lakukan kesalahan yang sama ya.

Categories
Temuduga

8 Gaya Buruk Yang Boleh Merosakkan Interview Anda

Sesi Interview Yang Rosak

Tanpa sedar, pasti ada sebilangan daripada anda yang terlepas pandang dalam bab ini dan secara tak sengaja melakukannya tanpa sedar. Bahasa badan serta pelbagai gaya pertuturan menjadi aspek utama mengapa sesi interview tidak berjalan dengan lancar dan rosak akibat perilaku calon itu sendiri.

Mengapa berlakunya perkara yang tidak diingini dalam sesi interview anda? Ini mungkin kerana beberapa faktor yang tidak diingini oleh calon itu sendiri. Antaranya ialah :

  • Tidak selesa
  • Tidak bersedia
  • Gugup
  • Tidak cukup tidur
  • Sengaja
  • Terlalu teruja
  • Kebiasaan calon itu sendiri
  • Jauh daripada anggapan sebelum ini
  • Over confident
  • Terlalu lama menunggu

8 Gaya Buruk Yang Merosakkan Interview Anda

Terdapat 8 gaya buruk yang boleh merosakkan interview anda ialah :

1. Menggoyangkan Kaki

Mengapa perlu menggoyangkan kaki anda? Penemuduga dapat melihat gaya tubuh badan anda dengan terang kerana anda berada dihadapan mereka. Jangan sesekali melakukan perbuatan ini ketika hadir sesi temuduga anda walaupun ada meja dan penemuduga tidak nampak.

2. Kaki Bersilang Dan Menyandar

Ada calon temuduga yang pada awalnya duduk dengan sopan dan tertib. Tetapi kemudiannya mula menyilangkan kaki dan bersandar pada kerusi seperti sedang bersantai. Walaupun penemuduga tidak menegur perbuatan buruk anda, tetapi mereka menilainya dan memberikan markah kepada anda.

3. Memegang Muka, Mulut dan Memusingkan Kepala

Ada calon yang habitnya memegang muka, mulut dan memusingkan kepala seolah-olah semuanya gatal dan sakit urat. Anda telah membuatkan penemuduga rasa rimas dan tidak senang dengan kelakuan anda.

4. Bercakap Dengan Slang 

Walaupun anda baru balik dari London, tidak perlu rasanya untuk anda bercakap dengan menggunakan slang yang tidak sepatutnya. Kalau hendak bercakap dengan bahasa Inggeris, teruskan sahaja menjawab semua soalan dengan meggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

5. Potong Cakap Penemuduga

Walaupun anda tahu jawapan dan tahu isi penting untuk jawapan serta perbincangan dengan penemuduga, anda dinasihatkan untuk tidak memotong percakapan mereka. Pastikan penemuduga menghabiskan kata-kata mereka dan tunggu sehingga penemuduga menawarkan anda untuk memberikan jawapan kepada mereka.

6. Terlalu Banyak “Aaaaa”

Mengapa banyak “Aaaaaaaa” ketika hendak menjawab soalan? Habit atau gugup atau tidak bersedia? Jika anda mahu mencari jawapan, minta sedikit masa dengan penemuduga dengan sopan. Penemuduga pastinya faham dan memberikan anda sedikit masa untuk menjawab.

7. Memegang Barang Di Atas Meja Penemuduga

Kawal tangan anda daripada memegang dan bermain dengan peralatan yang ada diatas meja penemuduga atau pen yang anda bawa. Itu bukan skill yang diperlukan oleh seorang bakal majikan anda.

8. Merokok

Eh, tidak mengapa. Saya merokok sebelum masuk temuduga. Ingat, bau rokok sangat kuat. Baunya pasti melekat pada baju anda. Jadi, elakkan untuk merokok sebelum masuk temuduga ya.

Pastikan 8 gaya buruk ini tidak dilakukan ketika anda hadir interview anda ya. Walaupun nampak remeh, tetapi penemuduga sentiasa menilai anda. Semoga anda semua berjaya dalam temuduga anda.

Categories
Temuduga

Tips Persiapan Temuduga Kerajaan & Swasta Untuk Anda Follow

Ramai calon temuduga bagi jawatan dalam sektor kerajaan mengadu bahawa mereka perlu melalui fasa yang sangat getir ketika temuduga. Temuduga untuk jawatan kerajaan ini adalah sangat sukar berbanding dengan temuduga untuk jawatan bagi sektor swasta.

Hal ini kerana, dalam sektor kerajaan, tapisan yang sangat hebat dilakukan untuk memastikan hanya calon yang betul-betul berkualiti sahaja diterima. Jadi, walaupun sedikit kesalahan yang anda lakukan, peluang anda untuk diterima bekerja akan kurang banyak peratus.

Oleh yang demikian, dalam artikel ini akan dikongsikan tips persiapan temuduga kerajaan. Anda bolehlah mengamalkan tips-tips ini untuk memastikan tiada kesilapan dibuat semasa temuduga. Berikut merupakan tips-tips tersebut.

BORANG

Sila pastikan dokumen-dokumen yang diarahkan untuk dibawa pada hari temuduga semuanya sudah tersedia. Dokumen-dokumen ini termasuklah resume, CV serta borang-borang yang harus anda isi dan perlu diserahkan semula kepada penemuduga.

Pastikan setiap butiran maklumat dalam borang ini diisi dengan lengkap. Selain itu, sila pastikan juga tulisan anda kemas dan mudah dibaca. Untuk makluman, penemuduga dapat melihat karakter anda daripada cara anda mengisi borang tersebut.

Jika borang tersebut tidak diisi dengan lengkap serta tulisan anda seperti cakar ayam, sudah pasti penemuduga akan melabel anda sebagai seorang yang cuai dan begitu jugalah sebaliknya.

