Categories
Temuduga

Haram Tanya “Berapa Gaji Saya” & Dua Lagi Soalan Semasa Temuduga

Temuduga merupakan suatu proses yang sangat mencabar sebenarnya walaupun anda hanya menganggapnya sebagai proses soal jawab namun temuduga sangat memerlukan anda untuk memerah otak bagi menjawab soalan-soalan yang ditanya. Temuduga ini bolehlah disamakan dengan menjawab peperiksaan. Semestinya ada debarannya. Bukan itu sahaja, sama seperti peperiksaan, anda perlulah memiliki skil yang tepat untuk menjawab soalan-soalan yang bakal ditanya semasa temuduga tersebut. Anda juga perlulah melakukan persediaan yang rapi sebelum menghadiri temuduga. Persediaan ini penting bagi memastikan jawapan yang anda berikan itu releven dan menarik. Bukannya jawapan yang karut dan bakal memberi kesan kepada diri anda sendiri. Dalam artikel ini akan dikongsikan contoh soalan yang anda tidak perlu anda lontarkan kepada penemuduga semasa menghadiri temuduga. Jadi, jangan sesekali bertanyakan soalan-soalan yang disenaraikan di bawah. Berikut merupakan contoh-contoh soalan tersebut.

1. “Berapa Gaji Saya? Sekiranya Saya Di Terima Bekerja Di Sini?”

Tidak dinafikan anda sebenarnya ada hak untuk mengetahui berapa gaji yang akan dibayar jika diterima bekerja di tempat itu. Namun, bertanya tentang gaji secara melulu kepada penemuduga adalah sesuatu yang tidak sepatutnya anda lakukan. Hal ini menunjukkan diri anda tidak ikhlas bekerja dan hanya ingin bekerja kerana gaji sedangkan majikan menginginkan pekerja yang betul-betul berkualiti. Jadi, jangan sesekali buka mulut untuk bertanya tentang jumlah gaji yang akan dibayar. Untuk makluman anda, pada akhir sesi temuduga, penemuduga akan berbincang tentang jumlah gaji yang akan dibayar kepada anda sekiranya anda diterima bekerja. Jadi, anda tidak perlu pun tanya kerana penemuduga akan memberitahu anda juga pada akhir sesi.

2. “Saya Tak Suka Dengan Bos Lama Saya!”

Jika anda pernah bekerja sebelum ini, anda mungkin akan diajukan dengan soalan “Mengapakah anda berhenti bekerja di tempat lama anda?” Mungkin soalan ini dilihat mudah sahaja untuk dijawab tetapi malangnya soalan jenis inilah yang merupakan soalan perangkap. Ramai calon temuduga yang akan menjawab “Saya tidak suka atau tidak sehaluan dengan bos lama saya.” Jangan sesekali jawab begini walaupun itulah realitinya. Kenyataan begini akan menampakkan lebih banyak keburukan pada anda. Oleh itu, anda disarankan untuk menjawab seperti ini sekiranya soalan tersebut diajukan kepada anda.
“Banyak ilmu dan pengalaman telah saya terima di tempat kerja dahulu. Namun, setelah difikirkan kembali, saya merasakan ada baiknya saya mencabar diri saya untuk bekerja di tempat lain bagi menimba pengalaman baharu.”

3. “Saya Dipecat Kerana…….”

Perihal tentang dipecat adalah suatu topik yang sangat ditegah untuk dibincangkan semasa temuduga kerana ianya bakal menunjukkan sisi buruk diri anda. Jadi, tidak perlu pun ceritakan tentang sebab anda dipecat melainkan jika ditanya. Jika ditanya sekalipun, tidak perlulah cerita secara menyeluruh tentang mengapa anda dipecat. Cukuplah sekadar memberikan jawapan begini.
“Saya sebenarnya berada dalam bidang kemahiran yang salah dan tidak sesuai dengan diri saya. Namun, apabila saya sedar, semuanya sudah terlambat. Saya akan pastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi!”
Adalah amat penting untuk anda berhati-hati dan menjaga perkataan-perkataan anda semasa menjawab soalan yang ditanya oleh penemuduga. Jangan sesekali berikan jawapan seperti yang dikongsikan dalam artikel ini. Kami mengucapkan selamat berjaya dalam temuduga anda.
Categories
Temuduga

Bagaimana Nak Jawab Jika Ditanya Penemuduga “Anda Ada Apa-apa Soalan?”

Soalan yang paling ditunggu ketika di akhir temuduga anda adalah, “Adakah anda mempunyai sebarang pertanyaan untuk saya?”.

Bagaimanakah anda ingin menjawab soalan tersebut dan apa pula soalan yang akan anda tanya pada penemuduga?

Namun begitu, dalam menjawab soalan penemuduga ada juga Soalan Yang Tidak Perlu Anda Jawab Semasa Temuduga.

Lihat contoh dibawah untuk anda ajukan soalan kepada penemuduga dengan soalan yang baik dan kelihatan sesuai dengan situasi.

Mengapa Penting Untuk Bertanya

Peluang untuk belajar lebih banyak

Ini juga masa yang tepat untuk anda belajar lebih banyak mengenai syarikat dan pekerjaan. Fokus untuk bertanya mengenai topik yang ingin anda bincangkan dengan lebih terperinci.

Bukankah ini antara persediaan yang anda perlu lakukan sebelum, semasa dan selepas temuduga?

Menunjukkan minat anda

Mengemukakan soalan yang bernas dalam temuduga menunjukkan minat anda terhadap pekerjaan tersebut. Ini juga menunjukkan kepada majikan bahawa anda telah memikirkan dengan serius untuk bekerja di syarikat ini. Dengan soalan yang betul, anda dapat menggambarkan pengetahuan anda tentang syarikat dan industri.

Memberi ingatan dan kesan yang baik

Mendapatkan panggilan temuduga sudah menunjukkan anda mempunyai peluang yang cerah untuk mendapat jawatan tersebut. Dengan soalan yang bernas, anda boleh terus menonjol berbanding pesaing lain dan menunjukkan bahawa anda sangat sesuai untuk jawatan tersebut.

Proses Penyediaannya

Berapa banyak soalan yang harus anda sediakan?

Siapkan lebih kurang 10 soalan. Tulis di dalam buku nota atau portfolio yang anda bawa ketika temuduga. Pilih soalan yang dapat membantu anda mengetahui lebih lanjut mengenai pekerjaan tersebut.

Dapatkan maklumat syarikat

Dapatkan maklumat syarikat adalah cara mudah untuk memahami sejarah, misi dan nilai syarikat. Dapatkan semua maklumat melalui laman web syarikat. Anda juga boleh mencari di internet untuk artikel berita terkini. Gunakan maklumat yang anda dapati untuk membantu pembentukan soalan anda. Inisiatif ini membuktikan anda berusaha dan meluangkan masa belajar mengenai syarikat.

