Portal Jawatan Kosong Terkini

“Jangan Cakap Melebihi Penemuduga” Tips Persiapan Temuduga Kerajaan & Swasta

0 608

Ramai calon temuduga bagi jawatan dalam sektor kerajaan mengadu bahawa mereka perlu melalui fasa yang sangat getir ketika temuduga. Temuduga untuk jawatan kerajaan ini adalah sangat sukar berbanding dengan temuduga untuk jawatan bagi sektor swasta.

Hal ini kerana, dalam sektor kerajaan, tapisan yang sangat hebat dilakukan untuk memastikan hanya calon yang betul-betul berkualiti sahaja diterima. Jadi, walaupun sedikit kesalahan yang anda lakukan, peluang anda untuk diterima bekerja akan kurang banyak peratus.

Oleh yang demikian, dalam artikel ini akan dikongsikan tips persiapan temuduga kerajaan. Anda bolehlah mengamalkan tips-tips ini untuk memastikan tiada kesilapan dibuat semasa temuduga. Berikut merupakan tips-tips tersebut.

BORANG

Sila pastikan dokumen-dokumen yang diarahkan untuk dibawa pada hari temuduga semuanya sudah tersedia. Dokumen-dokumen ini termasuklah resume, CV serta borang-borang yang harus anda isi dan perlu diserahkan semula kepada penemuduga.

Pastikan setiap butiran maklumat dalam borang ini diisi dengan lengkap. Selain itu, sila pastikan juga tulisan anda kemas dan mudah dibaca. Untuk makluman, penemuduga dapat melihat karakter anda daripada cara anda mengisi borang tersebut.

Jika borang tersebut tidak diisi dengan lengkap serta tulisan anda seperti cakar ayam, sudah pasti penemuduga akan melabel anda sebagai seorang yang cuai dan begitu jugalah sebaliknya.

RESUME

Tips dalam penghasilan resume mudah sahaja. Anda boleh gunakan panduan membuat buku skrap dalam penghasilan resume. Jika anda pernah melihat buku skrap sebelum ini, muka hadapannya mestilah dihias dengan hiasan berkaitan contohnya seperti logo SPA, jata kerajaan Malaysia dan lain-lain.

Selain itu, maklumat-maklumat lain yang penting tentang diri anda seperti nombor kad pengenalan, jawatan yang dipohon dan lain-lain perlu disertakan. Letakkan juga pembahagi ataupun “divider” dalam fail anda bagi memisahkan suatu bahagian dokumen dengan dokumen yang lain.

Gunakan warna yang berbeza dalam membuat pemisah ini bagi mencantikkan lagi fail di samping memudahkan penemuduga untuk mencari dokumen dalam fail tersebut. Di samping itu, gunakanlah design menggunakan komputer anda bagi menampakkan diri anda sebagai seorang yang celik IT.

SIJIL

Salah satu kesalahan yang sering dilakukan oleh kebanyakan calon temuduga adalah membawa salinan sijil kosong tanpa disahkan. Ingat! Dalam setiap urusan yang memerlukan salinan sijil, pastikan salinan sijil tersebut telah disahkan oleh Ketua Kampung, JKK, pegawai kerajaan gred tinggi atau lain-lain. Bukan sahaja salinan sijil, salinan kad pengenalan juga haruslah disahkan juga.

Selain itu, letakkan sijil asli dalam fail flip yang boleh diselak dan mudah untuk penemuduga lihat serta ambil. Jangan letakkan sijil dalam envelop fail yang akan menyusahkan penemuduga untuk buka dan cari satu per satu.

PEMAKAIAN

Pemakaian merupakan salah satu perkara yang sangat perlu untuk dititikberatkan oleh seseorang calon temuduga itu. Pemakaian yang sesuai penting bagi mendapatkan first impression yang baik daripada penemuduga.

Tidak kiralah sama ada temuduga itu untuk kerja kerajaan mahupun swasta, calon temuduga perlulah memakai pakaian rasmi semasa menghadiri temuduga tersebut. Berikut merupakan sedikit panduan pemakaian semasa temuduga.