RESUME

Tips dalam penghasilan resume mudah sahaja. Anda boleh gunakan panduan membuat buku skrap dalam penghasilan resume. Jika anda pernah melihat buku skrap sebelum ini, muka hadapannya mestilah dihias dengan hiasan berkaitan contohnya seperti logo SPA, jata kerajaan Malaysia dan lain-lain.

Selain itu, maklumat-maklumat lain yang penting tentang diri anda seperti nombor kad pengenalan, jawatan yang dipohon dan lain-lain perlu disertakan. Letakkan juga pembahagi ataupun “divider” dalam fail anda bagi memisahkan suatu bahagian dokumen dengan dokumen yang lain.

Gunakan warna yang berbeza dalam membuat pemisah ini bagi mencantikkan lagi fail di samping memudahkan penemuduga untuk mencari dokumen dalam fail tersebut. Di samping itu, gunakanlah design menggunakan komputer anda bagi menampakkan diri anda sebagai seorang yang celik IT.

SIJIL

Salah satu kesalahan yang sering dilakukan oleh kebanyakan calon temuduga adalah membawa salinan sijil kosong tanpa disahkan. Ingat! Dalam setiap urusan yang memerlukan salinan sijil, pastikan salinan sijil tersebut telah disahkan oleh Ketua Kampung, JKK, pegawai kerajaan gred tinggi atau lain-lain. Bukan sahaja salinan sijil, salinan kad pengenalan juga haruslah disahkan juga.

Selain itu, letakkan sijil asli dalam fail flip yang boleh diselak dan mudah untuk penemuduga lihat serta ambil. Jangan letakkan sijil dalam envelop fail yang akan menyusahkan penemuduga untuk buka dan cari satu per satu.

PEMAKAIAN

Pemakaian merupakan salah satu perkara yang sangat perlu untuk dititikberatkan oleh seseorang calon temuduga itu. Pemakaian yang sesuai penting bagi mendapatkan first impression yang baik daripada penemuduga.

Tidak kiralah sama ada temuduga itu untuk kerja kerajaan mahupun swasta, calon temuduga perlulah memakai pakaian rasmi semasa menghadiri temuduga tersebut. Berikut merupakan sedikit panduan pemakaian semasa temuduga.

  • Berwarna gelap (hitam, navy blue, maroon)
  • Kosong dipadankan dengan corak batik. Elakkan baju bercorak meriah iaitu terlalu banyak design.
  • Beg tangan bersaiz sederhana. (Seeloknya jangan bawa masuk beg tangan. Tinggalkan di luar bilik temuduga. Cuma bawa fail sahaja.)
  • Pakai jam besi atau bertali kulit. (Jangan pakai aksesori lain seperti cincin dan sebagainya.)
  • Kasut bertutup berwarna hitam kosong. Pastikan kasut itu flat ataupun hanya ada sedikit tumit sahaja. High heels adalah dilarang.
  • Pakai tudung kosong berwarna gelap. Gayakan tudung cara paling simple.
  • Make up yang nipis sudah memadai.

CARA MEMASUKI BILIK TEMUDUGA

Apa yang paling penting adalah anda perlu sentiasa kekalkan ketenangan terutama sekali sebaik sahaja nama anda dipanggil untuk memasuki bilik temuduga. Jangan sesekali gelabah. Tarik nafas dan bertenang. Anggap sahaja anda seolah-olah ingin bertemu dengan Guru Besar di sekolah rendah dahulu. Untuk etika memasuki bilik temuduga, anda boleh ikuti tiga langkah mudah ini.

Sebaik sahaja nama anda dipanggil untuk memasuki bilik temuduga, jalan secara tenang ke arah bilik tersebut. Jangan gopoh! Kemudian, ketuk pintu bilik itu dan tunggu sehingga penemuduga berkata masuk barulah anda masuk. Jangan masuk sesuka hati anda tanpa mengetuk pintu. Penilaian terhadap anda sebenarnya bermula dari sini.

Setelah masuk jangan terus duduk. Biasanya, akan terdapat tiga orang penemuduga yang sudah bersedia untuk menemuduga anda. Pastikan anda duduk bertentangan dengan penemuduga yang berada di tengah. Jangan duduk selagi salah seorang daripada penemuduga itu tidak mempelawa anda untuk duduk.

Jangan sesekali “membontot” iaitu jangan pusing bahagian belakang kepada penemuduga. Jadi, jika kerusi tersebut berjauhan dengan anda, anda perlulah melangkah ke belakang dan duduk sebaik sahaja dipelawa oleh salah seorang daripada penemuduga.

CARA BERCAKAP

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa semasa temuduga, calon perlu menggunakan bahasa baku dan sangat formal. Salah sama sekali! Jangan gunakan perkataan yang terlalu formal dan jangan juga terlalu santai.

Paling penting untuk anda ingat adalah jangan sesekali terlalu banyak bercakap sehingga melebihi penemuduga. Penemuduga akan menganggap anda melalut. Jadi, hanya bercakap perkara-perkara yang berdasarkan fakta sahaja. Selain itu, jangan juga terlalu kurang bercakap. Perkara ini membuatkan anda dilihat sebagai seorang yang kurang produktif.

CONTOH SOALAN YANG WAJIB DITANYA

Terdapat beberapa soalan yang mesti akan ditanya semasa temuduga. Jadi, anda bolehlah bersedia dengan jawapan bagi soalan-soalan ini. Berikut merupakan contoh-contoh soalan tersebut.

  1. Perkenalkan diri anda.
  2. Apakah tugas seorang pembantu tadbir?
  3. Siapakah nama Perdana Menteri Malaysia?
  4. Apakah jabatan yang diletakkan di bawah Kementerian Pertanian?