Berlatih

Jadikan temuduga tersebut sebagai perbualan antara anda dan pihak majikan. Dengan membuat latihan mengenai soalan yang akan disoal membuatkan anda lebih yakin ketika hari sebenar temuduga.

Jenis Soalan Yang Perlu Ditanya

Berkaitan pekerjaan

Ini adalah masa yang tepat untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai tanggungjawab, harapan dan matlamat.

Soalannya ialah :

  • Bagaimana situasi bagi seseorang yang menjawat jawatan ini?
  • Apakah matlamat jangka pendek dan jangka panjang anda untuk pengambilan pekerja baru dengan jawatan ini?
  • Bagaimanakah jawatan ini berkembang atau disesuaikan untuk memenuhi keperluan organisasi?

Mengenai syarikat

Tanya soalan mengenai syarikat. Ini menunjukkan bahawa anda telah melakukan penyelidikan dan memberi gambaran yang lebih baik mengenai pandangan, nilai dan budaya syarikat.

Selain itu, ini menunjukkan bahawa anda berminat untuk bersama dengan syarikat dalam tempoh yang panjang.

Soalannya adalah :

  • Mengapa anda seronok bekerja di sini?
  • Bagaimana anda menggambarkan budaya syarikat?
  • Apakah jenis perkembangan yang diharapkan oleh syarikat dalam lima tahun yang akan datang?
  • Bolehkah anda menerangkan beberapa cabaran dan pencapaian syarikat baru-baru ini?

Mengenai kelayakan anda

Pastikan majikan tidak mempunyai soalan yang mengenai kelayakan anda. Sekiranya tiada, ini adalah masa yang tepat untuk anda menyatakan bahawa kelebihan anda sangat sesuai dengan jawatan tersebut.

Ini soalannya :

  • Apakah kualiti yang anda cari dalam diri calon?
  • Adakah anda mempunyai kebimbangan mengenai pengalaman atau kemahiran saya?
  • Adakah kelebihan dan kemahiran saya sesuai dengan jawatan ini?

Langkah seterusnya

Simpan soalan terakhir anda untuk bertanya mengenai langkah seterusnya dalam proses pengambilan pekerja. Ini menunjukkan anda sangat berminat dengan jawatan tersebut.

Soalan yang boleh ditanya adalah :

  • Saya sangat seronok untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai peluang pekerjaan ini. Apakah langkah seterusnya dalam proses pengambilan pekerja?
  • Terima kasih kerana menerangkan mengenai jawatan ini dengan lebih mendalam. Bilakah saya akan mendapat maklum balas daripada anda mengenai keputusan temuduga ini?

Topik Yang Harus Dielakkan

Sekiranya anda masih dalam peringkat awal temuduga, elakkan bertanya mengenai gaji, faedah sebagai seorang pekerja, tempoh bekerja dan cuti tahunan atau bonus syarikat.

Soalan mengenai topik-topik ini harus disimpan sehinggalah anda ditawarkan pekerjaan secara rasmi. Sekiranya anda ingin bertanya mengenai perkara ini lebih awal, anda boleh menghantar mesej bahawa anda lebih berminat bagaimana syarikat itu dapat memberi manfaat kepada anda. Bukan bagaimana anda boleh menyumbang kepada syarikat tersebut.

Diharap dengan perkongsian ini dapat membantu anda untuk mendapat pelbagai soalan untuk ditanya ketika proses akhir temuduga.

Semoga anda mendapat keyakinan yang kukuh sepanjang temuduga dijalankan dan semoga berjaya.

Ikhlas, Portal Jawatan Kosong Kerajaan.

Categories
Temuduga

Soalan Yang Menarik Perhatian Penemuduga Jika Ditanya Oleh Calon Ketika Sesi Temuduga

Inilah Soalan Yang Menarik Perhatian Penemuduga Jika Disoal Oleh Calon Ketika Sesi Temuduga

Sebagai seorang calon temuduga, anda juga perlu menyediakan beberapa soalan untuk ditanya kepada penemuduga untuk memastikan anda mendapatkan maklumat yang seterusnya mengenai pekerjaan tersebut dan juga keadaan sesuatu syarikat.

Pastikan soalan yang disediakan kreatif dan berkaitan dengan misi dan visi syarikat serta matlamat kerjaya anda. Soalan yang ditanya juga mempunyai markah-markah tertentu dan mungkin ianya satu bonus untuk anda.

Apakah soalan-soalan yang bakal menarik perhatian majikan jika disoal oleh calon temuduga?

Contoh Soalan Untuk Ditanya Ketika Temuduga

Jika anda bakal hadir ke temuduga dalam masa yang terdekat atau pada bila-bila masa sahaja, anda boleh jadikan soalan ini sebagai contoh dan panduan kerana ianya mempunyai sebabnya yang sangat menarik.

1. Mengapa jawatan ini dikosongkan?

Mungkin jawatan tersebut adalah jawatan yang baru diwujudkan, pekerja yang dahulu diberhentikan atau pekerja sebelumnya meletakkan jawatan.

Sebagai calon sangat penting untuk tahu mengapa jawatan tersebut kosong kerana cabaran kerja adalah sangat berbeza.

2. Untuk jawatan ini, dengan siapa saya perlu laporkan diri dan bekerjasama dengan siapa?

Soalan ini bertujuan untuk memahami situasi kerja yang akan dihadapi oleh calon sekiranya diterima kerja nanti.

Dari sudut pandangan penemuduga pula, mereka akan melihat ketersediaan calon untuk bekerja dalam pasukan dan dapat mengurus pihak-pihak yang berkepentingan dalam sesuatu syarikat.

3. Apakah yang diharapkan dari penjawat setelah bekerja selama 3, 6, 9 dan 12 bulan? (KPI pekerja dan syarikat)

Soalan in bertujuan untuk memahami cara ukur prestasi cara kerja seorang pekerja sama ada calon boleh mencapainya atau tidak. Sekurangnya calon dapat membuat persiapan dengan baik agar dapat bekerja dengan baik dan mencapai kehendak syarikat.

Melalui soalan ini juga penemuduga memahami anda adalah seorang yang fokus dengan kerja dan akan mencapai matlamat yang ditetapkan.

4. Selepas mengenali saya, adakah terdapat kekurangan dari segi kemahiran dan pengalaman yang bakal menjejaskan peluang saya untuk menjawat jawatan ini?

Dengan bertanyakan soalan ini, secara tidak langsung anda akan memahami pandangan atau perspektif penemuduga terhadap anda selepas temuduga dijalankan.

Calon juga berpeluang untuk menjelaskan apa yang kurang pada pandangan mata penemuduga sekiranya penemuduga menyatakan pandangan mereka.

 

Categories
Temuduga

”Kenapa Anda Mahukan Pekerjaan Ini?”. Kami Ajar Anda Cara Jawab Soalan Ini

Mengapa Anda Mahukan Pekerjaan Ini?