  • Berwarna gelap (hitam, navy blue, maroon)
  • Kosong dipadankan dengan corak batik. Elakkan baju bercorak meriah iaitu terlalu banyak design.
  • Beg tangan bersaiz sederhana. (Seeloknya jangan bawa masuk beg tangan. Tinggalkan di luar bilik temuduga. Cuma bawa fail sahaja.)
  • Pakai jam besi atau bertali kulit. (Jangan pakai aksesori lain seperti cincin dan sebagainya.)
  • Kasut bertutup berwarna hitam kosong. Pastikan kasut itu flat ataupun hanya ada sedikit tumit sahaja. High heels adalah dilarang.
  • Pakai tudung kosong berwarna gelap. Gayakan tudung cara paling simple.
  • Make up yang nipis sudah memadai.

CARA MEMASUKI BILIK TEMUDUGA

Apa yang paling penting adalah anda perlu sentiasa kekalkan ketenangan terutama sekali sebaik sahaja nama anda dipanggil untuk memasuki bilik temuduga. Jangan sesekali gelabah. Tarik nafas dan bertenang. Anggap sahaja anda seolah-olah ingin bertemu dengan Guru Besar di sekolah rendah dahulu. Untuk etika memasuki bilik temuduga, anda boleh ikuti tiga langkah mudah ini.

Sebaik sahaja nama anda dipanggil untuk memasuki bilik temuduga, jalan secara tenang ke arah bilik tersebut. Jangan gopoh! Kemudian, ketuk pintu bilik itu dan tunggu sehingga penemuduga berkata masuk barulah anda masuk. Jangan masuk sesuka hati anda tanpa mengetuk pintu. Penilaian terhadap anda sebenarnya bermula dari sini.

Setelah masuk jangan terus duduk. Biasanya, akan terdapat tiga orang penemuduga yang sudah bersedia untuk menemuduga anda. Pastikan anda duduk bertentangan dengan penemuduga yang berada di tengah. Jangan duduk selagi salah seorang daripada penemuduga itu tidak mempelawa anda untuk duduk.

Jangan sesekali “membontot” iaitu jangan pusing bahagian belakang kepada penemuduga. Jadi, jika kerusi tersebut berjauhan dengan anda, anda perlulah melangkah ke belakang dan duduk sebaik sahaja dipelawa oleh salah seorang daripada penemuduga.

CARA BERCAKAP

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa semasa temuduga, calon perlu menggunakan bahasa baku dan sangat formal. Salah sama sekali! Jangan gunakan perkataan yang terlalu formal dan jangan juga terlalu santai.

Paling penting untuk anda ingat adalah jangan sesekali terlalu banyak bercakap sehingga melebihi penemuduga. Penemuduga akan menganggap anda melalut. Jadi, hanya bercakap perkara-perkara yang berdasarkan fakta sahaja. Selain itu, jangan juga terlalu kurang bercakap. Perkara ini membuatkan anda dilihat sebagai seorang yang kurang produktif.

CONTOH SOALAN YANG WAJIB DITANYA

Terdapat beberapa soalan yang mesti akan ditanya semasa temuduga. Jadi, anda bolehlah bersedia dengan jawapan bagi soalan-soalan ini. Berikut merupakan contoh-contoh soalan tersebut.

  1. Perkenalkan diri anda.
  2. Apakah tugas seorang pembantu tadbir?
  3. Siapakah nama Perdana Menteri Malaysia?
  4. Apakah jabatan yang diletakkan di bawah Kementerian Pertanian?

CARA MENGUNDUR DIRI SELEPAS TEMUDUGA

Sebaik sahaja sesi temuduga selesai, anda perlu berjalan ke depan semula untuk mengambil fail anda serta ucapkan terima kasih dengan riak wajah yang ceria. Salam penemuduga tersebut (yang sesama jantina sahaja).

Kemudian, langkah semula ke belakang dan jangan membontot penemuduga tersebut. Jalan keluar daripada bilik temuduga tersebut dengan sopan. Ingat! penilaian tetap berjalan sehingga anda melangkah keluar daripada bilik tersebut.

Diharapkan semoga artikel ini dapat membantu anda dalam membuat persiapan menghadapi temuduga. Ikutlah kesemua tips yang telah diberikan ini. Semoga berjaya!

Daftar Pencari Kerja
Apa Kata Anda Daftar Percuma Sebagai Pembaca & Terima Update Jawatan Kosong Dari Kami Terus Ke INBOX Anda.
Klik Daftar Di Atas & Sahkan Pendaftaran Anda Melalui Yang Anda Akan Terima Sebentar Lagi.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.