CARA MENGUNDUR DIRI SELEPAS TEMUDUGA

Sebaik sahaja sesi temuduga selesai, anda perlu berjalan ke depan semula untuk mengambil fail anda serta ucapkan terima kasih dengan riak wajah yang ceria. Salam penemuduga tersebut (yang sesama jantina sahaja).

Kemudian, langkah semula ke belakang dan jangan membontot penemuduga tersebut. Jalan keluar daripada bilik temuduga tersebut dengan sopan. Ingat! penilaian tetap berjalan sehingga anda melangkah keluar daripada bilik tersebut.

Diharapkan semoga artikel ini dapat membantu anda dalam membuat persiapan menghadapi temuduga. Ikutlah kesemua tips yang telah diberikan ini. Semoga berjaya!

Categories
Temuduga

Perkara Yang Pantang Disebut Semasa Sesi Temuduga

Ada perkara yang boleh disebut ketika sesi temuduga anda dan ada perkara yang tidak boleh anda sebutkan ketika temuduga dijalankan.

Hal ini kerana ia memberikan beberapa persepsi yang tidak baik daripada pandangan penemuduga ketika anda menyebutkan perkara yang tidak sepatutnya walaupun anda disoal dengan jawapan tersebut.

Baca perkongsian ini untuk mengetahui perkara apakah yang dilarang sama sekali untuk anda menyebutnya walaupun disoal oleh penemuduga.

Jangan Sebut Perkara Ini

Perkara yang dilarang untuk anda menyebutnya ketika temuduga ialah :

1. Benci Pekerjaan Lama / Sekarang

Jika anda menyebut perkara ini dihadapan penemuduga, ia memberikan negatif kepada penemuduga kerana mereka menganggap bahawa anda bakal benci pada pekerjaan yanga kan ditawarkan kepada anda. Jadi, berhati-hati dan jangan menyebutnya dihadapan penemuduga walaupun disoal dengan soalan ini.

2. Rancang Untuk Bercuti Minggu Hadapan

Ada juga majikan yang bertanya mengenai perancangan anda dalam masa seminggu dua ini untuk mengetahui peracangan terkini anda. Mungkin mereka akan mempertimbangkan untuk menawarkan jawatan tersebut kepada anda dan tahu masa yang sesuai untuk panggil anda hadir melapor diri.

Oleh itu, jangan maklumkan bahawa anda akan bercuti pada minggu hadapan atau 2-3 minggu akan datang kepada penemuduga. Khuatir juga majikan akan menarik semula tawaran buat anda. Tunggu sehingga anda sah mendapat tawaran kerja dan lapor diri, barulah anda bincangkan perihal percutian anda.

3.  Memburukkan Majikan / Bekas Majikan

“Majikan saya seorang yang sangat teruk, jahat dan tidak berhati perut”. Jadi, adakah anda akan mengatakan perkara yang sama ketika anda hadir temuduga untuk masa yang akan datang?

4. Tempat Kerja Tak Seronok

Elakkan daripada memberikan pernyataan ini. Majikan baru akan menganggap bahawa anda yang bermasalah kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru walau dimana sahaja anda bekerja.

5. Jumlah Gaji Untuk Jawatan Ini

Walaupun anda ditawarkan untuk bertanyakan soalan, jangan sesekali bertanyakan mengenai soal gaji kepada penemuduga anda. Mungkin anda tidak peka dengan tawaran kerja yang menyatakan jumlah gaji yang ditawarkan dan ia juga tidak sesuai ditanya walaupun tidak dinyatakan dalam iklan tawaran. Untuk bahagian ini, biar sahaja bakal majikan anda yang bertanyakan soalan ini kepada anda.

Baca juga : Apa Yang Perlu Anda Jawab Jika Ditanya Berapa Anggaran Gaji Anda?

6. Berapa Hari Cuti?

Ini adalah soalan mengenai faedah yang akan diberikan oleh syarikat kepada anda. elakkan bertanya soalan mengenai faedah syarikat kepada pekerja. Anda boleh bertanyakan soalan ini setelah anda sah mendapat tawaran kerja oleh majikan.

 

7. Menjawab Panggilan Telefon

“Sekejap ya tuan, saya nak jawab telefon ini sekejap”. Sila matikan telefon bimbit anda sebelum anda hadir temuduga.  Jangan menjawab telefon, buka Facebook, main Whatsapp dan membalas mesej ketika temuduga anda.

8. Jangan Memaksa Majikan

Anda tidak perlu memaksa penemuduga untuk menerima anda bekerja dengan mereka. “Tolonglah tuan, saya perlukan kerja ini sangat-sangat”. Anda tidak perlu berkata seperti ini kepada penemuduga walaupun anda amat memerlukan pekerjaan tersebut. Tunjukkan kelebihan dan kemahiran diri anda serta yakin ketika menjawab soalan. Penemuduga pasti mempertimbangkan untuk berikan jawatan terebut kepada anda sekiranya anda memenuhi kriteria mereka.

9.  Tidak Berpengalaman & Cepat Belajar

Ini adalah ayat klise yang memuakkan bakal majikan anda. Apa yang penting, dapatkan maklumat serta kriteria yang diperlukan oleh bakal majikan anda. Semasa temuduga, kaitkan dengan kelebihan dan kemahiran yang sedia ada pada anda. Jual diri anda kepada penemuduga.

10. Tidak Tahu

Jangan terlalu panik sekiranya anda tidak tahu jawapan yang diberikan oleh penemuduga. Anda juga jangan menyebut “Tidak tahu”. Sebalikny ambil sedikit masa dan tanyakan semula soalan pada penemuduga untuk dapatkan penjelasan yang lebih lanjut.