Walaupun soalan ini kelihatan mudah tetapi ia menjadi rumit sekiranya anda tidak membuat persiapan untuk menjawab soalan ini.

Majikan bertanyakan soalan ini untuk melihat sama ada anda ada membuat kajian mengenai syarikat dan ia membuktikan bahawa anda sesuai serta berminat untuk bekerja di syarikat tersebut.

Majikan akan memastikan anda matlamat kerjaya anda selaras dengan matlamat yang ingin mereka capai.

‘Jual Diri’ Kepada Majikan

Gunakan soalan ini sebagai peluang untuk ‘menjual diri’ anda kepada majikan. Fokus dan senaraikan kekuatan majikan berdasarkan maklumat yang anda perolehi.

Ketengahkan matlamat kerjaya anda, ceritakan kelebihan dan kemahiran anda mengikut keperluan yang diinginkan mereka.

Ceritakan satu persatu dengan penuh keyakinan agar majikan tahu anda sangat sesuai dengan jawatan tersebut.

Tips Menjawab Soalan Dengan Baik

Dapatkan maklumat syarikat 

Penemuduga suka sekiranya jawapan yang anda berikan menunjukkan anda membuat beberapa kajian mengenai syarikat. Pastikan anda mengetahui beberapa maklumat asas mengenai syarikat dan pekerjaan yang dipohon. Melalui cara ini, semasa anda menjawab soalan ini pastikan anda dapat menyebut beberapa aspek-aspek tentang syarikat yang menarik bagi anda.

Mengapa anda sesuai

Nyatakan mengapa anda sesuai dengan jawatan tersebut. Senaraikan keperluan pekerjaan tersebut dan sesuaikan dengan pengalaman dan kelayakan anda. Berikan contoh pencapaian yang sesuai daripada pekerjaan anda sebelumnya.

Resume yang ringkas dan padat

Berikan resume yang ringkas dan padat kepada bakal majikan anda. Walaupun anda mempunyai banyak pengalaman untuk dimasukkan ke dalam resume, masukkan pengalaman yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon sahaja. Anda boleh menceritakan pengalaman yang lain sekiranya diminta oleh penemuduga.

Nyatakan sumbangan anda

Ketika menjawab soalan ini,pastikan anda menumpukan bagaimana kelebihan dan kemahiran anda memberi sumbangan kepada syarikat dan bukan apa sumbangan syarikat kepada anda.

Buat persediaan temuduga anda dengan mendapatkan maklumat mengenai syarikat yang bakal anda temuduga agar anda boleh menjawab soalan ini mengikut jawapan yang diinginkan oleh majikan.

Manfaatkan tips yang dikongsikan ini agar anda berjaya menjawab soalan yang dikemukakan ketika temuduga.

Categories
Temuduga

Soalan Confirm Akan Ditanya Oleh Penemuduga. Ini Soalan Bocor Anda

Soalan Bocor Temuduga

Temuduga pun ada soalan bocor? Sudah semestinya ada soalan bocor untuk temuduga kerana sesiapa yang pernah dan selalu pergi temuduga pastinya sudah tahu soalan-soalan yang sering dikemukakan oleh penemuduga.

Jadi, anda boleh buat persiapan sebelum anda hadir temuduga dengan mendapatkan jawapan yang sesuai untuk menjawab soalan tersebut.

Tapi anda perlu tahu bahawa soalan yang akan ditanya pastinya tidak sama antara syarikat atau jabatan-jabatan tertentu.

Anda boleh dapatkan 5 soalan yang gerenti ditanya oleh penemuduga semasa interview anda nanti dalam perkongsian ini.

5 Soalan Bocor, Hafal Mungkin Ditanya

Berikut dikongsikan 5 soalan yang mesti ditanya oleh penemuduga anda.

1. Ceritakan serba sedikit tentang diri anda.

Apabila anda mendapat soalan ini, anda tidak perlu meminta penemuduga menyemak resume, cover letter dan sijil anda. Mereka hanya mahu mendengar sisi terbaik tentang diri anda yang paling unik supaya mereka terpanggil dan merasakan anda adalah calon yang terbaik untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

2. Apa yang anda tahu tentang syarikat / jabatan ini?

Pastikan anda membuat beberapa kajian mengenai syarikat / jabatan yang akan anda hadir temuduga. Mudah sahaja, layari laman web, media sosial dan blog syarikat / jabatan tersebut dan dapat seberapa banyak maklumat. Antara maklumat yang boleh anda perolehi ialah :

  • Misi dan visi syarikat.
  • Kejayaan dan pencapaian syarikat.
  • Peneraju syarikat seperti CEO, Pengurus Besar dan staf-staf terbaik syarikat.
  • Tugas dan produk yang dikeluarkan syarikat.
  • Pelbagai maklumat yang berkaitan kelebihan syarikat.

3. Apakah kekuatan anda yang boleh anda sumbangkan kepada syarikat kami?

Jika anda mendapat soalan ini, terus fokus kepada kemahiran anda yang paling utama iaitu kemahiran teknikal.  Ini adalah kerana kemahiran teknikal ini berkaitan dengan ilmu serta praktikal yang betul untuk menyiapkan sesuatu tugasan.

Contoh :

  • Mahir menggunakan Microsoft Office seperti Microsoft Words, One Note, Outlook, Excell, Skype, Power Point dan Publisher.
  • Mahir menggunakan sistem Payroll dan Auto Count.
  • Serta ceritakan beberapa kemahiran yang bersesuaian dengan pekerjaan anda.

Seterusnya senaraikan beberapa kemahiran insaniah (Soft Skill) yang ada pada anda. Kemahiran ini amat penting untuk diketengahkan ketika anda menjawab soalan berkaitan kemahiran. Jangan tinggalkan kelebihan anda yang perlu majikan tahu.

Contoh :

  • Mempunyai kemahiran komunikasi dengan pelanggan antarabangsa untuk proses jual beli dengan menggunakan bahasa Inggeris, Mandarin dan Jepun.
  • Multitasking dimana boleh melakukan beberapa tugasan tanpa perlu pengawasan yang maksimum.
  • Mempunyai kemahiran memimpin pasukan dan menyiapkan projek lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.
  • Ceritakan juga beberapa soft skill anda yang berkaitan dengan pekerjaan yang ditawarkan dan unik.

4. Setiap orang ada kelemahan, apa pula kelemahan anda?

Sudah pasti anda fikir untuk ceritakan kelebihan anda berbanding kelemahan semasa temuduga. Namun kebanyakan penemuduga pasti akan bertanyakan tentang kelemahan anda.

Tujuan majikan bertanyakan mengenai soalan ini adalah untuk mengetahui cara anda menyelesaikan masalah yang berlaku di persekitaran waktu bekerja anda.