11. Lihat Saja Resume

Anda tidak perlu memberikan arahan kepada penemuduga untuk melihat resume anda sekiranya bertanyakan soalan dan jawapannya ada di dalam resume anda. Penemuduga bertanyakan soalan walaupun mengetahui jawapannya kerana ingin menilai cara anda berkomunikasi serta memberi maklumbalas terhadap soalan yang diberikan.

12. Bila Temuduga Akan Selesai?

Walaupun anda mempunyai temujanji lain pada hari yang sama, jangan sesekali bertanyakan kepada majikan bilakah temuduga anda akan selesai. Rancang temujanji anda pada hari dan masa yang lain.

13. Maaf, Lambat

Ini menunjukkan attitude anda yang tidak baik dari segi pengurusan masa kerana hadir lambat untuk temuduga. Tetapi jika anda mempunyai hal kecemasan, nyatakan dengan jujur dan jelas kepada penemuduga beserta dengan bukti. Jika anda mempunyai nombor telefon syarikat tersebut, anda boleh telefon dan nyatakan hal kecemasan yang berlaku kepada anda.

14. Bercakap Kasar

Tampil dengan penuh sopan dan penuh profesional. Elakkan berkomunikasi dengan penemuduga seperti bercakap dengan rakan-rakan anda. Jangan bercakap dengan kasar atau memaki hamun.

15. Mahu Bekerja Dari Rumah

Walau anda mempunyai masalah yang memerlukan anda bekerja dari rumah, elakkan berbincang mengenai perkara ini dengan penemuduga anda sebelum anda mendapat tawaran kerja yang sah.

16. Adakah Saya Telah Diterima Kerja?

Apabila temuduga tamat dan penemuduga menawarkan anda untuk bertanyakan soalan, jangan tanyakan soalan ini kepada penemuduga anda. Bakal majikan anda memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan walaupun anda merupakan calon yang terbaik untuk jawatan tersebut.

Jadi, elakkan daripada bercakap 16 perkara diatas ketika temuduga sekiranya anda mahukan pekerjaan tersebut menjadi milik anda. jaga adab sopan dan yakinlah ketika menjawab soalan. Semoga berjaya.

Categories
Temuduga

Jawapan Win Jika Ditanya “Berapa Anggaran Gaji Anda?”

Berapa Anggaran Gaji Anda?

Terdapat sesi temuduga yang bertanyakan soalan ini selepas penemuduga berpuas hati dengan penerangan mengenai kelebihan dan kemahiran calon.

Mungkin ketika ini majikan mempertimbangkan sama ada untuk mengambil calon yang mengikut kriteria yang mereka perlukan mengikut kesesuaian spesifikasi gaji yang ditetapkan syarikat.

Mengapa Soalan Ini Rumit

Terdapat beberapa cara untuk menjawab soalan temuduga mengenai gaji dan penting untuk menentukan cara terbaik untuk menjawab soalan ini agar anda dapat menjalani temuduga dengan yakin.

Baca 4 Soalan Yang Tidak Perlu Anda Jawab Semasa Temuduga

Soalan mengenai gaji bukanlah topik yang mudah. Walaupun mungkin tidak ada jawapan yang tepat, terdapat beberapa cara untuk menjawab soalan ini.

Menentukan Gaji Pada Borang Permohonan

Setiap borang permohonan masa kini mempunyai bahagian untuk meletakkan anggaran gaji yang anda pohon. Anda boleh memilih untuk melangkau soalan ini.  Tetapi sekiranya bahagian ini wajib untuk dijawab, anda boleh menjawab seperti berikut :

  • Masukkan anggaran gaji berdasarkan kajian anda.
  • Tulis ayat seperti “boleh dirunding” untuk menunjukkan anda boleh bertolak ansur.
  • Elakkan dengan menetapkan gaji tertentu. Ini akan kelihatan seperti anda tidak boleh bertolak ansur.

 

Menjawab Soalan Mengenai Anggaran Gaji

Untuk menjawab soalan ini, anda perlu mengetahui gaji minimum terkini yang telah dinyatakan oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia iaitu RM1,200 untuk semua industri.

Pada deskripsi tugasan juga ada dinyatakan gaji yang ditawarkan kepada anda. Tetapi anda juga boleh membuat permintaan gaji lebih daripada yang ditawarkan sekiranya anda mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang yang berkaitan.

Pastikan anda tidak membuat anggaran yang terlalu tinggi atau terlalu rendah ketika menjawab soalan mengenai gaji ini.

Tips Memberi Jawapan

Nyatakan anda boleh bertolak ansur

Anda boleh menjawab dengan menyatakan bahawa anda boleh berunding mengenai gaji yang ditawarkan sekiranya anda mempunyai pengalaman dan kelayakan yang luas dalam bidang yang dipohon.

Pertimbangkan untuk menyatakan anggaran gaji sekiranya melibatkan pengalaman dan kelayakan anda.

Nyatakan Anggaran 

Walaupun anda boleh bertolak ansur dan boleh dirunding mengenai gaji, mungkin ada majikan suka mendengar jika anda meletak anggaran gaji tertentu. Contohnya anda boleh meletakkan anggaran gaji sepeti RM2,000-RM2,500. Ia masih kelihatan anda masih lagi bertolak ansur dengan anggaran gaji  tetapi kelihatan jelas untuk majikan menentukan gaji yang anda inginkan.

Pastikan anda menyelidik dahulu gaji yang ditawarkan sesuai dengan anggaran yang akan disebutkan pada majikan nanti.

Fikirkan gaji anda sekarang

Selain meneliti gaji yang ditawarkan, anda boleh mendapatkan anggaran gaji dengan menggunakan gaji semasa anda.  Tetapi sekiranya gaji terakhir anda lebih rendah daripada gaji semasa pasaran, anda boleh mendapatkan maklumat gaji di syarikat lain dan membuat perbandingan untuk mendapatkan anggaran gaji yang sesuai.