Jadi, anda boleh menjawab soalan ini dengan mengemukakan kelemahan seterusnya cara untuk memperbaiki kelemahan anda iaitu “Saya merasakan saya kurang fasih untuk bercakap bahasa Inggeris dihadapan pelanggan dan terasa sedikit kekok walaupun saya tahu ayat yang saya gunakan adalah betul. Untuk mengatasi masalah ini, saya sentiasa bersedia membuat sedikit skrip dan belajar untuk bercakap dalam bahasa Inggeris bersama rakan sekerja untuk memantapkan penguasaan bahasa saya.”

5. Mengapa anda tidak mahu lagi bekerja di syarikat lama anda?

Untuk menjawab soalan ini, jangan terus menjawab dengan jawapan yang negatif mengenai tempat kerja lama anda. Hasilnya, anda yang akan dipandang negatif oleh penemuduga dan kemungkinan mereka akan beranggapan anda bakal melakukan perkara yang sama sekiranya anda diterima bekerja di syarikat mereka.

Pertama sekali, anda perlu menjawab beberapa kelebihan daripada aspek pengalaman terbaik yang pernah anda dapati serta nyatakan beberapa nilai positif yang boleh dibawa ke syarikat baru nanti.

Kemudian gunakan teknik LAMPS untuk menjawab persoalan penemuduga tadi.

LOCATION : Ceritakan bahawa jarak kediaman yang terlalu jauh daripada tempat anda bekerja sekarang.

ADVANCEMENT : Anda tidak dapat mengembangkan kerjaya anda kerana tidak mempunyai begitu banyak peluang untuk kenaikan pangkat serta alasan yang lain.

MONEY : Anda boleh nyatakan mengenai kos sara hidup ulang alik ke tempat kerja yang jauh, bayaran gaji yang tidak setimpal dengan kemahiran, skop kerja dan beberapa sumbangan anda pada syarikat.

PRIDE / PRESTIGE : Nyatakan bahawa anda ingin menyumbangkan kemahiran yang ada pada anda kepada syarikat yang lebih baik dari segi tugasan anda, budaya kerja serta menjayakan misi dan visi syarikat.

SECURITY : Ceritakan mengenai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku beberapa kemungkinan mengenai syarikat lama anda seperti masalah kewangan syarikat lama anda. Namun, anda tidak perlu huraikan dengan terlalu mendalam mengenai perkara ini kepada penemuduga anda.

Soalan Tambahan Yang Selalu Di Tanya

Terdapat juga beberapa soalan lain yang sering ditanya oleh penemuduga seperti :

  • Apa yang boleh anda tawarkan kepada kami berbanding calon yang lain?
  • Apakah yang anda tahu tentang pekerjaan ini?
  • Ceritakan beberapa isu semasa yang berlaku kini?
  • Siapakah Menteri Kabinet terkini?
  • Apakah isu global yang sedang berlaku kini?
  • Ceritakan serba sedikit tentang hobi kamu.
  • Mengapa anda perlukan pekerjaan ini?
  • Ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang pendidikan anda.

Walaupun setiap soalan nampak mudah, pastikan anda mempunyai jawapan yang betul, tepat dan fokus kepada soalan yang ditanya dan bersikap profesional ketika menjawab soalan yang diberikan.

Lakukan sedikit persediaan dengan mencari maklumat sebelum anda hadir temuduga. Jawab dengan tenang dan penuh keyakinan. Semoga anda semua berjaya dalam temuduga anda nanti.

Categories
Temuduga

Jom Hafal 7 Contoh Soalan Bahasa Inggeris Beserta Jawapan Paling Win. Boleh Guna Masa Interview Nanti

7 Contoh Soalan Beserta Jawapan Terbaik. Hafal Untuk Temuduga Anda Nanti

Sekiranya anda ditanya soalan temuduga dalam bahasa Inggeris, anda perlu menjawabnya semula dalam bahasa Inggeris juga. Ini kerana terdapat markah yang agak tinggi sekiranya anda menjawab soalan yang diberikan oleh penemuduga menggunakan bahasa yang sama dengan soalan yang diberikan.

Dikongsikan disini beberapa contoh soalan yang biasa ditanya ketika temuduga anda. Soalan-soalan ini biasanya ditanya ketika temuduga kerja dalam sektor swasta dalam pelbagai bidang.

7 Contoh Soalan Temuduga & Tips Menjawab Soalan

1. Why was there a gap in your employment?

Soalan ini adalah berkaitan jurang masa yang terdapat dalam resume anda pada bahagian pengalaman kerja. Apabila penemuduga membaca resume dan mendapati terdapat jurang yang agak lama, pastinya mereka bertanyakan soalan ini kepada anda.

Ceritakan dengan jujur mengapa terdapat jurang antara sejarah pekerjaan terdahulu dengan yang terkini.

Contoh jawapan : “I spent some time as the primary caretaker in my family. During that time, I was able to be there for my family but always knew I wanted to return to work. I’m ready to do that now.”

2. Can you explain why you changed career paths?

Jika dahulu anda bekerja dalam bidang pengurusan sebagai seorang kerani dan tiba-tiba anda memohon kerja dalam bidang teknikal maka anda mempunyai jawapan yang tersendiri untuk menjawab soalan begini.

Nyatakan skill serta sijil yang berkaitan dengan skill yang ada pada anda serta terangkan kelebihan ketika anda bekerja pada masa yang lalu dan nyatakan sebab utama anda menukar bidang kerjaya anda.

Contoh jawapan : “I was lucky enough to land a job at a startup right out of school, which means that I wore many hats right from my first day in the office. Now I’m looking forward to taking my graphic design skills into a senior role.”

3. How do you deal with pressure or stressful situations?

Bagaimanakah caranya untuk menangani tekanan di tempat kerja anda? Ia bertujuan untuk melihat adakah anda boleh menangani masalah yang berlaku di tempat kerja atau tidak.

Nyatakan bahawa anda perlu bertenang, analisis masalah yang berlaku dan sentiasa menjadi orang positif seterusnya menyiapkan tugasan di pejabat mengikut waktu tepat.

Contoh jawapan : “I try to react to situations rather than to stress. That way, I can handle the situation without becoming overly stressed. For example, when I deal with an unsatisfied customer, rather than focusing on feeling stressed, I focus on the task at hand. I believe my ability to communicate effectively with customers during these moments helps reduce my own stress. I think it also reduces any stress the customer may feel.”

4. What would your first 30, 60, or 90 days look like in this role?

Soalan ini lebih kepada melihat matlamat anda dalam pekerjaan pada masa akan datang. Terdapat pekerja yang menetapkan matlamat kerjaya masing-masing dalam tempoh tertentu seperti 30, 60, dan 90 hari. Jawab sahaja dengan jujur pencapaian apakah yang ingin anda dapatkan dalam tempoh tersebut.

Contoh jawapan : “Get up to speed on my role, team, and the company as a whole. Understand the expectations my manager has for me, learn how the internal processes and procedures currently work, and start to explore some of the challenges facing the company and my role.”