Nyatakan pengalaman anda

Anda juga boleh tekankan mengapa anda sesuai dengan jawatan tersebut. Anda boleh mengatakan  seperti, “Berdasarkan pengalaman saya selama 10 tahun dalam bidang ini, saya menjangkakan gaji saya sepatutnya adalah antara RM2,000 hingga RM2,500.” Sebelum menyebut gaji tertentu, pastikan ianya berada dalam anggaran gaji yang ditawarkan oleh penemuduga kepada anda.

Perkara Yang Perlu Dielakkan

  • Elakkan daripada menetapkan jumlah gaji anda. Lebih baik sekiranya anda membuat rundingan gaji bersama majikan anda.
  • Elakkan daripada meletakkan nilai yang rendah pada kelebihan dan pengalaman anda. Sekiranya pengalaman kerjaya dan pencapaian anda diiktiraf oleh institusi tertentu, letakkan harganya sesuai dengan pengalaman dan pencapaian anda.
  • Jangan bersikap negatif. Walaupun jumlah ditawarkan kelihatan sangat rendah, tanya kepada majikan dengan baik sebabnya dan adakah masih boleh berunding mengenai gaji yang ditawarkan.

Walaupun untuk menjawab soalan mengenai anggaran gaji yang dipohon agak rumit, anda perlu menjawab dengan jawapan yang bijak dan memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak. Anda juga perlu membuat sedikit rujukan agar gaji yang anda pohon menepati dan bersesuaian dengan pasaran semasa pekerjaan tersebut. Semoga berjaya.

Categories
Temuduga

Persediaan Untuk Temuduga. Jom Baca Perkongsian Ini

Apa Nak Prepare Untuk Temuduga Kerja Besok?

Alamak, besok sudah temuduga. Sebarang persediaan dan persiapan tidak dibuat. Apa yang perlu dilakukan?

Jangan risau, disini disediakan beberapa tips dan langkah untuk anda menghadapi temuduga untuk hari esok.

Analisis Jawatan

Anda boleh membuat analisa mengenai jawatan yang dipohon dan teliti keperluan yang dikehendaki oleh syarikat.

Senaraikan kemahiran, pengetahuan dan kebolehan anda yang berkaitan dengan keperluan syarikat tersebut.

Teliti setiap senarai anda yang ada atau tidak ada di dalam resume dan fikirkan mengapa anda sesuai dengan jawatan tersebut.

Dapatkan Maklumat Syarikat

Penting untuk anda mendapatkan seberapa banyak maklumat syarikat sebelum anda menghadapi temuduga.

Dapatkan maklumat melalui portal rasmi mereka, dapatkan misi, visi serta matlamat syarikat dan hubungkait dengan kemahiran dan kebolehan anda untuk memajukan syarikat.

Melalui cara ini, anda dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh penemuduga anda dengan yakin.

Berlatih

Jika anda masih lagi mempunyai masa, cuba ajak rakan atau ahli keluarga anda membuat latihan temuduga. Minta mereka bertanyakan soalan dan anda menjawab seperti mana anda menghadapi temuduga yang sebenar.

Persiapan Pakaian Temuduga

Anda boleh membuat persiapan temuduga pada hari ini dan pastikan pakaian tersebut elok sebelum dipakai.

Pastikan pakaian anda tidak koyak, tidak berbenang dan di seterika kemas. Lap kasut anda dan sediakan stokin di kasut supaya anda tidak kelam kabut pada hari esok.

Pakai pakaian yang sesuai, memakai aksesori yang sederhana dan tidak perlu bersolek berlebihan.

Gaya Rambut Dan Tudung Yang Sesuai

Gayakan rambut anda dengan gaya yang sesuai. Pastikan bersederhana dalam menggayakan rambut anda.

Sekiranya bertudung, pakai tudung dengan gaya yang sederhana dan sopan. Pastikan anda memakai tudung yang berwarna natural dan kerongsang yang tidak terlalu besar.

Perkara Yang Perlu Dibawa Ketika Temuduga

Perkara penting yang perlu dibawa ketika temuduga :

  • Resume (3-5 salinan)
  • Porfolio
  • Sijil

Siapkan dengan lebih awal dan masukkan ke dalam beg yang akan anda bawa ke tempat temuduga.

Pergi Temuduga Awal

Pastikan anda sampai ke tempat temuduga awal 10 hingga 20 minit awal. Sekurangnya anda boleh melihat etika bekerja syarikat tersebut dan dapat kaitkan dengan kemahiran serta kebolehan yang boleh anda sumbangkan kepada syarikat.

Baca: Isu Blacklist Jika Tidak Hadir Temuduga Kerja SPA

Apabila sesi temuduga dijalankan, lalui dengan yakin dan tampilkan yang terbaik tentang diri anda kepada penemuduga.

Diharap perkongsian ini dapat membantu anda untuk menghadapi temuduga hari esok. Semoga berjaya.

Categories
Temuduga

Betul Ke Nama Akan Di Blacklist Jika Tak Hadir Temuduga SPA?

Isu Blacklist atau Senarai Hitam Jika Tidak Hadir Temuduga Kerja SPA.

Apa akan berlaku jika saya tidak hadir temu duga?

Di atas merupakan pertanyaan yang sering Portal Jawatan Kosong terima. Ia berkaitan dengan tidak hadir temuduga spa. Sedikit pencerahan untuk anda.

Ramai calon yang tertanya apa yang akan terjadi jika tidak hadir temuduga SPA. Ramai yang beranggapan bahawa calon yang berjaya dipanggil temuduga tetapi gagal menghadirkan diri akan di senarai hitamkan. Ini bermaksud calon tersebut tidak akan dipanggil lagi untuk temuduga pada masa akan datang

Sebenarnya, persepsi itu adalah salah sama sekali. Menurut SPA, Calon yang tidak hadir tidak akan disenarai hitamkan atau blacklist. Jadi anda tidak perlu risau jika gagal menghadiri temuduga tersebut.

Bagi yang tidak berkesempatan untuk menghadiri temuduga berikutan masalah peribadi. Anda boleh menunda tarikh tersebut dengan menghubungi pegawai SPA.

Categories
Temuduga

Antara Sebab Anda Tidak Dipanggil Kerja Kerajaan

Bukan isu yang baru, tetapi sudah lama. Bahkan terlalu lama. Pasti ada sebab kenapa anda tidak dipanggil temuduga kerja kerajaan. Puluhan iklan kekosongan jawatan kosong terkini telah di isi. Namun satu panggilan temuduga pun tidak didengari.

Resume dan surat iringan sudah dihantar. Borang permohonan juga sudah diisi. Tetapi anda masih juga tidak menerima sebarang panggilan atau makluman untuk menghadapi temuduga kerja. Masa semakin berjalan. Mungkin anda perlu mengingat semula di mana silapnya.

SEBAB ANDA TIDAK DIPANGGIL TEMUDUGA KERJA

1. Salah isi borang permohonan.

Ingat kembali had umur untuk jawatan yang anda pohon. Adakah umur anda terlalu muda atau sudah terlalu tua untuk jawatan tersebut? Kelayakan anda juga memainkan peranan. Adakah ia kelayakan atau kelulusan yang diperlukan oleh majikan? Sebahagian jawatan perlukan kelayakan seperti sijil atau diploma sahaja. Ada sebahagian majikan hanya mahukan pengalaman sebagai syarat. Ingat kembali apa maklumat yang telah anda isikan.

2. Tiada pengambilan tiada kekosongan.

Barangkali anda tertunggu-tunggu dengan panggilan kepada jawatan yang dipohon. Semasa anda menghantar resume, sudahkah anda pastikan bahawa anda bertindak pada waktu yang betul? Jadi anda perlu membuat kajian sebelum memohon sesebuah jawatan. Masa sentiasa berjalan. Usah tunggu jawatan atau kerja yang tidak wujud.

3. Tamat tempoh permohonan.

Ini perkara kecil namun ia boleh membawa impak yang besar. Kesilapan ini boleh membuat anda tertekan kerana memohon jawatan yang tidak lagi ditawarkan. Sekiranya anda memohon jawatan dalam kerajaan, anda boleh log masuk ke dalam portal dan kemaskini permohonan anda. Mudah-mudahan anda dipanggil untuk menghadapi temuduga yang akan datang.

4. Terlalu ramai calon yang membuat permohonan.

Dalam sektor perkhidmatan awam, seramai 10,000 calon akan dipanggil bagi mencari calon yang layak untuk mengisi 2 kekosongan. Jadi persaingan ini akan menjadi amat sengit kerana mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan bukanlah ukuran utama. Calon-calon akan ditapis menerusi peperiksaan khas dan temuduga.

5. Kelayakan tidak memenuhi syarat.

Lihat kembali syarat-syarat yang diperlukan oleh jabatan kerajaan tersebut. Sama ada kelulusan yang anda miliki tidak mendapat pengiktirafan atau tidak menepati kriteria yang tertulis dalam iklan.

6. Tidak lulus peperiksaan khas.

Sebahagian besar calon yang ingin memasuki sektor perkhidmatan awam perlu melepasi peperiksaan yang dijalankan. Setiap jawatan mempunyai ujian yang berbeza seperti ujian bertulis, ujian bakat dan ujian fizikal. Jika anda tidak lulus peperiksaan bertulis, secara automatik anda gagal untuk ke sesi temuduga.

Kenapa Anda Tidak Dipanggil Temuduga Seperti Yang Disenaraikan Oleh Pihak SPA Malaysia

Di bawah pula merupakan beberapa Sebab Kenapa Anda Tidak Dipanggil Temuduga Kerajaan seperti yang telah disenaraikan oleh pihak SPA Malaysia.

 

Kesemua poin di atas merupakan sebahagian daripada punca kenapa anda tidak dipanggil temuduga kerja. Ada banyak lagi sebab yang boleh anda temui namun 6 punca kenapa anda tidak dipanggil temuduga kerja sudah cukup untuk anda jadikan panduan dan mengelakkannya daripada terjadi pada diri anda.

Categories
Temuduga

Tips Untuk Lulus Temuduga Terbuka Dan Dipanggil Berkerja

Apa Itu Temuduga Terbuka?

Temuduga terbuka adalah salah satu jenis temuduga yang sangat mencabar buat kebanyakan pencari kerja. Ini adalah kerana terdapat ramai orang yang akan hadir untuk temuduga ini dan pastinya ramai calon akan lakukan yang terbaik agar berjaya mendapat jawatan yang dipohon.

Namun, apa yang menariknya disini pihak majikan sebenarnya membuka banyak kekosongan jawatan untuk diisi. Jadi, anda mempunyai peluang yang luas untuk mendapat kerja tersebut walaupun ramai calon yang lain.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Pergi Temuduga Terbuka?

Anda tidak perlu pening untuk memikirkan apakah yang perlu anda lakukan sekiranya ingin hadir ke temuduga terbuka tersebut.

Sama seperti persiapan temuduga yang lain, anda hanya ikuti langkah-langkah yang dikongsikan ini.

Pakaian Yang Boleh Dipakai

Pakai pakaian yang bersesuaian dengan jawatan yang anda pohon. Sekiranya industri perkilangan yang membuat temuduga tersebut, lihat dahulu jawatan yang ditawarkan. Sekiranya melibatkan hal pentadbiran atau perkeranian, anda boleh pakai pakaian smart kasual atau pakaian mengikut kod pejabat. Tetapi apa jua pekerjaan, digalakkan anda memakai pakaian yang sesuai dan berkasut tutup.