5. What are your salary requirements?

Jika anda disoal dengan soalan ini, anda perlu memberikan jawapan yang logik dimana anda perlu membuat beberapa penyelidikan seperti mendapatkan maklumat berkaitan gaji untuk jawatan yang dipohon.

Pastikan juga jumlah gaji yang dipohon setimpal dengan pengalaman, kemahiran dan kepakaran anda ya.

Contoh jawapan : “Thank you for asking. I feel that an annual salary between RM36,000 is in line with the industry average and reflects my skills and experience level well. I am, however, flexible and open to hearing about the company’s compensation expectations for this position.”

6. What do you like to do outside of work?

Jangan tak tahu, penemuduga ada bertanyakan hobi anda untuk tujuan tertentu. Sama ada mereka benar-benar suka dengan anda untuk menjawat jawatan tersebut atau mereka ingin tahu sama ada hobi anda menganggu kerja hakiki anda dipejabat.

Untuk menjawab soalan ini, jawab degan jujur dan profesional. Jangan terlalu melalut sebaliknya ceritakan dengan padat, ringkas dan tonjolkan sesi yang profesional ketika menjawab soalan ini.

Contoh jawapan : “I really enjoy cooking in my spare time. I often watch cooking programmes to learn new cooking techniques and learn about new dishes. During the weekend I am often rummaging in the local charity shop looking for a new cooking book to get stuck into. My family and friends have encouraged me to set up my own cooking blog and Instagram page where I post a new recipe along with a photograph of a dish twice a week.”

7. Do you have any questions for us?

Inilah peluang yang terbaik untuk anda bertanyakan soalan kepada penemuduga dan dapatkan maklumat yang anda tidak dapati ketika membuat sedikit penyelidikan mengenai jawatan dan syarikat tersebut.

Tanyakan soalan yang agak mencabar atau pengalaman sepanjang mereka bekerja di syarikat tersebut agar anda mendapat gambaran sebenar cara bekerja si syarikat tersebut.

Contoh jawapan :

  • “Can you describe some of the company’s recent challenges and achievements?”
  • “I’ve really enjoyed learning more about this opportunity. What are the next steps in the hiring process?”

Harap anda semua sudah bersedia untuk menghadapi temuduga.

Categories
Temuduga

5 Contoh Soalan Temuduga Mencabar Dan Jawapan Terbaik Untuk Anda Jawab

5 Contoh Soalan Temuduga Mencabar Dan Jawapan Terbaik Untuk Dijawab

Setiap calon temuduga pastinya sudah membuat persediaan untuk menjawab soalan-soalan temuduga terutamanya soalan-soalan asas atau soalan yang selalu disoal ketika temuduga.

Namun, terdapat pelbagai jenis lagi soalan yang mungkin disoal oleh penemuduga seperti soalan yang agak tricky untuk melihat tindakan anda. Malahan ada penemuduga yang akan bertanyakan soalan yang mana  jawapannya tidak betul dan juga tidak salah.

Mengapa Soalan Mencabar Ini Disoal Ketika Temuduga?

Soalan-soalan mencabar ini ditanya ketika temuduga dengan tujuan untuk mengenali sesorang calon dengan lebih mendalam dan memastikan calon tersebut sesuai untuk menjawat jawatan tersebut dan sesuai untuk bekerja dengan syarikat tersebut.

5 Contoh Soalan Temuduga Mencabar Dan Jawapan Terbaik

Salah satu soalan yang akan disoal dan agak mencabar adalah berkaitan dengan personaliti anda. Penemuduga akan bertanyakan soalan ini untuk mengenali anda dengan lebih mendalam untuk mengetahui adakah anda memenuhi kehendak syarikat untuk mengisi jawatan tersebut.

1. Adakah anda bersedia untuk gagal?

Tiada siapa yang ingin gagal dalam tugasan dan pekerjaan masing-masing. Soalan ini disoal oleh penemuduga untuk ketahui apakah tindakan anda untuk mengelakkan daripada gagal dalam setiap tugasan. Adakah anda akan belajar dari kesilapan atau anda akan memperbaiki diri pada masa yang akan datang?

Contoh jawapan 

“Sebagai seorang pekerja, saya tidak ingin merasai fasa gagal dalam kehidupan. Tetapi saya akur. tidak semua yang dirancang akan berakhir dengan kejayaan. Jadi, saya perlu terima sebarang kemungkinan dan perlu lakukan perubahan dengan secepat mungkin. Oleh itu, saya perlu mempunyai Plan B untuk menggantikan projek tersebut dengan secepat mungkin agar semuanya tidak tertangguh dan mengalami kerugian.”

2. Jika masa diundur 10 tahun yang lepas, apa yang anda akan lakukan?

Mesti ada pelbagai cadangan atau plan yang akan anda lakukan sekiranya masa boleh diundur semula 10 tahun yang lepas. Ingat, ini adalah salah satu soalan tricky untuk melihat personaliti anda. Hati-hati dan jangan terlalu berkongsi maklumat dengan terlalu banyak.

Contoh jawapan 

“Pada 10 tahun yang lepas, perjalanan hidup saya adalah sangat indah dan membahagiakan saya. Karier saya berjalan dengan lancar, saya mengembangkan kerjaya saya dengan kejayaan projek yang besar, menambahkan kemahiran terkini serta menerima kenaikan pangkat yang diidamkan. Jadi, kehidupan saya 10 tahun yang lepas membuatkan saya sentiasa bersemangat sehingga hari ini.”

3. Adakah anda seorang yang bertuah?

Soalan ini adalah soalan terbuka dan tidak ada salah atau betul jawapannya. Jawapan yang diberikan adalah menunjukkan anda seorang yang unik dan berbeza dengan orang lain. Sila jual diri ketika menjawab soalan ini kepada penemuduga anda.

Contoh jawapan

“Pastinya saya seorang yang bertuah kerana mempunyai pelbagai kelebihan dan sentiasa berpeluang untuk bekerja dengan orang yang hebat. Malahan, saya turut mempunyai pelbagai kemahiran yang tidak ada pada orang lain dan menjadi motivasi pada orang lain. Saya juga mempunyai sijil profesional dalam bidang yang kritikal pada masa kini serta pastinya diiktiraf oleh agensi tersebut.”

4. Apa yang telah anda belajar daripada kesilapan anda yang lalu?

Penemuduga tahu bahawa tiada siapa yang sempurna dalam melakukan tugasan. Pastinya setiap pekerja ada melakukan beberapa kesalahan yang tidak diingini ketika menyiapkan tugasan masing-masing. Untuk soalan ini, penemuduga hanya ingin mengukur fleksibiliti dan kemahiran anda untuk mengatasi kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini.

Contoh jawapan

“Setiap orang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Saya juga pernah melakukan kesilapan ketika menyiapkan tugasan yang diberikan. Saya belajar daripada kesilapan ini dan perlu membuat perancangan dengan lebih teliti serta perlu meminta pandangan daripada staf yang lebih berpengalaman dalam bidang tersebut.”