Baca ini juga : Warna Pakaian Yang Sesuai Untuk Temuduga

Dokumen yang perlu dibawa

Bawa dokumen penting seperti sijil, resume dan cover letter yang dibuat beberapa salinan untuk diberikan kepada penemuduga. Jangan lupa membawa pen kerana anda perlu mengisi borang sebelum anda dipanggil masuk temuduga. Sediakan juga beberapa keping gambar berukuran pasport kerana sesetengah syarikat mungkin meminta anda untuk melekatkan gambar pada borang permohonan.

Tiba lebih awal

Setkan minda anda untuk sampai lebih awal ke tempat temuduga. Ini kerana setiap kali diadakan temuduga terbuka sesuatu jawatan, calon yang hadir terlalu ramai dan tidak dijangka. Jika anda sampai awal, anda boleh mendaftar lebih awal daripada orang lain dan boleh masuk temuduga lebih awal berbanding orang lain.

Bersedia untuk menjawab soalan

Anda pasti mengetahui tarikh dan waktu yang tepat bila temuduga akan dijalankan. Jadi anda boleh membuat beberapa persediaan untuk menjawab soalan yang berkaitan dengan jawatan tersebut.

Anda boleh mendapatkan maklumat berkaitan pekerjaan tersebut secara online melalui laman web syarikat dan berlatih untuk menjawab soalan. Sekiranya jawatan tersebut berkaitan kemahiran mengendalikan mesin, anda boleh bersedia dengan jawapan berkaitan kemahiran anda. Juga ceritakan pengalaman kerjaya anda untuk memastikan anda layak menjawat jawatan tersebut.

Menunggu dengan sabar

Jika calon temuduga ramai, anda dinasihatkan untuk sabar menunggu nama anda dipanggil untuk temuduga. Anda berkemungkinan untuk hadir semula temuduga pada keesokan harinya sekiranya masa untuk temuduga pada hari tersebut telah tamat.

Pastikan maklumat yang anda isi pada borang permohonan adalah betul dan tepat supaya pihak syarikat boleh menghubungi anda untuk temuduga semula.

Susulan Selepas Temuduga

Selepas anda selesai menghadapi temuduga, ambil sedikit masa untuk bertemu sebentar dengan penemuduga. Ingatkan mereka bahawa mereka telah menemuduga bagi jawatan yang tersebut. Minta bisnes kad mereka dengan cara yang baik dan bina networking dengan penemuduga. Anda boleh menghantar emel susulan kepada penemuduga serta ucapkan terima kasih kerana telah menemuduga anda.

Jangan lupa untuk meletakkan maklumat diri anda pada emel. Sekurangnya penemuduga boleh mengingati anda adalah calon yang telah ditemuduga sebelum ini. Mungkin dengan cara ini boleh menonjolkan diri anda sebagai calon sesuai yang mempunyai kemahiran komunikasi yang mereka perlukan.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Pergi Temuduga Terbuka?

Semoga perkongsian ini membantu anda sekiranya anda tidak pasti bagaimanakah untuk menghadapi temuduga terbuka yang akan anda lalui.

Categories
Temuduga

Contoh Jenis Soalan Terbuka Yang Akan Ditanya Bakal Penemuduga

Penemuduga biasanya mengemukakan soalan semasa proses pengambilan pekerja untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pengalaman calon dan kemampuan yang relevan dengan jawatan yang ditawarkan.

Keupayaan untuk menjawab soalan secara terperinci dan teliti dapat menunjukkan kemahiran menyelesaikan masalah dan berfikir secara kritis.

Melalui perkongsian ini, anda akan lebih memahami apa itu soalan terbuka dan soalan tertutup yang bakal anda lalui semasa temuduga nanti.

Apakah Soalan Terbuka?

Soalan terbuka adalah pertanyaan yang mendorong calon memberikan penjelasan dengan lebih terperinci. Kebanyakan majikan mengemukakan soalan terbuka untuk mendapatkan gambaran yang lebih baik mengenai proses pemikiran dan keperibadian calon. Soalan-soalan ini juga dapat menunjukkan sama ada anda mempunyai pengalaman dan kelayakan yang cukup untuk pekerjaan tersebut melalui jawapan mereka.

Oleh kerana tidak ada jawapan yang tepat untuk soalan terbuka maka bagi sesetengah calon menganggap soalan seperti itu sangat mencabar. Jawapan yang sesuai dan terbaik akan menunjukkan bahawa anda layak untuk mendapatkan jawatan tersebut.

Contoh Soalan Tertutup

Berbanding dengan pertanyaan terbuka, pertanyaan tertutup hanya dapat dijawab dengan jawapan seperti  “ya” atau “tidak.” Kadang kala, anda juga boleh menjawab dengan jawapan satu atau dua perkataan yang lain. Berikut adalah beberapa contoh soalan tertutup yang mungkin diajukan semasa temuduga :

  • Adakah anda menghadapi masalah mencari pejabat kami?
  • Adakah anda berpengalaman dalam penjualan perniagaan?
  • Adakah anda mempunyai diploma pemasaran atau pentadbiran perniagaan?
  • Adakah anda dapat bekerja secara shift?
  • Adakah anda boleh bekerja dengan baik di bawah tekanan?
  • Bolehkah anda mengendalikan akaun syarikat?

Contoh Soalan Terbuka

Walaupun soalan terbuka yang ditanyakan semasa temuduga berbeza, tetapi ianya sesuai dengan setiap situasi.