5. Apakah kritikan yang sering anda terima?

Ada individu yang boleh menerima kritikan dan ada yang sukar menerima teguran dariapda orang lain. Penemuduga sebenarnya ingin ketahui kelemahan anda yang akhirnya bertukar menjadi kekuatan anda pada masa kini. Jangan pula anda ceritakan kelemahan anda dan tiada perubahan yang dilakukan.

Contoh jawapan

“Teguran yang saya terima adalah saya agak lambat menggunakan beberapa software terkini untuk menyiapkan tugasan saya. Jadi, saya menerima teguran tersebut dan mengambil beberapa inisiatif dengan menghadiri kursus komputer untuk meningkatkan lagi ilmu pengetahuan serta kemahiran saya dalam bidang komputer serta software terkini. Tugasan saya disiapkan dengan lebih cepat dan majikan berpuas hati dengan hasil kerja saya yang lebih kreatif dan siap mengikut jadual.”

Ingin dapatkan tips baru cara memperkenalkan diri yang menarik perhatian penemuduga? Rujuk sini dan dapatkan tips yang dikongsikan.

Categories
Temuduga

7 Soalan Mencabar Sering Ditanya Ketika Temuduga. Kami Ajar Anda Cara Untuk Jawab

Lagi 7 Soalan Mencabar Yang Sering Ditanya Ketika Temuduga

Sudah pasti terdapat pelbagai jenis soalan yang akan disoal oleh penemuduga kepada calon. Ada soalan mudah dan pastinya ada juga soalan susah. Tetapi, soalan-soalan asas sudah pasti akan ditanya kepada calon kerana ia berada dalam kategori ice breaking untuk mengenal calon terlebih dahulu.

Seterusnya, anda boleh dapatkan beberapa contoh soalan yang agak mencabar untuk dijawab walaupun kedengaran agak mudah. Anda memerlukan teknik yang betul untuk menjawab soalan-soalan tersebut agar ianya menepati kehendak majikan.

7 Jenis Contoh Soalan Mencabar Ketika Temuduga

Berikut dikongsi 7 lagi contoh soalan yang agak mencabar untuk dijawab ketika temuduga anda:

1. Mengapa Anda Tidak Bekerja Dalam Tempoh Ini?

Bakal majikan pastinya akan membaca resume anda sekali imbas dan melihat pada bahagian pengalaman kerja. Apabila mereka mendapati terdapat beberapa kekosongan pada tahun tertentu, pastinya ia akan menimbulkan tanda tanya kepada mereka. Soalan ini disoal kerana mereka ingin mengetahui adakah ianya disebabkan kelemahan peribadi calon atau sifat-sifat negatif yang ada pada calon itu sendiri.

Contoh jawapan

“Untuk pengetahuan Tuan, pada tempoh tersebut saya tidak bekerja kerana menyambung pengajian di universiti. Menariknya disini, saya memperolehi banyak pengalaman dan mempertingkatkan ilmu pengetahuan sepanjang bekerja di syarikat tersebut. Seterusnya saya mendapat pelbagai ilmu baharu serta kemahiran terkini ketika menyambung pelajaran saya. Dengan segala ilmu baru yang diperolehi ini, saya yakin saya boleh membantu syarikat ini berkembang dengan lebih jauh lagi.”

2. Apa Yang Anda Suka Dan Tidak Dengan Kerja Yang Lalu?

Untuk soalan ini, sila jaga intonasi suara anda. Bakal majikan boleh menilai sama ada anda bermasalah atau tidak dengan kerja atau majikan yang lalu. Dinasihatkan kepada anda agar tidak menceritakan perkara buruk tentang kerja anda yang lalu. Fokus sahaja dengan benda-benda yang positif serta pelbagai perkara yang menarik ketika anda bekerja di syarikat lama.

Contoh jawapan

“Terdapat pelbagai jenis kelebihan serta pengalaman yang menarik ketika saya bekerja di syarikat ABC Sdn Bhd. Majikan sentiasa bertolak ansur dan memberi tunjuk ajar kepada saya sekiranya saya diberikan tugasan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Jadi, secara tidak langsung saya sentiasa mendapat ilmu dan kemahiran baru dalam setiap kerja dan boleh diaplikasikan sehingga kini.”

3. Siapakah Staf Yang Terbaik Dan Tidak Di Syarikat Lama Anda?

Jangan terus menjawab dengan penuh emosi ya. Ini kerana bakal majikan hanya ingin melihat personaliti anda adakah anda jenis yang boleh bekerja dengan orang lain atau tidak. Hindarkan daripada menjawab seseorang yang anda tidak suka ketika bekerja di tempat lama.

Contoh jawapan

“Saya berterima kasih kepada rakan sekerja dan Pengurus saya kerana mereka banyak memberi tunjuk ajar sehingga saya boleh melakukan tugasan dengan baik sekali. Malahan mereka menjadikan saya sentiasa bersemangat untuk hadir bekerja dan yakin untuk membuat pembentangan laporan tahunan.”

4. Apakah Perkara Yang Paling Tidak Memuaskan Hati Anda Pada Pekerjaan Yang Lalu?

Inilah soalan tricky untuk melihat kelemahan anda ketika melakukan tugasan. Jangan salahkan orang lain. Nyatakan kelemahan anda serta cara anda mengatasi masalah tersebut.

Contoh jawapan

“Sepanjang saya melakukan tugasan, apa yang saya tidak suka sekali ialah membuat laporan dengan menggunakan Excel. Hal ini kerana saya sangat tidak mahir menggunakannya dalam tugasan seharian. Tetapi, melalui tugasan inilah saya semakin mahir menggunakan Excel serta beberapa software terkini untuk menghasilkan tugasan yang jauh lebih menarik dan kemas sekali.”

5. Apakah Yang Kamu Harapkan Daripada Majikan Anda?

Penemuduga ingin tahu apakah yang anda harapkan daripada seorang majikan apabila bekerja. Nyatakan perkara yang positif sahaja berbanding hal-hal negatif walaupun sebagai contoh.

Contoh jawapan

“Apa yang saya harapkan ialah, majikan sentiasa memberikan tunjuk ajar kepada saya agar prestasi kerja saya semakin baik dan berada pada landasan yang betul. Ini kerana saya sangat meminati cara kerja majikan saya yang sentiasa up to date dan seiring dengan cara kerja pada masa kini.”

6. Nyatakan Kesilapan Yang Telah Anda Lakukan Ketika Bekerja

Ini juga merupakan salah satu soalan yang akan menonjolkan kelemahan anda sekiranya anda salah memberikan jawapan. Berhati-hati dengan soalan yang anda kongsikan. Sebaliknya tekankan bagaimana anda belajar daripada kesilapan yang telah anda lakukan sebelum ini.

Contoh jawapan

“Kesilapan yang saya lakukan adalah ketika membuat laporan tahunan dimana saya terlupa untuk memasukkan 1 data yang sangat penting. Tetapi, hasil bacaan semula bersama rakan sekerja, saya menyedari terdapat kesilapan tersebut dan membetulkan dengan secepat mungkin. Untuk laporan yang seterusnya, mendapat pujian majikan kerana sempurna dan sangat kreatif.”

7. Apakah Anggaran Gaji Yang Anda Harapkan?

Jawab dengan logik soalan ini kerana bakal majikan hanya ingin tahu permintaan gaji yang ingin anda pohon. Anda boleh meminta gaji lebih tinggi daripada yang ditawarkan sekiranya mempunyai kepakaran atau pengalaman yang tidak ada pada orang lain.

Contoh jawapan

“Berdasarkan pengalaman saya selama 5 tahun dalam bidang ini, saya mohon gaji sebanyak RM4,500 sebulan kerana kepakaran yang ada pada saya diiktiraf oleh agensi yang berkaitan dan saya bersedia untuk berunding mengenai hal ini.”

 

Categories
Temuduga

Amalkan Tips Temuduga Yang Kami Kongsikan Ini Jika Anda Nak Naik Pangkat

Tips Temuduga Kenaikan Pangkat. Amalkan Ini Jika Ingin Lulus

Tahniah kerana anda akan dinaikkan pangkat. Tetapi anda akan melalui satu proses untuk kenaikan pangkat iaitu proses temuduga.

Adakah anda sudah membuat persediaan temuduga kenaikan pangkat anda? Jika anda belum membuat sebarang persediaan, dikongsikan disini 5 tips untuk anda amalkan.

5 Tips Persediaan Temuduga Kenaikan Pangkat

Berikut adalah 5 tips persediaan untuk temuduga kenaikan pangkat :

  • Bercakap dengan pengurus anda
  • Teliti jawatan
  • Buat senarai kemahiran anda
  • Membuat penambahbaikan
  • Tanya bagaimana orang lain melihat anda

1. Bercakap dengan pengurus anda

Beritahu penyelia anda mengenai temuduga anda. Melalui perbualan ini, anda dapat mengetahui bagaimana penyelia anda menilai sumbangan dan tahap kerja anda di dalam syarikat. Mereka juga mungkin dapat memberikan petua dan konteks tambahan untuk anda berjaya dalam temuduga.

2. Teliti jawatan

Teliti setiap aspek jawatan anda. Anda boleh bertanya dengan jabatan sumber manusia mengenai struktur organisasi jabatan atau berbincang dengan panel pengambilan mengenai maklumat jawatan tersebut. Anda juga boleh bertanya orang yang pernah memegang jawatan tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pekerjaan tersebut.

3. Buat senarai kemahiran anda

Untuk persediaan temuduga kenaikan pangkat yang seterusnya adalah dengan meletakkan diri anda dengan senarai kemahiran atau kelebihan diri anda. Sesuaikan setiap kemahiran tersebut dengan jawatan tersebut.

4. Membuat penambahbaikan

Buat penambahbaikan dengan mengatasi segala cabaran yang anda hadapi dalam posisi yang terkini. Jadi seorang yang bertanggungjawab terhadap tugasan dan jawatan anda.

5. Tanya bagaimana orang lain melihat anda

Persediaan seterusnya adalah melalui pertanyaan daripada orang lain. Anda boleh bertanya kepada rakan sekerja anda reputasi anda ditempat kerja atau anda boleh bertanya melalui pengurus anda prestasi kerjaya anda. Pertimbangkan kelemahan anda sekiranya ada dan fikirkan cara untuk menyelesaikannya.

Contoh Soalan Temuduga Kenaikan Pangkat

Berikut adalah beberapa contoh soalan temuduga untuk kenaikan pangkat sebagai persediaan anda.

Mengapa anda mahu menukar jawatan atau jabatan?

Berikan jawapan positif dan elakkan memberi jawapan tentang ketidakpuasan hati dengan jawatan anda sekarang dan berikan sumbangan anda kepada syarikat serta perjalanan kerjaya anda.

Contoh jawapan: “Setelah tiga tahun berada di kedudukan sekarang, saya telah belajar banyak perkara untuk berjaya dalam industri ini. Dalam jawatan baru ini, kemahiran kepemimpinan saya akan lebih berkesan dan saya dapat menyumbang lebih banyak lagi kepada matlamat syarikat. Ini juga merupakan hasrat peribadi saya untuk menyokong dan membimbing orang lain.”

Apakah perbezaan anda dengan orang lain?

Ceritakan perbezaan anda dengan orang lain dan ceritakan kelebihan serta pencapaian anda serta kaitkan dengan jawatan baru anda. Ceritakan semua kelebihan dan kemahiran anda seolah-olah penemuduga tidak mengetahui apa-apa tentang anda.

Contoh jawapan: “Saya telah menyelaraskan aliran kerja dan meningkatkan keuntungan sebanyak 5%. Saya berpengalaman dengan pengurusan projek dan berkemahiran menyelesaikan masalah dan membolehkan saya terus memberikan sumbangan yang berharga kepada syarikat.”

Apa yang akan anda lakukan selama 30 hari pertama jika mendapat jawatan ini?

Untuk memastikan bahawa anda memahami pekerjaan dan bahawa anda bersedia untuk jawatan itu, penemuduga anda mungkin bertanya apa yang anda rancangkan untuk dicapai pada bulan pertama anda dalam jawatan baru. Pertimbangkan tujuan yang akan anda tetapkan, inisiatif kerja berpasukan yang akan anda mulakan dan cara anda mengukur kejayaan.

Contoh jawapan: “Dalam 30 hari pertama saya, saya akan menjelaskan matlamat jangka pendek dan jangka panjang dengan penyelia saya dan menggunakan objektif ini untuk membuat rancangan untuk pasukan saya. Saya juga akan menilai aliran kerja pasukan semasa dan membuat cadangan untuk proses yang lebih cekap.”

Jika anda mendapat panggilan temuduga kenaikan pangkat, pastikan anda membuat persediaan yang sebaiknya. Manfaatkan tips diatas untuk temuduga yang akan datang. Semoga berjaya.

Categories
Temuduga

Cara Menjawab Soalan Temuduga Dengan Mudah Dan Berkesan Menggunakan Kaedah STAR

Jawab Soalan Temuduga Dengan Mudah Dan Berkesan Menggunakan Kaedah STAR

Calon temuduga yang menggunakan kaedah STAR untuk menjawab soalan ketika temuduga dapat membantu mereka menjawab soalan dengan jelas dan ringkas dan mengaitkannya dengan situasi kehidupan seharian.

Melalui perkongsian ini, anda akan mendapat tips untuk memanfaatkan kaedah STAR untuk sesi temuduga yang seterusnya.