Ada beberapa soalan terbuka yang sering digunakan ketika temuduga seperti :

  • Mengapa anda berminat dengan jawatan ini?
  • Apakah yang anda anggap sebagai kekuatan dan kelemahan terbesar anda?
  • Mengapa anda fikir anda layak untuk jawatan ini?
  • Mengapa anda meninggalkan pekerjaan anda yang sebelum ini?
  • Di mana anda melihat diri anda pada masa akan datang?
  • Mengapa anda memilih jurusan ini di universiti tersebut?
  • Apa yang anda pelajari dari pengalaman kerja anda sebelum ini?

Soalan Dan Jawapan Temuduga Terbuka

Berikut adalah beberapa soalan terbuka yang mungkin ditanya ketika temuduga :

  • Bagaimana anda menggambarkan diri anda?
  • Apakah motivasi hidup anda?
  • Ceritakan sesuatu tentang diri anda yang tidak terdapat dalam resume anda.
  • Mengapa saya perlu memilih anda untuk jawatan ini?
  • Di mana anda melihat diri anda dalam lima tahun yang akan datang?
  • Mengapa anda meninggalkan pekerjaan anda sekarang?

Bagaimana anda menggambarkan diri anda?

Soalan ini dapat menunjukkan kemampuan anda untuk menilai diri sendiri dan menunjukkan beberapa kemahiran terkuat anda. Berikan jawapan yang menerangkan nilai diri anda yang paling positif dan bagaimana anda menggunakannya di tempat kerja.

Contoh jawapan: “Saya ahli pasukan yang hebat. Saya suka bekerjasama dan memberi sumbangan sebanyak mungkin ketika tugasan dijalankan. Sekiranya saya menyelesaikan tugas, saya akan bertanya kepada rakan sekerja saya jika saya dapat membantu mereka. Saya selalu berusaha meluangkan masa untuk menjawab sebarang pertanyaan, terutama dari ahli pasukan baru. Saya percaya kerja berpasukan dan kerjasama membantu menghasilkan hasil yang lebih baik dan lebih cekap. “

Apakah motivasi anda?

Jelaskan faktor yang mendorong anda untuk berjaya supaya majikan dapat melihat kelebihan dan cara kerja anda. Pilih jawapan yang paling tepat untuk menggambarkan motivasi anda dan bagaimana kaitannya dengan syarikat. Berikan contoh untuk lebih jelas.

Contoh jawapan: “Salah satu motivasi terbesar saya adalah maklumbalas daripada pelanggan. Menerima maklum balas positif daripada pelanggan menjadikan saya lebih bersemangat untuk terus berusaha dengan lebih baik. “

Ceritakan sesuatu tentang diri anda yang tidak terdapat dalam resume anda

Majikan tidak hanya mencari calon yang mempunyai kemahiran dan kelayakan yang tepat untuk sesuatu jawatan tetapi yang dapat menyesuaikan diri dengan budaya tempat kerja. Beri jawapan yang menggambarkan kekuatan anda yang berkaitan dengan jawatan yang ditawarkan.

Contoh jawapan: “Pekerjaan yang paling saya gemari adalah menjual produk. Saya menetapkan matlamat mingguan penjualan produk saya meningkat sebanyak 100 kotak seminggu. Pendapatan syarikat semakin bertambah dan saya sangat berpuas hati. Saya berminat untuk bekerja sebagai wakil jualan dengan syarikat tuan kerana saya yakin syarikat tuan adalah yang terbaik dan saya dapat mengembangkan kemahiran strategi pemasaran saya. “

Mengapa saya perlu memilih anda untuk jawatan ini?

Ceritakan pengalaman kerja anda  dengan menunjukkan kualiti dan nilai tambah kepada syarikat tersebut.

Contoh jawapan: “Daripada maklumat yang dapat saya kumpulkan, syarikat ini mempunyai sistem kerja yang sangat baik dan memerlukan pekerja yang dapat menguruskan operasi harian. Pengalaman kerja saya yang lepas menunjukkan sejarah kejayaan dalam mengatur pekerja dan bagaimana berkomunikasi dengan mereka secara efektif. Saya berharap saya dapat menggunakan kemahiran saya untuk kepentingan organisasi ini. “

Di mana anda melihat diri anda dalam lima tahun yang akan datang?

Ketika menjawab soalan, kenalpasti matlamat syarikat untuk melihat apakah posisi yang mungkin anda perolehi dalam lima tahun ke depan. Kemudian jelaskan bagaimana anda berniat untuk mencapai tujuan tersebut.

Contoh jawapan: “Dalam lima tahun yang akan datang, saya melihat diri saya berada di posisi yang lebih di syarikat ini. Sekiranya boleh, saya ingin menjawat jawatan sebagai seorang Pengurus Besar syarikat ini. Saya telah berusaha untuk berjaya dan mengembangkan kemahiran saya di syarikat ini kerana persekitarannya sangat sesuai dengan saya.”

Mengapa anda meninggalkan pekerjaan anda sekarang?

Kebanyakan majikan ingin mengetahui mengapa anda mencari pekerjaan baru. Pastikan anda memberikan jawapan yang positif mengenai majikan dan rakan sekerja anda. Anda boleh memberikan jawapan ringkas yang menerangkan alasan anda keluar.

Contoh jawapan: “Setelah beberapa tahun bekerja di sana, saya merasakan bahawa saya mencapai semua yang saya mampu dalam pekerjaan saya yang lalu. Jadi, untuk menambah pengalaman yang abru, saya memilih untuk mendapatkan pekerjaan baru di syarikat ini.”

Walaupun soalan yang dikemukakan nampak seperti mudah, ianya akan menjadi susah sekiranya anda tidak mempunyai teknik yang betul untuk menyampaikan jawapan anda.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat anda menghadapi temuduga.

Semoga berjaya.