Soalan Tingkah Laku

Soalan tingkah laku ini ditanya oleh bakal majikan ketika sesi temuduga kerana mereka ingin menilai tingkah laku anda dalam situasi pekerjaan anda yang terdahulu.

Kebiasannya soalan ini bersifat terbuka dan mereka akan meminta anda untuk berkongsi cerita atau contoh daripada pekerjaan anda yang sebelumnya.

Untuk memberikan respon dengan lebih ringkas dan yakin, gunakan kaedah STAR (Situation, Task, Action, Result) atau Situasi, Tugas, Tindakan, Hasil untuk menjawab setiap soalan tersebut.

Contoh Soalan Temuduga STAR

Berikut adalah beberapa contoh soalan tingkah laku yang mungkin ditanyakan ketika temuduga :

  • Huraikan ketika anda perlu menyampaikan berita buruk. Bagaimana anda melakukannya?
  • Berikan contoh dimana anda harus membuat keputusan yang sukar. Apa yang kamu lakukan?
  • Kongsi cerita tentang kegagalan anda. Apa yang anda pelajari dari pengalaman tersebut
  • Huraikan ketika anda berada di bawah tekanan di tempat kerja. Bagaimana reaksi anda?
  • Ceritakan kesilapan yang telah anda buat. Bagaimana anda mengatasinya?
  • Kongsikan contoh ketika anda menghadapi masalah yang sukar di tempat kerja. Bagaimana anda menyelesaikan masalah ini
  • Terangkan situasi di mana anda menggunakan data atau logik untuk membuat cadangan.
  • Beritahu saya ketika anda tidak bersetuju dengan pegawai atasan anda. Bagaimana anda menyelesaikannya.
  • Beritahu saya bagaimana anda menetapkan dan mencapai matlamat tertentu.

Bagaimana Kaedah STAR Berfungsi?

Kaedah STAR membantu anda menerangkan jawapan serta jalan penyelesaian dengan ringkas dan mudah untuk difahami melalui perkara berikut :

Situation (Situasi)

Tetapkan pentas untuk cerita dengan berkongsi konteks mengenai situasi atau cabaran yang anda hadapi. Kongsikan sebarang maklumat yang berkaitan.

Contoh : “Dalam jawatan terakhir saya sebagai pereka utama, kumpulan saya kekurangan staf dan mempunyai banyak tugasan yang perlu diselesaikan. Pengurus akaun menetapkan tarikh akhir yang tidak realistik dan menyebabkan seluruh ahli kumpulan saya tertekan dan tidak bersemangat.”

Task (Tugasan)

Huraikan tanggungjawab atau peranan anda dalam sesuatu situasi atau cabaran.

Contoh: “Sebagai ketua pasukan, peranan saya bukan sahaja memastikan ahli kumpulan saya menyiapkan tugsan mengikut tarikh tetapi juga untuk menyampaikan maklumat ke jabatan lain dan memastikan ahli kumpulan saya sentiasa bermotivasi.”

Action (Tindakan)

Terangkan bagaimana anda menangani situasi atau mengatasi cabaran yang datang kepada anda. Sekiranya tindakan itu dilakukan secara berkumpulan, fokuskan pada usaha anda.

Contoh : “Saya mengatur jadual dengan lebih baik untuk memastikan semua tugasan yang diberikan siap sebelum tarikh akhir. Saya juga berjumpa dengan pengurus akaun dan kemaskini setiap perjalanan terkini tugasan yang diberikan.”

Result (Keputusan)

Apa hasil yang anda capai melalui tindakan anda? Nyatakan kejayaan anda atau berikan contoh sebagai bukti.

Contoh : “Melalui komitmen yang diberikan serta pembahagian tugas yang lebih efisien, semua tugasan yang diberikan dapat disiapkan lebih awal sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh pengurus. Untuk tugas pada suku tahun yang berikutnya, kami semua dapat menyiapkan tugasan yang diberikan selama 2 hari sahaja daripada tempoh yang diberikan.”

Cara Menjawab Soalan Menggunakan Kaedah STAR

Berikut adalah 3 contoh soalan dan cara menjawab soalan menggunakan kaedah STAR :

Kongsikan contoh anda menghadapi masalah yang sukar di tempat kerja. Bagaimana anda selesaikan masalah tersebut?

“Saya bekerja sebagai pengurus di sebuah pasaraya. Seorang pelanggan membeli pakaian secara online. Salah seorang rakan saya secara tidak sengaja meletakkan pakaian itu di ruang pameran dan pelanggan lain membelinya. Saya menelefon pelanggan saya dan menyatakan kesilapan saya. Saya membuat tempahan yang baru dan meletakkan kad terima kasih serta meminta maaf kepada pelanggan saya. Akhirnya pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan saya dan memberikan ulasan lima bintang di dalam review di laman web pasaraya.”

Huraikan ketika anda berada di bawah banyak tekanan di tempat kerja. Apa reaksi anda?

“Sebagai eksekutif akaun, salah seorang rakan sekerja saya berhenti begitu sahaja setelah mendapatkan pelanggan yang terbesar yang pernah diambil oleh firma kami. Walaupun saya sudah menguruskan banyak akaun, saya juga diberi pelanggan yang baru. Saya tahu jika kami kehilangan perjanjian ini, maka kami tidak akan mencapai sasaran suku tahunan. Saya berikan komitmen sepenuhnya untuk pelanggan serta membuat panggilan pada waktu malam dan hujung minggu sehingga projek itu dihantar. Pelanggan begitu kagum dengan komitmen saya, mereka segera menandatangani kontrak tahunan yang menjana RM5 juta pada syarikat.”

Ceritakan kesilapan yang telah anda buat. Bagaimana anda mengatasinya?

“Saya bekerja sebagai pekerja sambilan untuk sebuah syarikat pengurusan acara dan saya bertanggungjawab untuk memesan jambangan bunga untuk acara peribadi yang dihoskan oleh pelanggan VIP. Malangnya, saya tersalah maklumat dan jambangan bunga tersebut tidak sampai 2 jam sebelum acara dijalankan. Saya mengakui kesalahan saya kepada majikan dan saya berusaha mengambil bunga dari kedai lain dan menyerahkannya 30 minit sebelum acara dijalankan. Pelanggan tidak pernah tahu mengenai masalah ini dan saya mendapat penghargaan daripada majikan saya.”

Jika anda mendapat soalan tingkah laku seperti diatas, gunakan kaedah STAR untuk memberikan jawapan yang menarik dan ringkas. Pastikan jawapan anda jujur ​​dan sampaikan cerita yang positif sahaja.

Manfaatkan kaedah STAR ini setiap kali anda menghadapi temuduga. Ia sangat membantu anda untuk memberikan jawapan yang bernas kepada majikan anda. Semoga berjaya.

Adakah anda bakal menghadapi temuduga untuk kenaikan pangkat? Dapatkan tips yang berkesan untuk berjaya dalam temuduga seterusnya dinaikkan pangkat seperti yang anda inginkan disini.